22 September 2010

Ustaz Azman @ Ibnu Ahmad al-Kurauwi: Agamawan Perlu Menjadi Sasterawan

Alhamdulillah, zaman kebangkitan Hamka moden sedang melanda negara. Maksud saya adalah apabila diperhatikan dalam arena penulisan kreatif khususnya, semakin ramai para agamawan yang memilih bidang penulisan kreatif sebagai wadah dakwah mereka.

Barisan nama seperti Dr. Haji Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Khusyri Amiza, Nazmi Yaakub, Syafiq Zulakifli, Ahmad Ubaidillah Alias, Salina Ibrahim serta ramai lagi yang seangkatan dengan mereka adalah antara penulis kreatif yang mempunyai latar pendidikan agama secara profesional paling kurang di peringkat ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam dan juzuknya.

Jika zaman dahulu kita diceritakan bagaimana karya-karya sastera berbentuk novel, puisi, sajak, seloka dan pantun sangat sebati dengan unsur-unsur dan nilai keagamaan yang tinggi sekaligus memberikan didikan kepada masyarakat secara kreatif. Ini adalah kerana para ulamalah yang menguasai dan membangunkan arena persuratan pada zaman itu.

Siapa tidak kenal Syed Syeikh al-Hadi, siapa tidak kenal Tok Kenali, siapa yang tidak pernah tahu mengenai Hamka dan ramai lagi. Para ulama ini pada zaman mereka sedar bahawa perlunya satu pendekatan yang kreatif bagi menyeimbangkan antara hiburan dan dakwah kepada ummah.

Hasilnya, sangat jarang dan boleh dikatakan tidak ada orang Melayu Islam yang murtad pada zaman itu meskipun mereka adalah tali barut British, penjudi dan penzina serta segala macam kejahatan lagi. Namun akidah mereka, kepercayaan kepada Allah tetap utuh.

Kini saya boleh namakan sebaris penulis yang mendapat luhur pendidikan peringkat ijazah sarjana muda bidang agama malah dari luar negara sudah sudi berpencak silat dalam arena sastera dan persuratan tanah air.

Fenomena ini dilihat sangat positif. Masing-masing sudah mempunyai buah tangan yang sedang berlegar dalam masyarakat dengan cereka yang penuh dengan unsur Islam dan dakwah itu samada novel, cerpen, naskah drama pentas, skrip drama, sajaka, puisi, syair dan sebagainya. Karya-karya mereka juga sangat diterima baik lantaran menjadi alternatif kepada kebejatan karya-karya picisan yang penuh dengan perkara mungkar yang disengajakan.

Salah seorang yang saya maksudkan adalah Ustaz Azman bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Salah seorang lulusan Universiti Muktah, Jordan, dalam jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan.


Walaupun profesion penulisan kreatif beliau bermula agak lewat yakni selepas pulang dari Jordan, namun beliau membuktikan bahawa ianya bukan penghalang bagi menghasilkan buah tangan yang baik bagi dikongsikan dengan ummah atas nama dakwah.

Setakat ini, selepas hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia penulisan kreatif secara serius beliau sudah menghasilkan jujutan cerpen dan novel termasuk tulisan bukan kreatif. Antara novel yang sudah dilahirkan adalah Tinta Elipsis (DBP: 2007), Insyirah (DBP:2007), satu antologi cerpen yang diberi judul Di Dadanya Kalam Tuhan (DBP: 2009) yang merupakan himpunan cerpen-cerpen beliau yang tersiar di akhbar perdana sepanjang 2002-2009.

Terbaharu beliau cuba mengorak langkah dengan memilih sebuah syarikat penerbitan swasta iaitu PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Dengan itu lahirlah naskah yang diberi judul Punya Cinta Ramadan (PTS Litera Utama: 2010) yang dikatakan mendapat sambutan yang hangat serta sudah diulang cetak kurang daripada enam bulan selepas cetakannya yang pertama.

Ini sedikit sebanyak menyemarakkan semangat beliau bagi terus berkarya dan manuskrip seterusnya bersama PTS kini dalam proses pemurnian oleh editor dan dijangka berada dalam pasaran sebelum hujung tahun ini. Kisah yang diangkat seputar peristiwa berdarah Natrah yang berlaku sebelum merdeka itu pasti menggugah rasa para peminat sastera Tanah Air serta peminat beliau sendiri, insya Allah.

Sastera dan Dakwah

Saya pernah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan beliau merujuk kepada minat dan kecenderungan yang sama yakni berdakwah melalui penulisan kreatif, kerap juga perbualan dan perbincangan larut hingga ke dalam Facebook.

Menurut beliau, antara sebab mengapa beliau terjun ke dalam dunia penulisan kreatif kerana terkesan dengan tulisan salah seorang tokoh haraki dan dakwah terkenal Ikwan al-Muslimin Syria iaitu Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam buku karangannya yang bertajuk ‘Mendidik Anak Dalam Islam’.

Antara kesalahan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan adalah dengan membenarkan anak-anak membaca novel-novel picisan yang mencetuskan kepada kemahuan syahwat lantas melorongkan mereka kepada maksiat yang meruntuhkan akhlak.

Oleh itu, Ustaz Azman al-Kurauwi berpendapat menjadi kewajipan para ulama dan golongan agamawan menyediakan bahan bacaan kreatif yang selari dan selaras dengan al-Quran serta hadis lantas mampu mendidik dan mentarbiah anak muda. Pendakwah bukan penghukum sebaliknya pendakwah adalah pemberi harapan, begitu juga sastera. Semoga dengan membaca karya para agamawan ini, para pembaca dicetus rasa ingin bertaubat dan ingin kembali kepada Allah. Apakah kebahagiaan yang paling besar kepada seorang penulis selain daripada perkara ini?

Jika semua agamawan bersikap lepas tangan lantas membiarkan karya-karya kreatif berstatus picisan berlegaran di pasaran tanpa menyediakan santapan alternatif kepada para pembaca khususnya para remaja, ianya akan dikira dosa walaupun pada asalnya usaha dakwah dalam penulisan kreatif ini hanyalah fardu kifayah.

Selain daripada itu, beliau juga amat mengagumi ketokohan Prof. Dr Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang sangat faqih dalam urusan fiqh dan usul fiqh namun dalam masa yang sama adalah seorang penyair dan penyajak yang banyak mengembangkan idea dan nasihat lewat puisi-puisinya. Resmi ini adalah warisan yang ditinggalkan oleh al-Imam as-Syafie yang juga seorang ulama yang banyak menghasilkan sajak-sajak dan syair lewat lontaran ilmu dan nasihat kepada ummah.

Kemudian pula, ada Jalaluddin ar-Rumi yang menjadi fenomena di Turki dengan syair-syair sufinya dan seterusnya di Nusantara pula, Syeikh Nuruddin ar-Raniri mula melakar nasihat dan pandangan lewat syair dan sajak yang menjadi kebanggaan orang Islam Nusantara termasuk Tanah Melayu.

Alhamdulillah, tanpa menafikan gelombang ‘Ayat-Ayat Cinta’ karya Habiburrahman El-Shirazy yang sedikit sebanyak mengangkat karya golongan agamawan ini agar lebih diterima dan diberi perhatian pada hari ini walaupun sebenarnya karya-karya sebegini sudah lama berlegar dalam masyarakat, cuma ianya masih ditenggelamkan oleh lautan novel picisan yang menjadi kegilaan remaja.

Dengan itu, kerjasama antara penerbit yang syariah compliant dengan para penulis yang me ndasarkan perjuangan dan dakwah dalam larik pena mereka pasti akan mengubah lanskap pasaran karya kreatif negara suatu hari nanti. Ini adalah cabaran bersama semua pihak yang terlibat dalam dunia kreatif ini dan bukannya urusan individual, jemaah diperlukan bagi memantapkan secara tuntas usaha dakwah kreatif ini.

Sehingga itu, kita menyeru para agamawan agar bersatu dan terus berkarya bagi dikongsikan kepada ummah khususnya di Malaysia yang masyarakatnya amat dahagakan bahan bacaan yang baik dan mampu memberi kebaikan. Semoga semuanya dinilai pahala oleh Allah di akhirat kelak.
___________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi

No comments: