Pada minggu sudah saya mengepos satu status di FB berkenaan dengan kecenderungan saya terhadap Sastera Islam. Benar saya ingin mencari pencerahan dalam hal tersebut, maka mereka yang alim lagi faqih dalam bidang tersebutlah wajar dirujuk.
Allah menyatakan dalam al-Quran, surah al-Anbiyak ayat 12 yang bermaksud, "Maka bertanyalah kepada ahlinya apabila kamu tidak mengetahui."
Semangat bagi mengambil jalan penulisan kreatif sebagai wadah dakwah semakin melonjak-lonjak selepas buku sulung selamat maujud dalam pasaran buku. Alhamdulillah, sambutannya juga menggalakkan di samping komentar dan ulasan para pembaca yang positif. Maha syukur kepada Allah yang memberikan saya peluang ini.
Ada juga seorang sahabat FB yang sekarang sedang belajar di Mesir berkongsi kepada saya bahawa usaha kecil saya yang cuba mempopularkan dakwah melalui penulisan sastera kreatif ini sudah mendapat perhatian di kalangan sahabat-sahabatnya sekitar USIM dan UKM, sejauh mana kebenarannya hanya Allah yang tahu. Jika benar begitu, saya bersyukur malah akan mnegesyorkan mereka mula menulis dengan serius bagi berdakwah, insya Allah.
Berikut status yang saya pos dahulu:
Kalau ingin mengkaji Sastera Islam, bagus meneruskan pengajian di bawah Pengajian Islam atau Pengajian Sastera itu sendiri?
Alhamdulillah, tanpa disangka ada dua orang sahabat Fb yang sangat prihatin lewat status saya itu, sementalahan pula mereka adalah pelajar dalam jurusan yang agak karib berkaitan dengan Sastera Islam. Kata mereka:
Tuan Shah Rizan Mohd Nor: Di bawah APIUM... Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Fokus kepada kajian perbandingan Sastera Islam. Mungkin buku 'Sastera Islam: Citra Nurani Ummah' oleh Mohamed Anwar Omar Din terbitan PUKM boleh membantu sebagai bacaan awal. Sekadar pandangan naif daripada saya.
Saya amat berterima kasih kepada Tuan Shah Rizan atas maklumat yang sangat informatif itu. Insya Allah, saya akan cuba dapatkan buku tersebut seberapa segera. Kalau rancangannya mahu dijalankan pertengahan 2012, maka tidak salah saya katakan bahawa bahan bacaan dan rujukan sudah boleh dikumpul bermula saat ini.
Kemudian seorang lagi sahabat FB yang prihatin sudi berkongsi dengan saya mengenai peluang yang wujud di tempat beliau, sebenarnya juga di APIUM. Cuma dalam jabatan yang berbeza. Beliau memberikan sarana tersebut:
Nies Noraliena: Ingin memberi pendapat... juga APIUM iaitu di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam. Pada peringkat sarjana muda lagi Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam telah mendedahkan para pelajarnya dengan kesusasteraan Islam, kesusasteraan Melayu klasik Islam di Malaysia, Persuratan Melayu Islam dan sebagainya.
Teruja, ya. Saya sangat teruja mendengarnya, tambahan pula ketua jabatan mereka adalah kenalan saya, Dr. Roslan Md. Isa. Jikapun saya tidak ada peluang menyambung belajar di sini, paling kurang saya sudah tahu di mana boleh saya merujuk jika ada sebarang kemusykilan berkenaan dengan Sastera Islam ini.
Cumanya, sehingga kini masih belum ada peluang bagi bertandang ke sana walaupun sudah beberapa kali memaklumkan kepada Dr. Roslan.
Insya Allah, saya akan sampai jua. Ada yang mahu saya cari dalam dunia sastera itu, walaupun masih pucuk bertatih, namun saya sudah bermula dan akan terus melangkah. Kerana saya mahu menjadi penulis yang memberikan manfaat yakni ilmu yang berpanjangan kepada ummah. Sehinggakan saya sudah dipanggil Allah bagi diam di alam barzakh sekalipun.
Ayuh ladeni metode dakwah sastera Buya Hamka dengan gesit.
Ayuh hidupkan roh dakwah Tok Kenali dengan gilang kembali.
Al-ilmu yuntafi'ubih.
______________________________________
Zahiruddin Zabidi
No comments:
Post a Comment