Bengkel Penulisan UPM: Penulis dan Editor PTS Turun Padang
Roziyah — 23 Aug 2010
Penulis dan editor-editor PTS berbesar hati turun padang bagi memeriahkan program bedah buku dan Kurus Karyawan Ilmuan Islam-Superior di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 21 dan 22 Ogos lalu.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia(PMIUPM) ini membuka peluang kepada mahasiswa-mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berminat dalam dunia penulisan ini.
Turut hadir memberi ilmu bernilai dalam dunia penulisan ini adalah penulis novel sejarah Islam nombor 1 PTS, Tuan Abdul Latip Talip serta penulis novel srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah, Tuan Zahiruddin Zabidi.
Melalui program bedah buku tokoh sejarah Islam ini, Tuan Abdul Latip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip telah merungkai rahsia Sultan Mohd Al-Fateh, Penakluk Kota Konstantinopel serta Salahuddin Al-Ayubi, Pembuka Jerusalem, pembebas Palestine.
Pak latip secara terperinci menceritakan mengenai kisah dua tokoh Islam ini yang telah dijadikan sebagai novel.
Mahasiswa-mahasiswa yang hadir juga tidak melepaskan peluang bertanyakan rahsia Pak Latip dalam beliau menghasilkan karya-karya tokoh sejarah Islam.
Tuan Zahiruddin Zabidi juga mengeluarkan isi cerita novel Srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah yang mencuit hati mahasiswa-mahasiswa yang hadir. Kisah cinta sufi srikandi ini dikongsi kepada semua mahasiswa yang hadir.
Editor-editor dari PTS Islamika Sdn Bhd dan PTS Litera Sdn Bhd juga hadir bagi memberi panduan kepada mahasiswa dalam Kursus Karyawan Ilmuan Islam-Superior.
Melalui bengkel ini, mahasiswa didedahkan langkah-langkah bagi menjadi penulis PTS secara serius.
Editor-editor PTS iaitu Tuan Rohidzir Rais dari PTS Islamika serta Cikpuan Faizah dan Cikpuan Faslin Syarina Salim dari PTS Litera Utama Sdn Bhd berbesar hati memberi panduan kepada mahasiswa-mahasiswa UPM yang berminat menulis di PTS.
Mahasiswa yang hadir gembira serta menganggap bengkel yang diadakan ini sebagai landasan bagi mereka menghasilkan karya bersama PTS kerana sebelum ini mahasiswa yang berminat menulis tidak didedahkan dengan langkah menjadi penulis secara serius.
Bagi Editor Perolehan PTS Litera, Cikpuan Faiizah, program mahasiswa seperti ini mampu membuka peluang kepada mahasiswa meluaskan bakat dalam bidang penulisan.
"Usaha mahasiswa menganjurkan program seperti ini harus dipuji kerana langkah ini mampu mendedahkan mahasiswa kepada dunia penulisan," jelas Cikpuan Faiizah.
Bagi penulis dan juga editor PTS Islamika, Tuan Zahiruddin Zabidi berkata program yang sama harus diperbanyakkan lagi agar mahasiswa didedahkan dengan tuntas berkenaan dengan dunia penerbitan lantas melorong mereka bagi menjadi seorang penulis.
"Sebagai seorang editor sekaligus seorang penulis, pihak kami tidak akan keberatan bagi menghadirkan diri ke mana-mana jemputan mahasiswa bagi mengadakan bengkel.
"Bagi yang berkeinginan mengadakan bengkel seumpama yang dilaksanakan di UPM, boleh sahaja emel dan hubungi atau lebih molek hadir ke pejabat bagi berbincang dengan pihak kami. Insya Allah pihak kami akan sentiasa menghulurkan tangan bagi memimpin dan membimbing mahasiswa bagi merealisasikan impian mereka menjadi seorang penulis," jelas beliau kepada mahasiswa yang ingin menganjurkan program seperti ini.
Akhir sekali, penulis-penulis PTS yang hadir melapangkan masa bagi sesi menandatangani buku hasil tulisan mereka. Editor-editor PTS juga mengambil sisa-sisa masa dengan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh mahasiswa yang hadir.
Mahasiswa yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila PTS apabila PTS membuka meja menjual buku PTS dengan diskaun hebat khas buat mahasiswa yang hadir.
No comments:
Post a Comment