18 August 2010

Novel RA: Satu Ulasan Di Blog Pembaca

(Selepas diedit)

Buku Baru....

Author: Raja Umir Yasha bt Raja Ramli
Isnin, Julai 19, 2010

Assalamu'alaikum.

Pada beberapa hari yang lepas, selepas singgah ke booth storm reader di padang kawad, saya terus bergegas ke gerai buku yang satu lagi..

Selepas belek punya belek, tiba-tiba Allah takdirkan bagi bertemu dengan sebuah buku yang bertajuk Rabiatul Adawiyah. Lihat bukunya sahaja hati saya seolah-olah tertarik bagi membelinya.

Tajuk buku tersebut adalah Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi.

Saya memang teringin untuk mengenali wanita yang sangat hebat itu. Tahulah juga sedikit tentang kisahnya. Tapi tidak sedetil saya membaca kisah hidupnya dalam buku tersebut yang merupakan hasil tulisan Ustaz Zahiruddin Zabidi. Bila dibaca sinopsis dibelakangnya tanpa berfikir panjang lagi, saya terus membelinya. Doa saya dalam hati, semoga ada manfaat untuk diri saya. Biarlah melabur sedikit asalkan ada manfaat yang dapat saya kutip.

Di sini, saya hendak ceritakan sdikit tentang apa yang terkandung dalam buku ini.

Rabiatul Adawiyah adalah anak keempat daripada empat orang adik-beradik. Beliau lahir dalam keluarga yang sangat miskin. Ayahnya merupakan orang yang soleh, warak dan zuhud, begitu juga ibunya. Sebelum kelahiran Rabiah ke dunia, ayahnya yangg bernama Ismail al-Adawiy bermimpikan Rasulullah dan baginda memberikan beberapa pesanan kepadanya. Antaranya adalah Rabiah akan menjadi seorang yang luar biasa suatu hari nanti.

Di saat kanak-kanak lain bermain dengan riang gembira, Rabiah menghabiskan waktunya dengan al-Quran. Pada usia seawal 10 tahun beliau sudah menghafal 30 juzuk al-Quran.

Rabiah seorang yang sangat cantik dan anggun. Beliau pun terus membesar. Dalam pada itu, Allah mengujinya dengan mengambil insan yang paling dia sayang dalam hidupnya iaitu ayahnya sewaktu dia kecil. Tidak berapa lama kemudian ibunya pula pulang menghadap Ilahi.. Rabiah tidak bersedih walhal ketiga-tiga kakaknya sangat sedih atas kematian kedua orang tua mereka.

Hendak tahu kenapa? Bacalah buku ini... selamat membaca.

Dialog Rabiah kepada dirinya selepas sedar selepas melelapkan matanya sketika. Dia pun bersyair:

'Wahai diri ini,

Berapakah lamanya engkau perlukan bagi melelapkan dirimu,

Sampai bila dirimu akan berbaring,

Hampir juga terus engkau tidak mampu bangkit,

Kecuali tatkala sangkakala ditiupkan,

Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,

Kerana diri ini akan mendatangiNya'.
_____________________________________

16 August 2010

Sastera Islam Perlu Dilestarikan

Pada minggu sudah saya mengepos satu status di FB berkenaan dengan kecenderungan saya terhadap Sastera Islam. Benar saya ingin mencari pencerahan dalam hal tersebut, maka mereka yang alim lagi faqih dalam bidang tersebutlah wajar dirujuk.

Allah menyatakan dalam al-Quran, surah al-Anbiyak ayat 12 yang bermaksud, "Maka bertanyalah kepada ahlinya apabila kamu tidak mengetahui."

Semangat bagi mengambil jalan penulisan kreatif sebagai wadah dakwah semakin melonjak-lonjak selepas buku sulung selamat maujud dalam pasaran buku. Alhamdulillah, sambutannya juga menggalakkan di samping komentar dan ulasan para pembaca yang positif. Maha syukur kepada Allah yang memberikan saya peluang ini.

Ada juga seorang sahabat FB yang sekarang sedang belajar di Mesir berkongsi kepada saya bahawa usaha kecil saya yang cuba mempopularkan dakwah melalui penulisan sastera kreatif ini sudah mendapat perhatian di kalangan sahabat-sahabatnya sekitar USIM dan UKM, sejauh mana kebenarannya hanya Allah yang tahu. Jika benar begitu, saya bersyukur malah akan mnegesyorkan mereka mula menulis dengan serius bagi berdakwah, insya Allah.

Berikut status yang saya pos dahulu:
Kalau ingin mengkaji Sastera Islam, bagus meneruskan pengajian di bawah Pengajian Islam atau Pengajian Sastera itu sendiri?
Alhamdulillah, tanpa disangka ada dua orang sahabat Fb yang sangat prihatin lewat status saya itu, sementalahan pula mereka adalah pelajar dalam jurusan yang agak karib berkaitan dengan Sastera Islam. Kata mereka:
Tuan Shah Rizan Mohd Nor: Di bawah APIUM... Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Fokus kepada kajian perbandingan Sastera Islam. Mungkin buku 'Sastera Islam: Citra Nurani Ummah' oleh Mohamed Anwar Omar Din terbitan PUKM boleh membantu sebagai bacaan awal. Sekadar pandangan naif daripada saya.
Saya amat berterima kasih kepada Tuan Shah Rizan atas maklumat yang sangat informatif itu. Insya Allah, saya akan cuba dapatkan buku tersebut seberapa segera. Kalau rancangannya mahu dijalankan pertengahan 2012, maka tidak salah saya katakan bahawa bahan bacaan dan rujukan sudah boleh dikumpul bermula saat ini.

Kemudian seorang lagi sahabat FB yang prihatin sudi berkongsi dengan saya mengenai peluang yang wujud di tempat beliau, sebenarnya juga di APIUM. Cuma dalam jabatan yang berbeza. Beliau memberikan sarana tersebut:
Nies Noraliena: Ingin memberi pendapat... juga APIUM iaitu di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam. Pada peringkat sarjana muda lagi Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam telah mendedahkan para pelajarnya dengan kesusasteraan Islam, kesusasteraan Melayu klasik Islam di Malaysia, Persuratan Melayu Islam dan sebagainya.
Teruja, ya. Saya sangat teruja mendengarnya, tambahan pula ketua jabatan mereka adalah kenalan saya, Dr. Roslan Md. Isa. Jikapun saya tidak ada peluang menyambung belajar di sini, paling kurang saya sudah tahu di mana boleh saya merujuk jika ada sebarang kemusykilan berkenaan dengan Sastera Islam ini.

Cumanya, sehingga kini masih belum ada peluang bagi bertandang ke sana walaupun sudah beberapa kali memaklumkan kepada Dr. Roslan.

Insya Allah, saya akan sampai jua. Ada yang mahu saya cari dalam dunia sastera itu, walaupun masih pucuk bertatih, namun saya sudah bermula dan akan terus melangkah. Kerana saya mahu menjadi penulis yang memberikan manfaat yakni ilmu yang berpanjangan kepada ummah. Sehinggakan saya sudah dipanggil Allah bagi diam di alam barzakh sekalipun.

Ayuh ladeni metode dakwah sastera Buya Hamka dengan gesit.
Ayuh hidupkan roh dakwah Tok Kenali dengan gilang kembali.

Al-ilmu yuntafi'ubih.
______________________________________

Zahiruddin Zabidi

13 August 2010

Mesej Ulasan Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi di Facebook

Seorang pembaca Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi, Cikpuan Suhaila Ibrahim menulis mesej kepada saya, katanya:
(Selepas diedit)
Alhamdulillah, saya baru selesai membaca novel Rabiatul Adawiyah petang  tadi semasa di pejabat (apabila ada kelapangan), karya tuan yang saya tempah daripada Encik Budi Yanto... masyaAllah, tulisannya sangat meninggalkan kesan di hati, apatah lagi bagi kami golongan wanita. Andai sahaja saya boleh mewarisi sifat Rabiah dalam kehidupan di zaman penuh godaan ini, moga tuan terus menghasilkn karya yang lebih bermutu. Karya tuan akan jadi koleksi saya selepas karya Tuan Abdul Latip, insyaAllah... (sebenarnya saya tidak tahu tuan adalah penulis buku ini semasa add tuan sebagai rakan FB saya beberapa bulan yang lalu).
Saya menjawab kembali mesejnya seperti di bawah:
Alhamdulillah, tiada yang lebih manis sebagai seorang penulis melainkan dapat 'memberi' kepada para pembaca tulisannya. Yang hebat dan indah itu adalah Allah, dan yang diberikan segala kebaikan dan kelebihan itu pula adalah Rabiatul Adawiyah.

Saya hanya menulis kembali kisah hebatnya itu dengan kaedah yang kreatif agar lebih akrab kepada pembaca.

Alhamdulillah, semoga cikpuan mendapat manfaat dan terinspirasi dengannya.

Salam ramadan karim.
________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

11 August 2010

Panglima Usamah bin Zaid


Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

Alhamdulillah, tahun ini adalah ramadan kedua saya sebagai salah seorang petugas Masjid Usamah bin Zaid. Saya mula bertugas secara rasmi di masjid ini sebagai bilal rawatib pada Oktober 2008. Sedar tidak sedar sudah hampir dua tahun, dan dalam tempoh masa tersebut banyak peristiwa yang manis dan sebaliknya berlaku.

Namun atas sebab-sebab tertentu, perjalanan dan pengembaraan saya bersama panglima Rasulullah yang termuda ini mungkin sudah sampai ke penghujungnya. Ramadan ini adalah ramadan kedua dan mungkin juga adalah yang terakhir.

Tidak banyak jasa saya di sini, cuma saya mahu mengatakan bahawa saya berasa amat bertuah kerana terpilih oleh Allah bagi menjadi salah seorang petugas di sini lewat dua tahun sudah.

Di sini saya pernah menjadi penghuni (sebelum kahwin saya diam di dalam salah satu bilik stor masjid ini), menjadi kerani, menjadi bilal rawatib, menjadi penceramah, menjadi khatib, menjadi tekong tahlil dan yasin dan menjadi adik kepada abang-abang.

Banyak kenangan, ya... banyak sekali. Dan kenangan itu akan tetap di situ. 

Nota:
Sepanjang bulan puasa masjid ini menyediakan perkhidmatan buka puasa, solat terawih dilakukan sebanyak 20 rakaat. Moreh bagi mereka yang habis 20 rakaat juga disediakan. Saya akan bertugas mengikut jadual yang sudah disediakan sepanjang ramadan ini termasuk pada hari raya.

07 August 2010

Penulis dan Penulisan


Alhamdulillah, saat saya menulis catatan ini penulisan novel sejarah saya yang ketiga sudah pun bermula. Apa yang menarik ianya mungkin seiring dengan yang keempat juga. Pada minggu sudah manuskrip kedua saya serahkan kepada tuan editor, Tuan Bahruddin Bekri bagi diuruskan.
Sehari selepas selesai penulisan mengenai kisah cinta antara Aminah dan Abdullah itu, saya diserang demam yang agak teruk sehinggakan terpaksa memohon cuti sakit malah tidak boleh bertugas di masjid. Walau apapun, saya yakin ada hikmah yang Allah mahu nyatakan di sebalik hal-hal yang berlaku itu.

Menulis. Ya, menulis. Kini saya sudah merealisasikan salah satu impian saya bagi bergelar seorang penulis, alhamdulillah. Saya hamburkan kesyukuran yang total kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Kedua ibu bapa saya, adik beradik, pakcik makcik dan yang terutamanya juga isteri dan anak tersayang serta keluarga mentua.

Saya juga sanggup melepaskan jawatan tetap sebagai pegawai kerajaan yang saya galas selama tiga tahun kerana mahu terjun ke lapangan penulisan dengan nilaian 100%. Alhamdulillah, kini saya adalah salah seorang editor pengurusan di PTS Islamika Sdn. Bhd. Sebuah syarikat yang berdiri di atas prinsip perjuangan yang tersendiri.

Tiga tonggak yang menjadi dasar perjuangan dalam dunia penerbitan buku bahasa Melayu benar-benar memikat saya. Dasar Orientasi/ Patuh Syariah (Syariah Compliant), Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dan bebas rasuah inilah yang meyakinkan saya bagi bersama mereka.

Semenjak bersama PTS juga satu persepsi baharu terbina dalam diri saya iaitu kerjaya sebagai penulis mampu memberikan kehidupan yang selesa. Ini sudah terbukti apabila sudah ada penulis PTS yang mendapat jumlah royalti yang melebihi RM100k dalam masa setahun.

Ya, jika ada yang bertanya, apakah kamu berkarya kerana duit. Saya jawab sekali lagi, ya. Ini adalah kerana duit bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan duit mutakhir ini. Royalti yang banyak itu terhasil apabila jumlah buku kita terjual dengan laku keras atau istilahnya bestseller.

Dan yakinilah, indikator bagi sebuah karya yang bermanfaat kepada pembaca adalah buku yang laku keras dalam pasaran. Maksudnya buku yang paling laku adalah buku yang paling ramai pembacanya dan secara automatiknya adalah buku yang paling banyak memberikan manfaat kepada ummah.

Sasaran saya

Saya sudah menulis dalam genre sejarah Islam dan akan terus menulis dalam genre ini, insya Allah. Sudah terbukti juga novel sejarah Islam menepati ciri-ciri buku yang laku keras dan evergreen. Pasarannya masih amat luas dengan jumlah penulisnya yang amat sedikit. Dahulu genre sejarah agak popular dengan buku-bukunya dikeluarkan oleh Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP), namun kini ianya kembali suram dalam jangka yang sudah panjang.

Cuma semenjak kemunculan Abdul Latip Talib @ Pak Latip, genre sejarah Islam mahupun sejarah nasional kembali menjadi tumpuan pembaca. Malah para penulis lama mahupun baru sudah mula cuba-cuba bagi menulis dalam genre ini, saya juga tidak ketinggalan menjadi salah seorang daripada mereka.

Kini saya berani bercita-cita, saya yakin jika saya istiqamah dan tidak lari daripada niat menulis itu bagi berdakwah, Allah akan limpahkan rezekinya kepada saya dalam bentuk royalti yang banyak, insya Allah.

Apa yang saya akan buat jika saya mendapat royalti yang banyak ini? Dua tiga malam lepas saya ada terfikir mengenainya dan kemudian menetapkannya mengikut keperluan.

Perkara yang akan saya buat dengan duit royalti itu kelak mengikut susunan kepentingan adalah:

1. Melangsaikan semua hutang-piutang.
2. Menunaikan umrah dan haji.
3. Menyara yuran pengajian.
4. Perkara-perkara lain yang sepatutnya.

Mungkin terlalu awal bagi saya berkata-kata mengenainya, namun ini adalah impian dan bukan khayalan semata-mata. Ianya akan mampu dilaksanakan jika saya bersungguh-sungguh dan merancang dengan sebaik mungkin gerak kerja saya mulai daripada hari ini.

Sasaran yang jelas perlu diletakkan di hadapan, agar nanti sejarah adalah milik kita. Dengan nama Allah saya berimpian, dengan nama Allah juga saya akan berusaha dan berikhtiar, dengan nama Allah juga saya reda apakah natijahnya kelak.

Man jadda wa jada, man zara'a hasada.
_______________________________________

Zahiruddin Zabidi

06 August 2010

Lagi Ulasan Novel Sejarah Islam Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi di Portal Rasmi PTS

Tuan Mohd Rizalman bin Abd Rahman:
Assalamu’alaikum,

Rabiatul Adawiyah adalah satu nama yang tidak asing lagi di dalam dunia Islam terutama di dalam bidang kesufian. Namanya sememangnya telah gah dan telah menjadi watak yang penting dalam cerita-cerita sufi. Beliau juga adalah seorang wanita yang telah mencapai darjat kewalian dan hal ini dipersetujui oleh ramai ulamak-ulamak. Namun, dalam kisah-kisah yang biasa kita dengari terkandung beberapa cerita yang mengundang fitnah terhadap beliau kerana ada pujian-pujian terhadap beliau yang dianggap berlebihan.

Dalam buku Rabiatul Adawiyah Perindu Cinta Abadi ini, jelas kelihatan penulisnya amat berhati-hati dalam menyampaikan kisah kehidupan Rabiatul Adawiyah. Jika selama ini Rabiatul Adawiyah dibayangkan sebagai seorang wali keramat yang tidak terjangkau darjatnya oleh kita, namun setelah membaca buku ini kita dapat mengenali Rabiatu Adawiyah dengan sifat kemanusiaannya. Bahkan, terasa keagungan itu hanyalah milik Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambanya yang taat.

Kisah Rabiatul adawiyah di dalam buku ini bukanlah kisah khayalan. Sifat-sifat kemanusiaan Rabiatul Adawiyah jelas dinyatakan tanpa mengurangkan darjat wali Allah ini. Dengan ini ia tentu sahaja boleh menjadi inspirasi buat semua manusia untuk menjadi seperti beliau. Semoga kita semua terinspirasi hasil dari membaca karya Tuan Zahirudin Zabidi ini.

Tuan Faizulnizan bin Wahid:

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Assalamualaikum, alhamdulilah, buku ini sangat menarik, dari segi penceritaan, cukup lengkap membincangkan perjalanan hidup seorang hamba Allah yang mana boleh menjadi contoh dan ikutan dalam mencari reda Nya, banyak kisah-kisah menarik yang dipaparkan dalam buku ini,terutama karamah pada diri Rabiatul Adawiyah, bahasa yang ringkas tetapi padat dan bermakna….
Sumber: http://pts.com.my/index.php/buku/rabiatul-adawaiyah/
__________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

03 August 2010

Puisi: Lewat sumpah

Mengoreksi ladunni insani,
apakah tekap luhur kulubnya,
kepada Ilah...
Utuh bagai yang dilafaz,
Sesudah takbir yang sulung,
Lafaz janji ikrar keramat suci,
"Sungguh! Hidupku, matiku, ibadahku...
hanyalah untuk... Allah...!"

Allah... ya,
Allah....
Ya....

Yang sentiasa cakna dan maklumi,
Siapa hak siapa batil,
Siapa jannah,
siapa jahannam!!!

Zahiruddin Zabidi
Wangsa Maju, KL

29 July 2010

Penulis, Pelajar & Impian



Saya akan meneruskan pengajian, insya Allah. Khususnya dalam bidang agama dan kali ini pilihan saya adalah bumi para anbia. Mungkin Mesir, mungkin juga Yaman, Jordan, Syria mahupun Makkah dan Madinah.

Saya sedang merancang. Mengumpul kekuatan fizikal dan material, beberapa sahabat sudah menyampaikan beberapa berita gembira dan maklumat-maklumat yang berguna. Saya dapat rasakan ianya tidak mustahil dan bukan omongan kosong. Sedikit masa lagi, saya akan menginjak ke salah satu bumi anbia ini, insya Allah.

Jika saya ke sana, anak dan isteri akan turut serta. Saya akan bawa mereka bersama. Kami akan tinggal bersama-sama di sana dengan status saya sebagai pelajar dan penulis sepenuh masa.

Insya Allah, ini bukan angan-angan kosong, saya sasarkan impian ini tercapai dalam masa kurang lima tahun daripada sekarang dan ianya akan menjadi kenyataan, insya Allah.

Oleh yang demikian, saya perlu bekerja keras daripada sekarang. Rehlah ilmu ini hanya akan berjalan dengan keizinan Allah. Selain dapat melangsaikan hutang ilmu tersebut, saya juga yakin mampu  memberikan perkongsian yang lebih kepada ummah kelak. Ianya akan dilakukan melalui penulisan mahupun komunikasi verbal.

Sebab itu saya menulis dan menjadi seorang penulis. Memberi, bagi mendapatkan kembali dan dikongsikan kembali.

Saya akan pergi dan menyara hidup saya di perantauan dengan hasil penulisan yang sedang saya tanam dan bajai mulai daripada hari ini. Apabila di sana pula, saya akan terus menerus menulis, lagi dan lagi.

Apakah impian ini adalah khayalan kosong jika nilai royalti hasil tulisan saya persis Pak Latip saban tahun?

Inilah impian dan inilah harapan saya. Hanya kepadaMu ya Allah, hambaMu ini berharap dan diri ini akan terus berusaha.

Amin.
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

25 July 2010

Surat daripada Pembaca Novel RA

(Selepas disunting bahasanya)

Assalamualaikum wbt dan salam ziarah...

Ana salah seorang peminat setia karya-karya novel sejarah srikandi Islam. Pertama sekali ana ingin mengucapkan tahniah atas keluaran novel Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi, ini adalah novel sejarah srikandi islam terbaik yang pernah ana baca.

Novel ini sangat sempurna untuk ana dan keluarga, novel ini mempunyai ciri-ciri yang sangat bermutu dan boleh dijadikan pedoman dan didikan untuk muslimah-muslimah di zaman yang serba mencabar ini. Ana sangat mengagumi novel ustaz ini, ianya sangat menyentuh perasaan ana, terima kasih atas keluaran novel ini. Diharap ustaz dapat meneruskan lagi perjuangan sebegini, amin....

Yang keduanya, ana ada satu persoalan yang ingin ditanyakan kepada ustaz berkenaan hadith dha'if, soalannya adalah, "Kenapa ulama menyebut hadith dha'if dalam kitab hadith hukum?"... boleh ustaz beri penerangan terhadap soalan yang ana ajukan tersebut, diharap ustaz dapat membantu ana, terima kasih atas kesempatan ustaz membaca email ini... syukran jazilan.

Surat balas:

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah.

Alhamdulillah, tiada yang lebih manis bagi seorang penulis apabila pembaca menghargai nukilannya lantas dimanfaatkan ke jalan Allah. Alhamdulillah, ana ucapkan tahniah kepada anti sekeluarga kerana sudi memiliki naskah novel RA itu, malah ana yakin anti sekeluarga adalah keluarga yang mementingkan pembacaan dalam kehidupan seharian.

Yang hebat itu adalah Allah, yang dikurniakan kehebatan oleh Allah adalah diri Rabiatul Adawiyah itu sendiri. Ana cuma menyampaikan kembali kisah-kisah beliau dengan cara yang lebih kreatif kerana minat yang mendalam dalam bidang penulisan. Alhamdulillah, Allah kurniakan peluang ini kepada ana.

Definisi hadis daif secara umumnya ialah hadis yang tidak kuat atau punyai kecacatan, kejanggalan yang boleh dipertikaikan samada daripada sudut matan (perkataannya) mahupun perawinya (periwayatnya) itu sendiri.

Hadis daif mempunyai beberapa jenis dan yang paling teruk maqamnya adalah hadis maudu' (palsu), ianya langsung tidak boleh dipegang bagi urusan akidah mahupun syariat. Sedangkan hadis daif lain mengikut sesetengah ulama tidak mengapa jika diamalkan sebagai 'fadhail 'amal' sahaja khusus dalam urusan syariat ibadah dan masih tidak boleh digunakan dalam urusan akidah.

Apabila ada ulama menggunakan istilah hadis daif dalam hal hukum bermakna, kemungkinan beliau mahu menerangkan kepada kita mengenai perbezaan pendapat yang dijadikan rujukan sumber. Juga sebagai perbandingan antara hujah yang sebelumnya, mungkin juga mahu menunjukkan perbezaan pegangan hujah antara mazhab dan lain-lain kerana, perlu diingatkan hadis daif yang tidak jatuh ke makan maudu' (palsu) masih boleh digunakan dengan beberapa syarat antaranya, ianya dikuatkan lagi dengan hadis-hadis lain dan sebagainya.

Bagi penerangan lanjut, ana mohon anti rujuk kepada buku karangan guru ana, Prof Madya Dr Fauzi Deraman, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Jabatan Usuluddin. Bukunya bertajuk Ulum al-Hadith, terbitan Warisan Nabawi Enterprize, wallahua'lam.

Jazaka Allahu khairan jaza'

Wassalam.
___________________________________________________

Zahiruddin Zabidi