01 September 2010

Kuliah 1 Akidah 1 Ummah di UPM


Saya mendapat panggilan lewat program bedah buku minggu sudah (21-22 Ogos 2010) oleh saudara Firdaus, salah seorang exco PMIUPM. Saya dijemput menyampaikan kuliah akidah katanya, alhamdulillah saya menerimanya dengan hati yang terbuka apatah lagi saya adalah pelajar aliran Usuluddin, insya Allah cocok bagi berkongsi mengenai isu akidah ini.

Walaupun sehari sebelumnya saya bertolak pulang ke Cameron Highland bagi menjemput isteri yang pulang bercuti bersama ayahnya tempoh hari. Kami bertolak kembali ke Kuala Lumpur keesokan paginya kurang lebih jam 4.30 pagi selepas bersahur.

Selepas selamat sampai di Wangsa Maju dalam 8.30 pagi dan berehat seketika, saya capai buku terjemahan daripada Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk Haqiqatul Tauhid yang membawa maksud 'Hakikat Tauhid' bagi membuat sedikit semakan dan penambahan dalam nota kuliah kelak.

Sedikit ralat apabila sampai di sana dan mendapati bahawa majlis tersebut adalah majlis rasmi PMIUPM yang saya sangka adalah majlis kuliah mingguan biasa. Dengan hanya berselipar dan berbaju T berkolar, wajah ini perlu ditebalkan seketika bagi melancarkan proses penyampaian.

Alhamdulillah, kuliah yang berlangsung dalam sejam setengah itu berjalan lancar dan banyak juga soalan yang menjengah di hujungnya. Masa yang singkat membataskan persoalan adik-adik siswa dan siswi dijawab satu persatu.

Antara intisari ceramah kali ini adalah:

- Apakah itu akidah dan tauhid.
- Apakah maksud tuntas La ilaha illa Allah.
- Perbezaan akidah Islam dan kafir.
- Secara fitrahnya, orang kafir juga memperakui kewujudan Allah.
- Lawan kepada tauhid adalah syirik.
- Hidup umat Islam perlu berorientasikan akidah tauhid.
- Akidah dalam laras bahasa, kepentingannya.
- Ibadah yang tidak berpaksikan akidah Islam melahirkan generasi sekular.
- Kepentingan akidah dalam berdakwah, luruskan niat.
- Dan beberapa isu semasa yang dikaitkan dengan isu akidah....

Alhamdulillah, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kepimpinan PMIUPM atas jemputan dan tidak lupa juga kepada adik-adik peserta yang sudi menadah telinga. Semoga yang baik dijadikan tauladan dan yang tidak baik itu jadikanlah sebagai sempadan.

Kerana yang molek itu datangnya daripada Allah dan yang tidak baik itu adalah pilihan kita, sebagai manusia dan hamba Allah sendiri.

Wallahu'alam.
____________________________________________________________

Nota: Beberapa lontaran idea berbentuk cabaran kepada barisan kepimpinan juga diutarakan, semoga dapat mencetuskan kesinambungan budaya ilmu Islam yang membina ummah. Mungkin Haqiqatul Tauhid sesuai bagi sesi kuliah akidah kelak, insya Allah.
____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: