02 September 2010

Armagedon 2010: Buku Yang Dinanti-nantikan Sudah Terbit.

Antara buku yang menjadi kesukaan pembaca di Malaysia adalah yang bersifat 'ghaibiyah', mungkin kerana sifat manusia itu sendiri yang sentiasa ingin tahu apa yang mereka tidak tahu bahkan kadang-kadang apa yang mereka tidak perlu tahu.

Sebagai contoh, sehingga sekarang isu seputar Allah seperti sifatnya, kedudukannya menjadi perbahasan yang tidak kunjung sudah. Sedangkan kita sebagai hamba mempunyai taklifan lain yang lebih penting bagi difikir dan diuruskan.

Rasa ingin tahu ini lantas menjelmakan satu penilaian yang bersifat emosional. Dengan itu, apabila PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. melalui penulisnya Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko menerbitkan buku bertajuk 'Yakjuj Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung' dan 'Alexander Adalah Zulqarnain', ianya mendapat sambutan yang sangat hebat sehinggakan kedua-duanya sudah terjual lebih daripada 10 ribu naskah semenjak ia diterbitkan.

Pakejing isu yang dibahaskan dan penyampaian material dari sudut kecantikan kaver dan susun letak serta Bahasa Melayu Tinggi yang digunakan memberikan buku-buku tersebut satu pakej yang tidak ada pada buku lain. Selain daripada itu jika dibandingkan ketebalan buku tersebut dengan harganya ternyata ianya juga sangat berbaloi bagi dimiliki.

Kini Muhammad Alexander kembali dengan karyanya yang terbaharunya. Satu kajian tuntas mengenai kiamat, menjawab kembali dakwaan barat mengenai kiamat yang bakal berlaku. Mohon rujuk di bawah:


SINOPSIS DARI BUKU (TERBITAN PTS)

Pada bulan November 2009, dunia dikejutkan dengan filem arahan Ronald Emmerich yang bertajuk 2012. Idea asal filem ini dipetik daripada kalendar kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini akan berakhir pada tahun 2012 atau lebih tepat lagi pada 21 Disember 2012.

Selain disokong oleh kalendar kaum Maya yang banyak didakwa berlaku secara 'kebetulan', mereka juga mendakwa pada 2012, sistem suria kita (Galaksi Bima Sakti) akan mengalami konfigurasi luar biasa, medan magnet bumi menjadi lemah dalam masa yang pantas, fenomena hubungan perubahan medan magnet bumi dan hubungan manusia berlaku dan lebih menarik lagi adalah perlanggaran planet Nibiru (Planet X) dengan
bumi.

Filem ini turut dibahas dan dikaji oleh ramai para intelek termasuk daripada NASA sendiri. Muhammad Alexander mengkaji peristiwa kiamat ini sebelum filem 2012 ini ditayangkan.

Kajian ini dimuatkan di dalam buku Armageddon: 2012 yang membahas kekeliruan para intelek dalam menghasilkan filem 2012 serta membahas fenomena kiamat yang disebut di dalam al-Quran dan hadis secara kronologikal.

Turut dimuatkan gambar, carta dan hasil-hasil kajian mengenai kiamat yang dilakukan oleh para saintis. Ini menjadikan

buku Armagedon 2012 sebagai buku yang membahaskan tentang kiamat yang terlengkap, tersusun dan gambaran yang mudah difahami.

Penulis adalah pesyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia. Beliau kini dalam proses mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah dan Peradaban.

Beliau banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat. Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain (2010).

BAB 1: Filem 2012.

BAB 2: Kalendar dan Ramalan Kaum Maya.

BAB 3: Tompok Matahari, Perubahan Kutub Magnetik Bumi & Konfigurasi Planet.

BAB 4: Tarikh Kiamat: Kultus yang Meramal Tarikh Kiamat dan Kejadian Bunuh Diri Beramai-ramai.

BAB 5: Rekrontruksi Kronologi 10 Tanda Besar Kiamat.

BAB 6: Kemunculan Dajal dalam Tempoh 40 tahun: Dajal Membuat Kerosakan di Bumi.

Bab 7: Hentaman Meteor Besar pada Bulan Ramadan: Asap Tebal Memenuhi Bumi.

BAB 8: Tempoh 40 hari Dajjal: Asap itu membuat dahi Dajal tertulis “Kafir”.

BAB 9: Nabi Isa Turun Ketika Asap Menyelimuti Bumi.

BAB 10: Hentaman Meteor Merosakkan Teknologi: Yakjuj Makjuj Keluar Semula.

BAB 11: Matahari Terbit dari Barat: Pintu Taubat Tertutup.

BAB 12: Angin Lembut Mencabut Roh Orang Beriman.

BAB 13: Kiamat Besar: Kehancuran Alam Semesta.

BAB 14: Astronomi dalam al-Quran.

BAB 15: Kronologi Kiamat Berdasarkan al-Quran.

BAB 16: Kiamat Fasa 1: Sangkakala Pertama Ditiup: Gelombang Dahsyat.

BAB 17: Kiamat Fasa 2: Langit Bergoncang dan Terbelah.

BAB 18: Kiamat Fasa 3: Supernova Mega.

BAB19: Kiamat Fasa 4: Bencana Dahsyat Di Bumi.

BAB 20: Kiamat Fasa 5: Kematian Seluruh Manusia.

BAB 21: Sangkakala Kedua Ditiup: Seluruh Manusia Berkumpul di Padang Mahsyar.

BAB 22: Persamaan dan Perbezaan Antara Filem 2012 dengan kenyataan al-Quran dan Hadis.
____________________________________________________________

Karya bestseller Muhammad Alexander sebelum ini terbitan PTS:

2010


2009

___________________________________________________________

Kepada tuan puan yang ingin memberli terus secara on-line boleh dirujuk di alamat ini:


01 September 2010

Kuliah 1 Akidah 1 Ummah di UPM


Saya mendapat panggilan lewat program bedah buku minggu sudah (21-22 Ogos 2010) oleh saudara Firdaus, salah seorang exco PMIUPM. Saya dijemput menyampaikan kuliah akidah katanya, alhamdulillah saya menerimanya dengan hati yang terbuka apatah lagi saya adalah pelajar aliran Usuluddin, insya Allah cocok bagi berkongsi mengenai isu akidah ini.

Walaupun sehari sebelumnya saya bertolak pulang ke Cameron Highland bagi menjemput isteri yang pulang bercuti bersama ayahnya tempoh hari. Kami bertolak kembali ke Kuala Lumpur keesokan paginya kurang lebih jam 4.30 pagi selepas bersahur.

Selepas selamat sampai di Wangsa Maju dalam 8.30 pagi dan berehat seketika, saya capai buku terjemahan daripada Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk Haqiqatul Tauhid yang membawa maksud 'Hakikat Tauhid' bagi membuat sedikit semakan dan penambahan dalam nota kuliah kelak.

Sedikit ralat apabila sampai di sana dan mendapati bahawa majlis tersebut adalah majlis rasmi PMIUPM yang saya sangka adalah majlis kuliah mingguan biasa. Dengan hanya berselipar dan berbaju T berkolar, wajah ini perlu ditebalkan seketika bagi melancarkan proses penyampaian.

Alhamdulillah, kuliah yang berlangsung dalam sejam setengah itu berjalan lancar dan banyak juga soalan yang menjengah di hujungnya. Masa yang singkat membataskan persoalan adik-adik siswa dan siswi dijawab satu persatu.

Antara intisari ceramah kali ini adalah:

- Apakah itu akidah dan tauhid.
- Apakah maksud tuntas La ilaha illa Allah.
- Perbezaan akidah Islam dan kafir.
- Secara fitrahnya, orang kafir juga memperakui kewujudan Allah.
- Lawan kepada tauhid adalah syirik.
- Hidup umat Islam perlu berorientasikan akidah tauhid.
- Akidah dalam laras bahasa, kepentingannya.
- Ibadah yang tidak berpaksikan akidah Islam melahirkan generasi sekular.
- Kepentingan akidah dalam berdakwah, luruskan niat.
- Dan beberapa isu semasa yang dikaitkan dengan isu akidah....

Alhamdulillah, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kepimpinan PMIUPM atas jemputan dan tidak lupa juga kepada adik-adik peserta yang sudi menadah telinga. Semoga yang baik dijadikan tauladan dan yang tidak baik itu jadikanlah sebagai sempadan.

Kerana yang molek itu datangnya daripada Allah dan yang tidak baik itu adalah pilihan kita, sebagai manusia dan hamba Allah sendiri.

Wallahu'alam.
____________________________________________________________

Nota: Beberapa lontaran idea berbentuk cabaran kepada barisan kepimpinan juga diutarakan, semoga dapat mencetuskan kesinambungan budaya ilmu Islam yang membina ummah. Mungkin Haqiqatul Tauhid sesuai bagi sesi kuliah akidah kelak, insya Allah.
____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

31 August 2010

Komen Pensyarah Kuliah Perubatan UIAM terhadap novel RA

(Selepas disunting)

Assalamualaikum,

Terlebih dulu saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menghasilkan karya yang sarat dengan maklumat yang disampaikan dengan bahasa yang mudah dan santai. Saya menghabiskan seluruh buku tersebut dalam masa dua hari.

Cuma yang saya kesalkan adalah terlalu banyak ‘typing error’ menjadikan saya tertanya-tanya di manakah ketelitian proof reader buku tersebut. Seperkara lagi yang saya agak musykil adalah berkenaan bab di mana penceritaan memberikan gambaran bahawa Rabiatul Adawiyah bebas bergaul dengan Hassan al-Basri seperti dalam bab yang membincangkan karamah di Sungai Furat. Harap penulis lebih berhati-hati, wallahu a’lam.

Mungkin pembaca perlu di didik untuk mendapat gambaran yang jelas bagaimana seharusnya pergaulan antara ulama lelaki dan perempuan kerana pada pendapat saya ianya sangat kabur. Saya sentiasa menyokong karya Islamik dan akan cuba memberikan pandangan yang membina untuk kebaikan bersama.

Terima kasih, wasallam.

DR ARIFF BIN OSMAN
KULLIYAH OF MEDICINE, IIUM
KUANTAN PAHANG
___________________________________________________________

(Emel balas saya kepada beliau)

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Didoakan tuan dr. dan keluarga sentiasa dipayungi rahmat dan rahim Allah taala, tambahan pula di saat akhir ramadan yang bakal meninggalkan kita tidak lama lagi.

Alhamdulillah, saya mengutuskan rasa syukur dan terima kasih kerana tuan sudi memiliki dan menguliti novel RA. Sungguh, yang hebat itu Allah dan yang dikuniakan kehebatan itu adalah Rabiatul Adawiyah sendiri.

Berkenaan dengan 'typo' yang agak kerap, perlu diakui bahawa memang ada kealpaan di saat proses pemurnian. Antara sebabnya adalah saya hanya sempat membaca pruf setengah bab terawal sahaja kerana 'deadline'nya. Namun pihak pengurusan sudah dimaklumkan dan akan sebaik mungkin membuat pembetulan semula terhadap naskah tersebut pada cetakan seterusnya. Apapun saya sebagai penulis mewakili seluruh tim kerja yang menguruskan buku itu memohon ribuan maaf daripada tuan dan pembaca-pembaca lain.

Berkenaan dengan persoalan tuan mengenai peristiwa-peristiwa yang menggambarkan Rabiah dan ulama-ulama dalam keadaan yang tidak sewajarnya, saya juga mengalami situasi yang sama saat menulisnya bahkan sudah ada yang tidak dimasukkan. Namun saya juga yakin bagi mereka yang benar-benar menghayati kisah RA, mereka akan mendapati bahawa RA adalah sangat istimewa khususnya dalam bab menguruskan nafsu, nafsu adalah tunggangannya semata-mata dan bukan alat yang digunakan.

Saya tuliskan juga plot itu kerana husnu-zhan atau sangka baik dengan beriktikad bahawa peristiwa itu berlaku di tepi Sungai Tigris yang bermakna tempat awam dan terbuka. Samada para pembaca ingin membayangkan tempat tersebut ada ramai orang atau tersorok langsung daripada mata orang ramai, suka saya serahkan kepada pembaca bagi membuat telahan. Apatah lagi apabila subjeknya adalah RA dan Hasan al-Basri sendiri.

Namun saya tidak akan teragak-agak bagi membuang peristiwa ini jika ada individu yang boleh memaklumkan kepada saya akan kebatilan kisah ini, insya Allah, inilah sikap saya terhadap karya-karya saya.

Apapun, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada tuan kerana sudi memiliki novel RA. Teguran tuan membuktikan cakna tuan kepada Islam itu sendiri. Saya amat berbangga dengan teguran itu, insya Allah.

Insya Allah, jika ada jodoh kita jumpa di alam nyata dan bukan hanya di alam maya ini.

Terima kasih, wassalam.

Zahiruddin Zabidi

30 August 2010

Zahiruddin Zabidi@Berita Harian: Bahagian Sastera


Ini adalah kali kedua saya ke Rumah PENA, dan kali kedua juga wajah ini dicetak dalam laman Sastera, Berita Harian. Tiada yang istimewa berkenaan dengannya, namun apa yang diperolehi daripada Dialog Orang Muda (DOM) memberikan persepsi dalam konotasi yang beda. Mendatangkan iktikad yang tidak akan berbelah bahagi terhadap perjuangan yang saya lakukan bersama PTS, insya Allah.

Saya akhirnya sedar, antara anugerah dan habuan yang mana lebih relevan bagi diperjuangkan selepas dasar perjuangan berdakwah melalui mata pena. Rintihan dan sindiran yang klise dilagukan menyebabkan saya juga berasa bertuah  berada di tempat dan menulis apa yang sepatutnya.

Kadang-kadang kita perlu keluar daripada jihat kehidupan dan pemikiran kita sendiri agar kita sedar bahawa di sebalik satu masalah rupanya punya seribu jalan penyelesaian. Cuma kadang-kadang egois yang mencengkam lantas menyuburkan sikap kiasu amat kerak sekali bagi dinyahkan, sehinggalah....

Zahiruddin Zabidi

29 August 2010

Zaid Akhtar: Novelis Dakwah Sebagai Kewajipan



Pada 26 Julai 2010 yang lalu, saya dijemput oleh Ustaz Zaid Akhtar ke program Bengkel Kreatif 2 Jam anjuran Pusat Persuratan Bahasa Melayu UKM, program tersebut adalah inisiatif Dr. Mawar Syafii selaku Ketua PPBM UKM.

Kali ini Ustaz Zaid Akhtar yang akan membuat perkongsian, sebelum ini sudah ramai penulis mapan seperti Faisal Tehrani, S. M. Zakir, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan ramai lagi. Program yang dianjurkan saban bulan ini adalah bagi memberikan khalayak khususnya para pelajar jurusan persuratan Melayu kepada dunia sastera perdana di samping belajar melalui pengalaman dan proses kreatif para sasterawan itu.

Bengkel yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi itu disertai bersama kurang lebih 30 orang pelajar Dr. Mawar Syafii. Saya juga tidak mahu melepaskan peluang ini mengenangkan saya sendiri belum pernah hadir dan mendengar perkongsian daripada Ustaz Zaid Akhtar yang tersohor dengan novel masterpiece bestsellernya, Salju Sakinah terbitan PTS Publication & Distributors.

Saya teringat sewaktu menghadiri satu sesi forum sastera di Rumah Gapena di mana Faisal tehrani yang menjadi salah seorang penelnya selain Puan Ainon Mohd (pengerusi PTS) dan Dr. Irwan Abu Bakar (pensyarah UM dan pengelola E-Sasterawan), Faisal Tehrani dengan jelas memberitahu bahawa novel Salju Sakinah jika dibandingkan dengan Ayat-Ayat Cinta, ternyata Salju Sakinah jauh lebih bermutu.

Mukadimah bengkel pada pagi itu dimulakan dengan pengenalan dan latar belakang Ustaz Zaid Akhtar kemudian disusuli dengan sejarah penglibatan beliau dalam dunia penulisan selain beliau berkongsikan penulis-penulis yang banyak mempengaruhi gaya dan cara penulisannya di awal pembabitan beliau.

Beliau pada awalnya, mula berkarya pada tahun 1994 memulakan penulisan dengan memilih genre cerpen sehingga tersiarnya dalam majalah Dewan Siswa, cerpen yang bertajuk ‘Juara Yang Tewas’. Namun apabila beliau menyambung pengajian dalam bidang bahasa dan Kesusasteraan Arab di Jordan, beliau berhadapan dengan musim kemarau karya dan menyebabkan dirinya langsung tidak menulis dalam beberapa tahun kemudian.

Hal ini berlanjutan sehinggalah beliau dilantik menjadi editor bagi sebuah majalah pelajar yang kembali membangkitkan ghairahnya dalam penulisan terutamnya penulisan kreatif. Selepas tamat belajar, beliau kembali ke Tanah Air dan terus sahaja menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan di UIAM.

Ketika inilah, oleh kerana Kuala Lumpur menghidangkan pelbagai program dan bengkel serta peluang penulisan. Beliau dengan serius terjun kembali ke dalam dunia sastera dan mula menghasilkan karya sehingga terhasilnya karya-karya yang ada pada hari ini.

Beliau merupakan alumni Kelab Penulisan Zaharah Nawawi (Kapezi) dan pernah menghadiri bengkel anjuran Kumpulan Utusan Publication Sdn. Bhd. yang diselenggara oleh Allahyarham Dr. Othman Puteh dan anaknya Hizairi. Para peserta diminta bagi menyediakan sebuah sinopsis novel sebelum menghadiri bengkel dan tanpa jangkaan, sinopsis beliau mendapat perhatian daripada Dr. Othman Puteh dan beliau diminta mengembangkan cerita tersebut yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi penulis ketiga terpilih bagi siaran novel bersiri ruangan agama akhbar Utusan Malaysia selepas Faisal Tehrani dan Aminah Mokhtar.

Rentetan daripada penulisan novel bersiri inilah maka lahirnya karya bestseller beliau, Salju Sakinah yang sehingga hari ini sudah terjual lebih 30 ribu naskah dalam masa dua tahun.

Selain daripada itu, tiga lagi novel kelahiran beliau adalah novel yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan seperti Sesegar Nailofar (ke-3 kategori remaja, 2000), Rona Bosphorus (ke-2 kategori remaja, 2002) dan Justeru Impian di Jaring (Tempat pertama kategori remaja, 2006).

Saya pernah berseloroh kepadanya, “Ustaz, adakah ustaz menulis hanya untuk menang…?”

Beliau tergelak kecil.

Mengapa penulis wajib berdakwah?

Antara mutiara perkongsian yang dapat dikutip sepanjang sesi itu adalah, apabila beliau menyatakan bahawa penulis wajib berdakwah melalui mata pena mereka. Dia mengakui dirinya juga tidak jelas matlamat pada peringkat awalnya, namun selepas melihat betapa penulisan itu memberi dan mampu meninggalkan bekas dalam hati pembaca samada baik mahupun buruk, beliau memutuskan bahawa penulisan kreatif sebenarnya juga adalah salah satu medium dakwah yang sangat berkesan.

Ini adalah kerana menurut beliau, yang pertamanya kita adalah khaira ummah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah ali-Imran, ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)….”

Yang kedua, beliau menegaskan bahawa antara tugas penulis dan pendakwah adalah membentuk generasi ‘ulul albab sebagaimana Allah menyatakan dalam surah ali-Imran, ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Antara alat atau modal bagi dakwah ini adalah penulisan kreatif dalam erti kata novel dakwah. Dengan penciptaan watak yang memenuhi kriteria qudwah hasanah iaitu suri teladan yang sempurna mengikut lunas Islam dan sunnah.

Antara ciri wataknya adalah bercita-cita tinggi, kuat semangat dan roh Islamnya, memiliki sifat-sifat mahmudah, bijak bertindak dalam apa jua situasi, peka dan sensitif akan hal sekeliling terutamanya isu-isu berkaitan dengan dunia Islam.

Selain daripada itu, beliau juga menyatakan bahawa novel-novel dakwah ini mampu menjadi alternatif kepada novel-novel cinta picisan yang sememangnya terbukti menyumbangkan persen kepada gejala-gejala sosial pada hari ini. Penyeimbangan daripada sudut bentuk dan makna juga mesti menjadi tema penulisan dakwah.

Bagi memesrakan penulisan dakwah agar ia tidak menjadi satu prejudis baru kepada khalayak sasaran iaitu pembaca remaja terutamanya, sesebuah karya kreatif dakwah itu haruslah seimbang dengan memilih jalan tengah antara pengajaran dan hiburan. Adalah mustahil sesebuah karya dakwah mahu dibaca oleh khalayak sasar jika pakejnya kelihatan ekslusif untuk pembaca yang beraliran agama sahaja.

Ustaz Zaid Akhtar juga melontarkan pandangan dengan menyatakan novel dakwah seharusnya menjadi perisai kepada agama dengan pengisian wacana, wahana dan maklumat sekaligus sebagai senjata perang halus bagi menentang dakyah-dakyah semasa musuh Islam.

Kesimpulan

Di akhir sesi bengkel singkat ini, Ustaz Zaid Akhtar menyimpulkan:

1. Dakwah kreatif melalui penulisan adalah satu kewajipan dakwah dan ianya adalah ibadah serta satu taklifan.

2. Setiap penulisan semestinya diniatkan dan diiringi dengan pengharapan kepada reda Allah.

3. Sebuah penulisan yang baik dan berkesan harus dirancang dengan dengan teliti, berstrategi dan bersepadu agar apabila ia dilepas ianya menjadi bak panah yang dilepaskan dari busur lantas tepat kepada sasarannya.
___________________________________________________________

Nota: Sebahagian daripada artikel ini sudah diterbitkan dalam ruangan Sastera Budaya, Harakah, edisi 30 Ogos - 2 September 2010. Sebarang cuplikan atau pautan perlu juga dikreditkan kepada Harakah.
___________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi

27 August 2010

Seputar Program Bedah Buku di UPM: Anjuran PMIUPM

Alhamdulillah, program bedah buku yang dirancang sebulan sudah berjalan dengan lancar. Saya mengutip banyak pengalaman baru apabila pertama kali bergandingan dengan Tuan Abdul Latip Talib @ Pak Latip, novelis sejarah Islam nombor wahid di Malaysia.

Mahasiswa menunjukkan komitmen dan minat yang tinggi kepada apa yang diperkatakan. Jadi apakah benar apabila ada yang mengatakan, pelajar kita tidak suka sejarah? Atau bahan sejarah itu sendiri yang menyebabkan masyarakat menjadi tidak suka kepada sejarah?
____________________________________________________________

Kain rentang yang kreatif.

Poster program.

Ketibaan.

Pengucapan sulung.

Menanti giliran.

Bermula.

Pertengahan.

Mahasiswa dan mahasiswi UPM.

Mengutip pengalaman.

Penyampaian.

Penyampaian.

Bersama mahasiswa dan mahasiswi UPM.

Novel Sejarah Tokoh yang laku keras.

Kata-kata semangat.

Bersama pengarah program.

Penulis, editor dan barisan AJK program.

Alhamdulillah, laku keras....

24 August 2010

Laporan Wartawan PTS

Bengkel Penulisan UPM: Penulis dan Editor PTS Turun Padang
Roziyah — 23 Aug 2010

Penulis dan editor-editor PTS berbesar hati turun padang bagi memeriahkan program bedah buku dan Kurus Karyawan Ilmuan Islam-Superior di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 21 dan 22 Ogos lalu.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia(PMIUPM) ini membuka peluang kepada mahasiswa-mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berminat dalam dunia penulisan ini.

Turut hadir memberi ilmu bernilai dalam dunia penulisan ini adalah penulis novel sejarah Islam nombor 1 PTS, Tuan Abdul Latip Talip serta penulis novel srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah, Tuan Zahiruddin Zabidi.

Melalui program bedah buku tokoh sejarah Islam ini, Tuan Abdul Latip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip telah merungkai rahsia Sultan Mohd Al-Fateh, Penakluk Kota Konstantinopel serta Salahuddin Al-Ayubi, Pembuka Jerusalem, pembebas Palestine.

Pak latip secara terperinci menceritakan mengenai kisah dua tokoh Islam ini yang telah dijadikan sebagai novel.

Mahasiswa-mahasiswa yang hadir juga tidak melepaskan peluang bertanyakan rahsia Pak Latip dalam beliau menghasilkan karya-karya tokoh sejarah Islam.

Tuan Zahiruddin Zabidi juga mengeluarkan isi cerita novel Srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah yang mencuit hati mahasiswa-mahasiswa yang hadir. Kisah cinta sufi srikandi ini dikongsi kepada semua mahasiswa yang hadir.

Editor-editor dari PTS Islamika Sdn Bhd dan PTS Litera Sdn Bhd juga hadir bagi memberi panduan kepada mahasiswa dalam Kursus Karyawan Ilmuan Islam-Superior.

Melalui bengkel ini, mahasiswa didedahkan langkah-langkah bagi menjadi penulis PTS secara serius.

Editor-editor PTS iaitu Tuan Rohidzir Rais dari PTS Islamika serta Cikpuan Faizah dan Cikpuan Faslin Syarina Salim dari PTS Litera Utama Sdn Bhd berbesar hati memberi panduan kepada mahasiswa-mahasiswa UPM yang berminat menulis di PTS.

Mahasiswa yang hadir gembira serta menganggap bengkel yang diadakan ini sebagai landasan bagi mereka menghasilkan karya bersama PTS kerana sebelum ini mahasiswa yang berminat menulis tidak didedahkan dengan langkah menjadi penulis secara serius.

Bagi Editor Perolehan PTS Litera, Cikpuan Faiizah, program mahasiswa seperti ini mampu membuka peluang kepada mahasiswa meluaskan bakat dalam bidang penulisan.

"Usaha mahasiswa menganjurkan program seperti ini harus dipuji kerana langkah ini mampu mendedahkan mahasiswa kepada dunia penulisan," jelas Cikpuan Faiizah.

Bagi penulis dan juga editor PTS Islamika, Tuan Zahiruddin Zabidi berkata program yang sama harus diperbanyakkan lagi agar mahasiswa didedahkan dengan tuntas berkenaan dengan dunia penerbitan lantas melorong mereka bagi menjadi seorang penulis.

"Sebagai seorang editor sekaligus seorang penulis, pihak kami tidak akan keberatan bagi menghadirkan diri ke mana-mana jemputan mahasiswa bagi mengadakan bengkel.

"Bagi yang berkeinginan mengadakan bengkel seumpama yang dilaksanakan di UPM, boleh sahaja emel dan hubungi atau lebih molek hadir ke pejabat bagi berbincang dengan pihak kami. Insya Allah pihak kami akan sentiasa menghulurkan tangan bagi memimpin dan membimbing mahasiswa bagi merealisasikan impian mereka menjadi seorang penulis," jelas beliau kepada mahasiswa yang ingin menganjurkan program seperti ini.

Akhir sekali, penulis-penulis PTS yang hadir melapangkan masa bagi sesi menandatangani buku hasil tulisan mereka. Editor-editor PTS juga mengambil sisa-sisa masa dengan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh mahasiswa yang hadir.

Mahasiswa yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila PTS apabila PTS membuka meja menjual buku PTS dengan diskaun hebat khas buat mahasiswa yang hadir.

Membeli Buku di Gramedia

1

2

3

4

5

6

7

8

Berapakah harga kesemua buku ini?


Alhamdulillah, saya hanya membelanjakan RM96.00 sahaja di Gramedia The Mine's bagi mendapatkan kesemua judul di atas. Ini adalah kerana kesemua buku dari Indonesia versi asal mendapat diskaun sehingga 50% sehingga bulan Oktober ini.
______________________________________________

Nota: Kepada peminat Habiburrahman El-Shirazy (Kang Abik), juga ada novel-novel beliau dalam versi asal, 50% diskaun menanti anda.

20 August 2010

Jemputan ke Program Bedah Buku dan Bengkel Penulisan


Program Bedah Buku (PBB) bersama Pak Latip (Buku Salahuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhammad Al- Fateh) dan Tuan Zahiruddin Zabidi (Buku Rabiatul Adawiyah):

Tarikh : 21 Ogos 2010 (Sabtu)
Masa : 9 pagi - 1 petang
Tempat : Dewan Putra 2, Kolej Serumpun, UPM

Kursus Karyawan Ilmuan Islam Superior bersama PTS Islamika & PTS Litera (Bahagian 1)

Tarikh : 21 Ogos 2010 (Sabtu)
Masa : 2 petang – 4.30 petang
Tempat : Dewan Putra 2, Kolej Serumpun, UPM

Kursus Karyawan Ilmuan Islam Superior bersama PTS Islamika & PTS Litera (Bahagian 2)

Tarikh : 22 Ogos 2010 (Ahad)
Masa : 9 pagi – 1 petang
Tempat : Dewan Putra 2, Kolej Serumpun, UPM

PERHATIAN UNTUK SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENYERTAI KURSUS KARYAWAN ILMUAN ISLAM SUPERIOR:

PTS ISLAMIKA akan menganjurkan kursus penulisan kreatif karya Islamik bagi membantu penulis menulis berdasarkan kriteria yang dikehendaki.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Kursus Karyawan ini, sila lakukan pendaftaran segera kepada:

* SaudaraAkhmal (017-4123204 )
* Saudari Syurafak (03-4264542)

Bagi mereka yang bersungguh-sungguh mahu menulis, hantarkan maklumat berikut:

* Nama
* No Matrik
* Kolej
* Pengajian dan semester
* Emel
* No. Telefon

Peserta kursus karyawan ini terbuka kepada:

* MAHASISWA UPM

* PENSYARAH UPM

* STAF UPM

* MASYARAKAT LUAR UPM

Sebarang masalah berkenaan program ini, boleh hubungi Saudara Akhmal atau Saudari Syurafak seperti yang tertera di atas.

Semua dijemput hadir. Jumpa anda di sana.

Jazakallahukhairan jaza.

Lagi Ulasan Novel RA di Blog

Saturday, July 10, 2010

♥♥Rabiatul Adawiyah♥♥

Alhamdulillah... selesai sudah aku membaca novel sejarah Srikandi Islam berjudul Rabiatul Adawiyah karya Zahiruddin Zabidi. Sebenarnya sejak minggu lalu aku sudah mahu membelinya ketika menghadiri kursus BMT Puan Ainon, tetapi memandangkan ketika itu kewangan aku tidak mengizinkan untuk aku memiliki novel ini jadi aku bersabar. Akhirnya aku telah membelinya dua hari lalu di kedai buku popular dengan mendapat 20% diskaun kerana aku memiliki kad keahlian. Alang-alang mendapat diskaun aku turut membeli beberapa buku lain iaitu Munajat Malam, Dahsyatnya Doa Ibu dan dua buah buku rujukan PMR untuk adik lelaki aku.

Ternyata, novel Rabiatul Adawiyah ini sangat mengasyikkan aku semasa membacanya. Malam tadi kali terakhir aku melihat jam di dinding ialah pukul 3.15am dan ketika itu aku masih sedang membaca novel ini. Niat hati mahu saja membacanya hingga tamat, tapi kerana berasa terlalu mengantuk, aku berhenti membaca dan bercadang untuk menyambung baca pada esok hari. Begitulah sejurus selepas aku menyelesaikan kerja-kerja rutin harian tadi, aku pun menyudahkan bacaan aku di beranda rumah.

Benar seperti kata Puan Ainon ketika kursus BMT minggu lalu, "Belilah dan bacalah novel Rabiatul Adawiyah ini, pasti anda akan menitiskan airmata!". Ya! Aku juga telah menitiskan airmata di akhir pembacaan novel ini. T____T

Rabiatul Adawiyah bukan wanita biasa, beliau adalah wanita yang diangkat tarafnya menjadi wali. Beliau diuji Allah dengan pelbagai dugaan sepanjang hayatnya. Namun beliau sentiasa redha, untuknya Allah tahu apa yang terbaik buat dirinya. Tiada sebaik-baik pelindung selain Allah. Baginya hanya Allah kekasih hatinya. Sampai akhir hayatnya beliau tersenyum pada saat malaikat maut datang ke arahnya. Subhanallah~

Kagum aku dengan karya penulisan Tuan Zahiruddin Zabidi ini, lebih aku kagum apabila melihat di facebooknya dan mendapati beliau baru sahaja berusia 25 tahun, bermakna sebaya dengan aku. Masyaallah~~ seorang lagi penulis muda yang sangat berbakat. Aku dapati novel ini adalah karya sulung beliau. Jika selepas ini muncul lagi karya beliau di pasaran, aku tidak teragak-agak untuk membelinya. Semoga beliau terus berkarya dan berjaya di masa hadapan kelak,,Amin.