Sumber gambar: http://www.demotix.com/
Solat Tarawih adalah ibadah khusus yang hanya boleh dilaksanakan pada bulan Ramadan. Rasulullah berpesan kepada kita yang bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Solat Tarawih antara lapan dan dua puluh adalah isu yang berlanjutan buat sekian lamanya, dengan berhujahkan hadis Aisyah golongan yang beriktikad lapan menegakkan hujah, walhal sekembalinya Rasulullah daripada sembahyang lapan itu disambungnya pula entah sampai berapa rakaat yang tepat.
Dengan menggunakan hadis yang lain pula golongan yang menyokong ijtihad Umar al-Khattab dalam menyelaraskan sembahyang tarawih daripada disembahyangkan secara individu kepada berjemaah malah rakaatnya yang berbeda kepada dua puluh pula berhujah menegakkan kaulnya.
Pada hakikat hukum, kedua-duanya tidak menjadi salah kerana hukum sembahyang tarawih adalah sunat sahaja. Namun antara keduanya yang mana lebih praktikal dan relevan dengan zaman dan umat ini?
Izinkan saya majukan buat tatapan semua, analisis ringkas antara dua situasi daripada sudut pandang peribadi saya daripada pemerhatian sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Di Kuala Lumpur, rata-rata masjid dan surau bersembahyang tarawih sebanyak 20 rakaat. Di Selangor pula, semenjak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah, masjid dan surau diberi pilihan dan kelonggaran samada mahu sembahyang 20 rakaat tanpa tazkirah atau sembahyang lapan tapi perlu ada tazkirah. Situasi ini tidak pernah berlaku sewaktu kerajaan Barisan Nasional memerintah dahulu.
Saya bersembahyang (bertugas) di masjid dalam kawasan wilayah yang perlu bersembahyang 20 rakaat dan dalam masa yang sama, pada malam tidak bertugas saya akan ke Masjid Wilayah Jalan Duta atau Masjid Asy-Syakirin, KLCC yang juga bersembahyang 20 rakaat tarawih.
Di sini ada satu pandangan yang klise dan berlaku setiap tahun iaitu para jemaah hanya akan benar-benar memenuhi masjid pada 10 malam awal sahaja, bahkan akan balik awal selepas rakaat kelapan. Keadaan ini semakin ketara lewat malam-malam akhir yang sepatutnya dikejar lailatul qadar. Masjid tempat saya bertugas hanya tinggal satu setengah saf sahaja. Saya kira masjid di tempat lain khususnya di Kuala Lumpur juga begitu.
Kebanyakan imam hafiz yang dijemput di masjid yang bersembahyang 20 rakaat akan membaca dengan laju di samping gerakan yang juga cepat di antara rukun. Khuatir kadang-kadang akan tamakninahnya. Ini adalah kerana mahu mengejar habis sebelum jam 10.30 malam. Jika tidak, ada sahaja yang akan komplen nanti!
Keadaan ini jauh berbeda dengan kebanyakan masjid di Selangor yang kini hanya bersembahyang lapan rakaat. Kebetulan saya dijemput menyampaikan tazkirah di satu kawasan perumahan. Imam hafiznya membaca surah dengan panjang dan tenang di samping suaranya yang merdu dan gemersik, saya kira mereka yang tidak faham bahasa Arab sekalipun merasa kenikmatannya.
Saya menjangkakan mereka akan berhenti selepas empat rakaat pertama tamat dan memberi laluan kepada sesi tazkirah yang dianggarkan dalam 20-30 minit itu. Jangkaan saya meleset, mereka meneruskan solat tarawih habis lapan rakaat diikuti witir kemudian barulah sesi tazkirah mengambil tempat. Jangkaan saya, jemaah akan lari pulang sebab sembahyang sudah habis. Namun jangkaan saya meleset….
Hampir 100% jemaah yang hadir samada daripada kalangan warga emas, orang muda bahkan kanak-kanak masih tetap di masjid sambil menunggu tazkirah yang bakal disampaikan. Masya Allah, ini satu fenomena. Tazkirah mengambil tempat dalam setengah jam dan diikuti pula dengan program tadarus al-Quran juga disertai anak-anak. Saat tazkirah habis, jam saya menunjukkan pukul 10.30 malam juga.
Maka jika saya bertanya, antara keduanya (solat 20 atau 8) yang mana lebih relevan bagi kita zaman ini? Apakah jawapan anda?
Zaman ini menyaksikan kebejatan akhlak yang teruk khususnya di Kuala Lumpur antara lain sebabnya adalah kerana masyarakat Melayu Islam di sini sangat jauh dengan majlis ilmu yang berbentuk ceramah, tazkirah dan sebagainya. Jika datang ke masjid pun pada hari Jumaat bagi mendengar khutbah, itupun jika tidak terlelap. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan dengan agama Allah.
Dan di sinilah peluangnya wujud, pada pandangan saya. Tempat berkumpulnya ramai umat Muhammad di Malaysia selepas sembahyang Jumaat adalah sewaktu mahu bersolat tarawih. Saat inilah yang perlu digunakan dengan sebaik-baik oleh para daie dan pentazkir bagi memberikan input-input yang membuka hati dan minda mereka kepada Islam yang sebenar.
Ini terbukti dengan testimoni daripada ramai rakyat Selangor yang pada asalnya agak melenting dengan perubahan ini, namun apabila mendapati cara ini tidak membebankan malah mendamaikan jemaah (kerana boleh rehat selepas lenguh berdiri lama dek bacaan panjang), mereka juga akhirnya berterima kasih kerana hati dan sanubari mereka juga diberi makan dengan ilmu kerana ilmu adalah makanan jiwa. Ini adalah bertepatan dengan falsafah solat tarawih yang mana maksud tarawih itu sendiri adalah rehat, suka saya gunakan perkataan ‘santai’ di sini.
Berapa ramai yang akhirnya terjentik hati mereka lantas berubah dan menjadi jemaah tetap masjid bahkan mungkin berubah sikap dan akhlak serta kehidupan. Asalnya mungkin mereka datang ke masjid kerana terpaksa atau malu muka sebab semua jiran pergi, selepas mendengar tazkirah lantas Allah dengan pemurahnya merahmati hidayah kepada mereka dan terus berubah menjadi insan yang lebih baik. Bayangkan pula berapa ramai yang bersembahyang tarawih seluruh negara, dengan kaum ibu dan kanak-kanaknya.
Semua ini tidak akan berlaku jika tiada sesi tazkirah. Yang menjadi tabu kepada orang Islam adalah angka. Kerana mereka menggunakan logik akal dan logik matematik. Antara 20 dan lapan tentunya 20 lebih banyak dan meletihkan serta lebih lama. Namun apabila tahu di satu masjid itu hanya bersembahyang lapan walaupun ada tazkirah, mereka mampu menunggu sampai 10.30 malam juga, sama waktu tamat dengan masjid yang yang melakukan tarawih 20 rakaat.
Sehingga itu, suka saya syorkan semua masjid di seluruh negara mengamalkan sembahyang lapan disertakan dengan tazkirah bermula pada tahun hadapan dan kita akan lihat kesannya yang sangat positif kepada umat Islam di Malaysia, saya yakin insya Allah.
Kelantan sudah memulakan sesi sebegini lama dahulu bermula di Dataran MPKB, ianya adalah cetusan idea Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan dan kini diteruskan dan diperhebatkan lagi dengan meluluskan bajet khas bagi program Qaryah Ramadan (perkampungan Ramadan).
Zahiruddin Zabidi
No comments:
Post a Comment