12 March 2009

Baca Khutbah VS Berkhutbah


Khutbah

Hari Jumaat merupakan penghulu sekalian hari dan umat Islam terutamanya muslimin disyariatkan dengan kewajipan untuk menunaikan semabahyang Jumaat melainkan uzur syarie. Sembahyang Jumaat dilakukan menggantikan sembahyang Zohor pada hari biasa tetapi ianya berlainan dengan sembahyang fardhu biasa.

Solat Jumaat wajib dilakukan secara berjemaah dan mesti mempunyai paling kurang 40 orang jemaah termasuk imam dan khatib, jika tidak mencukupi maka semabahyang Jumaat tidak dapat dilaksanakan.

Ianya dimulakan dengan laungan azan pertama dari Muazzin setelah masuk waktu, kemudian diikuti dengan khatib memberi salam dan kemudiannya azan kedua dilaungkan. Khutbah dibaca selepas itu. Di Malaysia kepingcangan untuk berkhutbah tidak ada kerana teks khutbah sudah disediakan oleh pihak berwajib.

Pihak jabatan Islam negeri masing-masing akan menyediakan teks untuk dibaca oleh Khatib di masjid masing-masing. Maka istilah berkhutbah sudah lenyap melainkan yang paling tepat istilah yang patut digunakan ialah baca khutbah.

Pertama Kali

Di sekitar WPKL, JAWI telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan teks khutbah masjid-masjid yang bernaung di bawahnya. Khutbah untuk sebulan telah disediakan dan hanya menunggu untuk dibaca sahaja.

Hari Jumaat lalu, 6 haribulan Mac 2009. Saya telah diamanahkan untuk membaca khutbah buat pertama kalinya di masjid Usamah bin Zaid. Ustaz Murshidi telah menyerahkan teks khutbah bulanan dan tajuk yang akan saya baca nanti adalah “QUDWAH HASANAH” bersesuaian dengan ketibaan Maulidurrasul beberapa hari kemudian.

Gugup, gementar, loya, nak pitam semua ada. Tapi saya gagahkan diri dan cuba selesaikan khutbah tersebut. Alhamdulillah, Ustaz Murshidi dan jemaah berpuas hati dengan penyampaian saya.

Walaupun banyak juga kesalahan mengeja dan kadang-kadang tersasul tetapi dapat diatasi alhamdulillah. Mungkin kerana tidak terlalu biasa dengan teks penulisan jawi yang telah lama terhapus dek kerana kuasa golongan yang kononnya berjuang demi bangsa, namun hakikatnya bahasa bangsa mereka sudah gadaikan. Kini terkial-kial ingin menebus balik dengan harga yang mungkin tak tertebus sudah.

Semoga permulaan ini memperkemaskan lagi diri saya sebagai da’ie dan membiasakan saya dengan penyampaian umum, ceramah, pidato dan sebagainya. Yang paling penting mesej yang mahu disampaikan kelak mampu disampaikan dengan baik insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

No comments: