14 March 2009

Saya dan Sukan


Lama sudah tidak bersukan, bukan bermaksud saya ini seorang yang anti sukan. Tetapi kerana kemaslahatan ruangan masa dan tenaga menyebabkan saya lama sudah tidak bersukan. Sukan yang menjadi pilihan ialah tenis.

Semasa datang balik untuk bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, pada peringkat awalnya saya menumpang secara haram di kolej kediaman UIAM Gombak. Kawan-kawan satu bilik, satu kursus malah satu negeri dulu masih ramai dan sedia menghulurkan bantuan. Maklumlah saya baru bekerja dan permulaan sebagai seorang penjawat awam, kami tidak akan dapat gaji segera. Kena tunggu 2 hingga 3 bulan jugak, nasib baik saya ada sedikit bekalan simpanan tempat kerja lama dan tempat tinggal yang percuma.

Rupa-rupanya kawan-kawan saya di sini hampir semuanya bermain tenis malah dengan serius jugak. Maka saya tidak melepaskan peluang untuk bersama mereka. Setelah pulang dari pejabat, usai sahaja solat Asar terus saya ke gelanggang untuk bermain tenis. Peringkat awalnya saya memang teruk. Nampak sahaja mudah untuk menghayun raket tenis itu, tapi kalau tidak kena gaya dan rentaknya maka bola akan melantun jauh malah terkeluar dari gelanggang.

Tenis permainan yang perlukan penumpuan dalam hayunan untuk melibas malah ketika melibas perlulah sekuat tenaga yang boleh tetapi perlu bersulam kesabaran dan teknik serta rentak yang selari. Barulah hayunan kita melantunkan bola itu dengan laju dan rendah serta tidak melantun mengikut ammarah kita semata. Ianya amat berlainan dengan sukan badminton yang memerlukan kelincahan dan taktikal yang strategik, walaupun gelanggangnya lebih kecil berbanding gelanggang tenis namun bagi saya badminton lebih meletihkan. Kombinasi kelincahan dan kebolehan menipu daya perlu seiring dalam permainan badminton.

Kini rasanya hampir setengah tahun selepas berpindah keluar dari UIA dan menyewa rumah sekitar Wangsa Maju, jarang sudah saya ke UIA untuk bermain tenis. Kemudian pula kawan-kawan yang belajar di UIA juga kebanyakannya sudah graduasi malah bekerja sebagai sebagai individu profesional. Kebanyakannya dalan bidang akaun dan ekonomi. Saya pun turut rasa bersyukur dengan kejayaan mereka, tak sangka mereka yang dahulu masuk UIA bersama saya di Pusat Matrikulasi UIA PJ kini sudah bergelar pekerja profesional yang pendapatan lebih RM2500 keatas sebulan, Alhamdulillah.

Tenis

Pagi Ahad minggu lepas urat saraf saya merenggang kembali apabila pengenalan saya dengan Presiden iLuvislam.com yang juga pelajar tahun 1 kursus Kejuruteraan di UIA melorong saya untuk kembali aktif bermain tenis, ini kerana Imran juga selalu bermain tenis. Alhamdulillah peluang ini tidak akan saya lepaskan kerana lama sudah juga saya tidak bersukan. Hampir satu jam lebih saya melayan hayunan Imran dan Udon serta seorang rakan mereka.

Puas, setelah hampir satu badan bermandi peluh yang sudah lama terbungkam dalam jasad. Peluh asid ini perlu dinyah keluar kerana nanti jika ianya terlebih akan mengundang penyakit yang melemahkan jasad ini. Memang segalanya bergantung juga pada takdir Allah, namun adalah tidak betul jika kita tanpa daya usaha diri sendiri tidak sedaya upaya untuk menjaga kesihatan diri kita.

Dengan adanya Imran di UIA dan saya juga insya-Allah akan menetap di Wangsa Maju untuk 3 tahun ke hadapan insya-Allah, akan saya jadikan tenis sebagai riadah rutin, paling kurang 2 kali seminggu insya-Allah.


Badminton

Dalam saya tidak suka badminton maknanya bukan saya tidak boleh main badminton dan membencinya, cuma saya bukanlah pemain yang mampu memberi saingan hebat kepada mereka yang memang kaki badminton ini. Sekadar cukup makan boleh.

Menjadi sifat saya untuk mencuba segala jenis perkara termasuk dalam bidang sukan. Dari bola sepak, takraw, bowling, pingpong dan banyak lagi. Kalau ditanya memang saya boleh main semuanya, malah di peringkat sekolah dan IPT memang pernah saya menjadi wakilnya, namun kemenangan bukanlah matlamat saya. Seingat saya jarang sekali saya memenangi pertandingan yang saya sertai. Kerana saya menyertai semuanya itu kerana nak mencuba dan kerana suka, tetapi bukanlah bermaksud saya bukan jenis yang kompetitif. Tengok apa bidang cabangnya dan hakikat kepentingannya.

Jemaah masjid yang terdiri dari orang-orang lama rupanya sangat aktif bermain badminton. Saya sudah beberapa diajak untuk bermain bersama mereka, tetapi jarang sekali dapat kerana bertindan dengan jadual kelas pengajian Usuluddin di UM.

Pagi Ahad lepas bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul saya berpeluang bersama dengan orang-orang lama ini beraksi. Rupanya tua bukan sebarang tua, lama bukan sebarang lama, mereka lebih dahulu bergaram dari kita. Takjub saya melihat kepetahan orang-orang lama ini bermain. Tenaga, stamina, strategi, teknik serta taktik menyebabkan saya terbuai lemas dalam permainan mereka. Nyatalah benar, pengalaman mereka harus kita hormati. Dengan gaya bersahaja sahaja pasangan yang berumur 70an dan 60an mengalahkan saya dan Reimi yang 20an ini, paling teruk ialah jarak mata pungutan adalah sangat besar bezanya. Saya tersenyum sendiri memikirkan situasi itu.

Saya dan Ustaz Murshidi pulang awal sedikit kerana bertugas. Tidak sempat saya bergandingan dengan Ustaz Murshidi, yang pada saya juga baik permainannya. Dua hari bersukan itu menyebabkan urat sendi yang lama tidak merenggang menjadi sakit, hampir separuh badan kiri saya terasa kesannya, tetapi saya tahu ianya adalah perkara biasa dan normal dan akan hilang dua atau tiga hari kemudian.

Harapannya ialah selepas ini saya boleh terus bersukan di samping kesibukan tugas di pejabat, di masjid dan bersama jemaah. Semuanya saya ingin lakukan kerana saya sendiri mahu lakukannya dan bukan kerana desakan atau permintaan sesiapa.

Semoga Allah kurniakan ketenangan dan damai abadi setelah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat, kerana kita ini berdosa. Samaada sengaja ataupun tidak insya-Allah kerana firman Allah bermaksud,

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang bersuci”

Az-Zahir

No comments: