19 March 2011

Sebulan Sebuah Novel (Logikkah!?)

Oleh Zahiruddin Zabidi

ANTARA kenangan manis yang tercatit dalam kamus kepenulisan saya adalah, dua buah daripada karya-karya saya sekarang ditukang dalam masa kurang sebulan.

Ramai yang terkejut dan tidak percaya. Di sini saya nyatakan juga bahawa saya sendiri tidak mengjangkakannya.

Namun ternyata, dengan perancangan strategik dan pelan yang ampuh ditambah dengan motivasi yang membara, angan-angan itu mampu saya lunaskan.

Mungkin ada yang berkata, “Mengapa tergesa-gesa menulis, nanti ada yang ketirisan?”

Ada juga yang berpendapat, “Mana mungkin, menulis novel memerlukan keadaan yang tenang dan khusus.”

Ternyata fakto tersebut adalah halangan yang muncul sebagai alasan zaman berzaman dalam sejarah penulisan. Dan bagi seorang penulis yang mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas, asas kepada alasan tersebut bukanlah perkara besar baginya.

Persoalannya apakah dengan menulis lambat-lambat, tanpa kerangka dan perencaan yang jelas akan membuahkan penulisan yang baik? Di sana banyak karya-karya yang ditulis memakan masa yang lama, namun akhirnya tidak lebih daripada hanya sebuah penulisan yang mendatangkan masalah malah mempromosi dosa.

Kedua-kedua keadaan tetap punya baik dan buruknya. Sebagai penulis sepenuh masa yang bergantung kepada penulisan sebagai sumber rezeki utama, semestinya produktiviti adalah menjadi keutamaan. Dalam masa yang sama tidak wajar memandang isu kualiti sebagai isu terpinggir sehingga sanggup menggadaikan konsep ihsan dalam berkarya.

Manakala bagi mereka yang hanya menulis separuh masa, dalam masa yang sama berjawatan pegawai dan ke atas. Semestinya kuantiti bukan keutamaan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka berkarya demi kepuasan dan imbuhan adalah bonus kepada mereka.

Namun, bagi seorang penulis baru seperti saya yang mempunyai cita-cita mahu menjadi penulis sepenuh masa pada suatu hari nanti (insya-Allah), saya kira isu perancangan strategik dan pelan yang sistematik di samping sikap terhadap disiplin diri wajar diperhalusi.

Saya sedang berkira-kira mahu menulis sebuah buku perkongsian dan panduan kepada para penulis dan bakal penulis bagaimana mahu menulis sebuah novel dalam masa sebulan. Mungkin ianya akan diedarkan dalam bentuk eBook kepada mereka yang berminat.


Insya-Allah ianya akan menemui anda tidak lama lagi. Doakan ya, sahabat-sahabatku....


Nota: Insya-Allah blog ini akan berpindah ke alamat baru bagi memberikan keselesaan kepada tuan puan sekalian. Terima kasih kerana sudi singgah di sini. Insya-Allah alamat baru adalah www.kalamkhalifah.com.

3 comments:

Rijal82 said...

Tulisan yang mencabar diri saya sendiri, jika ustaz mampu lakukan sebulan sebuah novel, maka apa alasan pula bagi saya untuk tidak mampu lakukan.

Cukup mengujakan tulisan ini :)

Zahiruddin Zabidi said...

Ustaz Syaari, ada bezanya menulis fiksyen dan non-fiksyen, namun asasnya tetap sama. Perlu tulis setiap hari... dan bahan rujukan sudah siap-siap di tepi ;)

Thoyba Mursyidah said...

Subhanallah. Sangat terinspirasi!