31 August 2010

Komen Pensyarah Kuliah Perubatan UIAM terhadap novel RA

(Selepas disunting)

Assalamualaikum,

Terlebih dulu saya ucapkan tahniah dan syabas kerana berjaya menghasilkan karya yang sarat dengan maklumat yang disampaikan dengan bahasa yang mudah dan santai. Saya menghabiskan seluruh buku tersebut dalam masa dua hari.

Cuma yang saya kesalkan adalah terlalu banyak ‘typing error’ menjadikan saya tertanya-tanya di manakah ketelitian proof reader buku tersebut. Seperkara lagi yang saya agak musykil adalah berkenaan bab di mana penceritaan memberikan gambaran bahawa Rabiatul Adawiyah bebas bergaul dengan Hassan al-Basri seperti dalam bab yang membincangkan karamah di Sungai Furat. Harap penulis lebih berhati-hati, wallahu a’lam.

Mungkin pembaca perlu di didik untuk mendapat gambaran yang jelas bagaimana seharusnya pergaulan antara ulama lelaki dan perempuan kerana pada pendapat saya ianya sangat kabur. Saya sentiasa menyokong karya Islamik dan akan cuba memberikan pandangan yang membina untuk kebaikan bersama.

Terima kasih, wasallam.

DR ARIFF BIN OSMAN
KULLIYAH OF MEDICINE, IIUM
KUANTAN PAHANG
___________________________________________________________

(Emel balas saya kepada beliau)

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Didoakan tuan dr. dan keluarga sentiasa dipayungi rahmat dan rahim Allah taala, tambahan pula di saat akhir ramadan yang bakal meninggalkan kita tidak lama lagi.

Alhamdulillah, saya mengutuskan rasa syukur dan terima kasih kerana tuan sudi memiliki dan menguliti novel RA. Sungguh, yang hebat itu Allah dan yang dikuniakan kehebatan itu adalah Rabiatul Adawiyah sendiri.

Berkenaan dengan 'typo' yang agak kerap, perlu diakui bahawa memang ada kealpaan di saat proses pemurnian. Antara sebabnya adalah saya hanya sempat membaca pruf setengah bab terawal sahaja kerana 'deadline'nya. Namun pihak pengurusan sudah dimaklumkan dan akan sebaik mungkin membuat pembetulan semula terhadap naskah tersebut pada cetakan seterusnya. Apapun saya sebagai penulis mewakili seluruh tim kerja yang menguruskan buku itu memohon ribuan maaf daripada tuan dan pembaca-pembaca lain.

Berkenaan dengan persoalan tuan mengenai peristiwa-peristiwa yang menggambarkan Rabiah dan ulama-ulama dalam keadaan yang tidak sewajarnya, saya juga mengalami situasi yang sama saat menulisnya bahkan sudah ada yang tidak dimasukkan. Namun saya juga yakin bagi mereka yang benar-benar menghayati kisah RA, mereka akan mendapati bahawa RA adalah sangat istimewa khususnya dalam bab menguruskan nafsu, nafsu adalah tunggangannya semata-mata dan bukan alat yang digunakan.

Saya tuliskan juga plot itu kerana husnu-zhan atau sangka baik dengan beriktikad bahawa peristiwa itu berlaku di tepi Sungai Tigris yang bermakna tempat awam dan terbuka. Samada para pembaca ingin membayangkan tempat tersebut ada ramai orang atau tersorok langsung daripada mata orang ramai, suka saya serahkan kepada pembaca bagi membuat telahan. Apatah lagi apabila subjeknya adalah RA dan Hasan al-Basri sendiri.

Namun saya tidak akan teragak-agak bagi membuang peristiwa ini jika ada individu yang boleh memaklumkan kepada saya akan kebatilan kisah ini, insya Allah, inilah sikap saya terhadap karya-karya saya.

Apapun, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada tuan kerana sudi memiliki novel RA. Teguran tuan membuktikan cakna tuan kepada Islam itu sendiri. Saya amat berbangga dengan teguran itu, insya Allah.

Insya Allah, jika ada jodoh kita jumpa di alam nyata dan bukan hanya di alam maya ini.

Terima kasih, wassalam.

Zahiruddin Zabidi

No comments: