12 March 2011

Penulis dan matlamatnya?

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

RAMAI yang beranggapan bahawa kerjaya sebagai penulis adalah pekerjaan yang tidak menjamin masa hadapan. Kerana sejarah merakamkan ramai dari kalangan mereka yang menjadi penulis akhirnya mati dalam kesempitan hidup. Apatah lagi menjadi penulis sepenuh masa.

Kalau kita cuba senaraikan penulis-penulis yang akhirnya dikatakan berjaya sebagai seorang penulis, maksudnya mereka benar-benar menjalani kehidupan dengan menggunakan hasil daripada penulisan mereka, ternyata jumlahnya amat sedikit.

Jika ada pun mereka ini biasanya dikelaskan sebagai penulis-penulis picisan yang memang menulis karya yang tidak mempunyai maksud di samping mengejar jumlah angka royalti sahaja. Ini pandangan sesetengah pihak.

Ini adalah tabu dunia penulisan khususnya di Malaysia.

Tidak terfikirkah jika seorang penulis yang menulis karya yang dikatakan bagus, penuh dengan makna dan berilmu, disertakan pula pakejing yang menarik dari sudut ilustrasi dan kaver yang terkini. Kemudian bergabung dengan penerbit yang sistematik pengurusannya dari segenap sudut seperti pemasaran dan pembayaran royalti yang telus serta menjaga hak penulis akan menatijahkan apa?

Sebagai penulis kita punya pilihan. Dan kita seharusnya bijak memilih kerana pilihan sentiasa berada dalam tangan kita.

Menurut Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah taala, beliau membahagikan manusia kepada empat golongan:
  1. Untung di dunia rugi di akhirat.
  2. Rugi di dunia untung di akhirat.
  3. Untung dunia untung di akhirat.
  4. Rugi di dunia rugi di akhirat.
Tidak salah andai melakukan sesuatu bagi meraihkan ganjaran sebagaimana jika seorang penulis yang menulis bagi tujuan mendapatkan wang royalti. Yang salahnya adalah apabila seorang penulis menjadi pragmatik kepada duit semata-mata sehingga sanggup menulis perkara-perkara yang melangkaui batas syarak. Sehingga tiada lagi halal dan haram dalam kamus kepenulisannya.

Bukankah dengan menulis semoleknya kita niatkan kerana Allah dan bagi mendapat manfaat al-Ilmu yuntafiu bih walaupun sudah mati. Bukankah dengan menulis itu kita melengkapkan arahan pertama Allah dalam wahyu yang pertama turun kepada Rasulullah. Bukankan dengan menulis kita sudah melangsaikan satu sunnah daripada Rasulullah yang menyeru kita menyampaikan daripada dirinya walau satu ayat?

Selain daripada itu dengan menulis juga kita boleh mengaplikasikan amanat Allah yang “berbunyi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran” dan dalam masa yang sama bagi melengkapkan seruan “berkatalah benar walaupun pahit” dan banyak lagi sebab-sebab yang lebih utama daripada menulis. Begitu juga dengan menulis kita dapat melaksanakan saranan yang berbunyi “ingat memperingatilah sesama orang Islam, kerana ia sangat bermanfaat kepada orang Islam”.

Insya-Allah, jika kita mencari untung di akhirat dengan wasilah penulisan, dengan wasilah ini jugalah kita harapkan kita dimasukkan ke dalam syurga Allah. Sebagaimana yang digambarkan dalam hadis pertama dalam susunan kitab Matan Arbain (Hadis 40) karangan Al-Imam Nawawi rahimahullah berkenaan dengan kepentingan niat.

Namun niat yang baik sahaja tidak akan menghalalkan cara yang tidak baik. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara dalam asas agama Islam. Makanya niat yang baik untuk menulis juga perlu tertumpah dalam tulisan kita supaya kita tahu kita menulis bukan untuk menjadikannya sebagai penyebab kepada kita dihumbankan ke dalam api neraka.

Saya masih percaya bahawa Islam dan dakwah tidak pernah menolak apa lagi mengharamkan seseorang meraih manfaat sebagaimana seorang penulis mendapat royalti hasil daripada usaha beliau yang gigih menulis. Kena caranya, dengan hasil penulisan tersebutlah mereka dapat membuat amal jariah yang lebih besar. Bukankah ini yang dilakukan oleh penulis-penulis besar yang berstatus jutawan di luar negara?

Apakah salah pula jika sebagai penulis kita memasang cita-cita sebegitu? Mempunyai foundation bagi kerja-kerja amal dengan membantu mereka yang memerlukan khususnya di negara tumpah darah kita ini.

Justeru jika ada yang berkata, “Penulis yang sejati tidak menulis untuk duit!” Saya akan menjawab kepada beliau, “Anda hipokrit! Kerana semasa anda menang sebarang anugerah dan anda berbangga akannya, kemudian anda mengkritik dan mengutuk kembali kerana jumlah ringgit kemenangan itu tidak banyak! Jadi yang salah menulis kerana duit semata-mata, bukan kerana ganjaran yang diterima hasil daripada penulisan itu.”

Justeru, saya menyeru diri saya dan sahabat sekalian supaya menjadi penulis sekaligus hamba Allah yang berada dalam kategori nombor 3 dalam susunan Imam al-Ghazali, jika tidak mampu sekalipun, janganlah menjadi kelompok nombor 1 dan 4.

Nota: Buat makluman tuan puan, insya-Allah saya sedang menulis satu buku perkongsian pengalaman dan motivasi kepenulisan selepas setahun berada dalam dunia penulisan. Saya juga akan cuba mengumpulkan seluruh bahan penulisan saya sudah diterbitkan di media cetak dalam naskhah ini, insya-Allah. Mohon tuan puan doakan ianya berjalan lancar, terima kasih.

2 comments:

Ampuan Awang said...

Salam,

dalam bidang penulisan kreatif, saya memang tiada ter'nama' dan langsung tiada dikenal orang, namun saya tetap bersyukur kerana lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk terus menitipkan sesuatu buat rujukan anak bangsa. apa sahaja jenis jenis perlukan pengorbanan, dan tidak selama-lamannya akan kita akan kekal di bawah. dan benar juga telahan saya apabila saya diuji Allah SWT menjadi salah seorang dari panelis untuk majlis randau sastera di sabah 28hb yang lalu. bagi saya, kalau menulis kerana Tuhan, bukan kerana tuan, insya-Allah akan hadir manfaat dalam setiap hasil penulisan kita. bagi saya, apalah gunanya memiliki karya yang banyak andai tidak punya ruh dan kehilangan cahayanya.

akhir sekali, saya membenarkan kekata tuan agar jangan hipokrit, dan saya katakan dengan terus terang bahawa saya tidak pernah menerima sebarang honorarium hingga ke hari ini walaupun saya agak kerap menghantar karya; tetapi bukan ke akhbar yang memberikan honorarium.

wassalam

mkriza said...

Royalti dan duit penting untuk penulis kerana menulis sebenarnya adalah satu pekerjaan. Saya agak sinis dengan penulis-penulis yang berkata mereka menulis hanya untuk seni ataupun menulis hanya untuk masyarakat. Agak ideal dengarnya.

Apa yang ditulis juga penting kerana tulisan kita akan berupaya memberi pahala dan dosa.