27 March 2009

Jawapan Kepada Soalan-soalan Dari Mahasiswa Kolej ke-13 UPM


Soalam Pertama

1. Apakah hukum menyentuh/mencium jenazah yang bukan mahram?


Hukum yang qath’ie (termaktub) adalah tidak jelas. Saya ada membelek kitab-kitab fiqh dan usul fiqh yang ada dengan saya dan sahabat-sahabat saya tetapi seakan tidak ada dibahaskan (mungkin kerana kecetekan ilmu dan pembacaan saya dan tidak jumpa padahal ada sebenarnya). Saya juga cuba bertanyakan mereka yang lebih alim malah sedang penyambung pengajian ‘Master’ dalam bidang usul fiqh namun jawapannya juga bersifat ‘pendapat@ijtihad’ semata.


Cumanya kepada saudari yang bertanya. Suka saya tanya tujuan apa seseorang itu mencium mayat bukan muhrimnya?


Seperti yang kita maklum jika mayat tersebut adalah mak ayah, datuk nenek, adik-beradik, pakcik makcik, kawan segender maka tiadalah masaalah. Bahkan suami@isteri pun tidak mengapa.

Tapi kalau sekadar kawan (berlainan gender), kekasih, tunang sewajarnya tidak perlu.

u/p : Saya akan terus bertanya kepada mereka yang pakar, insya-Allah bagi menghuraikan masaalah ini dengan nasnya sekali.


2. Apakah jawapan bagi lafaz iqamah?


Jawapannya adalah sama sahaja dengan jawapan azan, cuma pada lafaz :


Qadko mati ssolahtu qadko mati ssolah jawapan ringkasnya adalah akomaha Allahu wa adamaha.


Untuk jawapan yang panjang boleh rujuk buku “ASAS-ASAS FARDHU AIN” tulisan Ustaz Sulaiman Endut bab Azan dan Iqamah. Buku yang sangat praktikal untuk pemahaman diri terhadap perkara asas fardhu-ain. Saya juga telah menghadiahkan buku tersebut kepada kawan saya yang baru masuk Islam dan dia sangat suka kerana susunan buku itu memudahkan dia untuk faham.


3. Bagaimanakah cara untuk istiqomah dalam melakukan amalan/ibadah? Ada doa tak?


Perancangan adalah perlu dalam kita merangka sesuatu perkara agar mencapai sasaran. Dalam bab ibadah, kita kena sedar keutamaan dalam setiap ibadah itu adalah kepada perkara yang fardhu dahulu. Adalah silap seseorang itu banyak zikirnya namun sembahyang fardhu yang 5 itu dia tidak tunaikan. Ini adalah kerana solat itu wajib dan zikir itu adalah ibadah sunat. Jangan sibukkan diri kita dengan amalan sunat yang membebankan dan akhirnya menyebabkan ibadah wajib tercicir.


Mulakan dengan memperkasakan amalan-amalan wajib@fardhu dahulu. Setelah konsisten (istiqamah) maka cuba tambahan dengan sembahyang-sembahyang sunat pula dan begitulah seterusnya.


Dari Aisyah r.ha, Nabi s.a.w bersabda : Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaanmu. Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)


-Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amaln yang berat tetapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingi Allah secara berterusan. (Syarah Sahih Muslim)


4. Adakah orang yang mati syahid dihapuskan dosa-dosa yang terdahulu dengan azab dari Allah (diazab dahulu) atau terus ke syurga?


Dalam surah Ali-Imran, ayat yang ke 195 yang berbunyi :


Maksudnya : Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan,(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari sesetengah yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)


Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Dar Al-Kitab Malaysia

Soalan Kedua

1. Kalau kita suka pada seseorang tapi kita tidak beritahu pun dia tentang perasaan kita dan dia pun tidak tahu. Adakah itu dikira jihad lawan nafsu? Tapi macamana kalau kita suka pada dia, kita tidak bagitau pada dia tetapi dia tahu kita suka pada dia?


Sejujurnya jawapan bersifat hukum pada persoalan ini tiada yang terperinci juga, maka saya mengambil kaedah umum dan perkongsian dengan adik-adik.


Jihad itu bermaksud bersungguh-sungguh. Tapi perasaan suka itu adalah fitrah manusiawi, mustahi untuk kita nafikan dan tidak salah. Tidak ada masalah jika suka itu hanya jika tidak bersulam nafsu syahwat, namun jika suka itu menjurus ke arah kemaksiatan pada Allah maka berdosalah kita akibat perbuatan itu.


Jihad lawan nafsu itu luas, malah nafsu itu sendiri terbahagi kepada tiga bahagian:


1. Nafsu Ammarah

2. Nafsu Lawwamah

3. Nafsu Muthmainnah

Bersungguh-sungguh melawan perasaan suka pada seseorang kerana nafsu semata dengan menyembunyikan perasaan itu, dalam erti kata bersungguh-sungguh menyembunyikan perasaan suka kerana takut kepada akhirnya terjadi campur tangan nafsu lalu menjurus kepada perkara maksiat maka jelaslah bahawa ianya juga dikira jihad lawan nafsu. Bersesuaian dengan sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu.”

2. Apa perbezaan antara orang yang suka sama suka, mereka bersahabat dengan orang yang ber’couple’?


Ikhtilat atau maknanya percampuran@pergaulan berlainan gender adalah ditegah di dalam Islam. Hanya di haruskan dalam hal menuntut ilmu dan muamalat sahaja, itupun ada garis bicara yang perlu dipatuhi. Jadi sama ada hubungan itu adalah atas dasar kawan atau ‘couple’ maka ianya adalah sama sahaja. Mana mungkin kedua gender yang berbeza ini berkawan tanpa ada risiko untuk menjurus kearah perlakuan maksiat?


Yang seharusnya berkawanlah lelaki sesama lelaki dan wanita sesama wanita. Janganlah kita menghalalkan yang haram dengan hanya menukar tema sahaja. Namun di sebalik tema ‘kawan’ itu penuh dengan emosi syahwat yang maksiat.

Az-Zahir

1 comment:

sirrul asrar said...

Assalamu'alaikum wrt wbt Ustaz. 1st terima kasih atas tazkirah yg telah disampai semalam (kuliyah maghrib K13).
Ustaz, benarkah matlamat akhir sesuatu ibadah itu sebenarnya syurga? Manakah keikhlasan n ehsan dalam beramal if tujuannya adalah "syurga"? Bukankah sepatutnya segala amal itu semata-mata lillah tanpa mengharapkan ganjaran?
Pernah tak ustaz dengar or bace kisah Rabiatul Adawiyah yg membawa api pada sebelah tangannya n air pada sebelah yg lainnya? Masa tu bila ditanya orang ramai untuk apa Rabiah berbuat demikian, jawabnya (lbh kurang maksudnye);
"Aku ingin membakar syurga n memadamkan neraka yg menjadi sebab sembahan manusia terhadapNya."
Ape pendapat ustaz if seorang itu menyembah Allah kerana kasih sayang Allah yg xdapat dia nafikan n dustakan walau berbagai perkara yg dia lakukan tanpa hadir sedikitpun 'alkhauf', adakah amalan dia diterimaNya? n lastly macam mane nak hadirkan perasaan khauf, haibah, n haya' bg orang yg hatinya kering n baginya syurga n neraka tu tiada makna pada hatinya?