12 June 2010

Ulasan Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi oleh Cikpuan Siti Rahmah Mokhtaruddin

Cikpuan Siti Rahmah Mokhtaruddin merupakan pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia di UKM. Beliau juga adalah seorang peminat dan pembaca karya kreatif, boleh dikatakan hampir kesemua karya Novel Sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib (Pak Latip) dan Tuan Bahruddin Bekri beliau miliki.

Alhamdulillah, beliau juga memesan naskah Novel Sejarah Srikandi Islam keluaran sulung PTS yang juga merupakan karya sulung saya melalui laman sosial Facebook. Dalam masa kurang dua hari, beliau sudah berjaya menghabiskan naskah yang berjumlah 268 helaian itu. Amat mengkagumkan.

Selain daripada itu, beliau juga sudah membuat ulasan yang amat positif dan menarik berkenaan novel tersebut. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas kesudian memiliki dan membaca karya sulung saya yang saya akui masih mempunyai banyak kelemahannya itu.

Saya berjanji kepada diri sendiri dan khalayak pembaca di luar sana bagi bekerja keras memantapkan lagi penulisan saya dalam genre Novel Sejarah Srikandi Islam ini. Untuk makluman tuan puan, manuskrip seterusnya adalah berkenaan Aminah, ibunda Rasulullah. Sehingga hari ini saya sudah menyiapkan separuh daripada bab keseluruhan manuskrip tersebut, ianya dijangka siap dalam bulan ini juga insya-Allah.

Terima kasih sekali lagi khususnya kepada Cikpuan Siti Rahmah Mokhtaruddin dan pembaca-pembaca Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah yang memesan secara terus daripada saya melalui e-mel, FB dan telefon bimbit.

Semoga naskah ini membuahkan pahala yang ranum dan enak kepada kita di akhirat kelak, sebagai pembaca dan juga penulisnya, amin....
____________________________________________
Diculik dari sini

Rabiatul Adawiyah         
Yang ada di rumah Rabiah hanya satu takar yang diperbuat daripada tanah.
Suatu malam rumah Rabiah dicerobohi oleh pencuri. Puas pencuri itu mencari jika ada barangan yang boleh diambil dan mereka hampa.
Ketika mereka semua sudah bersedia untuk keluar dari rumah Rabiah, mereka dikejutkan oleh satu suara. Suara itu berbunyi, “Wahai tuan sekalian, janganlah pergi dahulu sebelum membawa apa-apa.”
Kemudian Rabiah keluar dan berkata, “Ambillah takar itu, pergilah kalian ke tempat air dan berwuduklah dengannya. Kemudian kembalilah menunaikan solat dua rakaat. Dengan cara begitu, kamu pergi dari rumah saya ini dengan membawa sesuatu.”
- Petikan Novel Sejarah Srikandi Islam, Rabiatul Adawiyah -

Membaca naskhah ini memberikan suatu perasaan yang sangat berbeza. Betapa saya kagum dengan ketinggian akhlak, cinta dan keyakinan Rabiah kepada Allah. Srikandi itu langsung tidak peduli hal ehwal dunia, kerana dia begitu ayik dengan cinta akhirat. Semua pinangan baik dari Sultan Basrah mahupun ulama’ terkenal ditolak kerana sesungguhnya dia telah merasa sangat cukup dengan cinta Ilahi yang lebih agung berbanding cinta makhluk bernama manusia (lelaki).

Rabiah adalah seorang srikandi yang sangat hebat. Keyakinannya sangat tinggi kepada Allah, sehinggakan dia tidak merasa takut untuk mengajak pencuri yang memasuki rumahnya dengan tujuan yang tidak baik kembali ke jalan Allah. Berkat karamah wali Allah ini, pencuri-pencuri itu akhirnya menunaikan solat sehingga Subuh, dan bertaubat dari melakukan kerja-kerja terkutuk itu.

Tidak dinafikan, membaca kisah srikandi mendatangkan perasaan yang berbeza berbanding membaca kisah para sahabat. Sebabnya, tidaklah dapat saya pastikan. Apa-apa pun, kisah ini sangat elok untuk dijadikan bahan bacaan seisi keluarga, seperti juga novel-novel tulisan Abdul Latip Talib. Kisah bermanfaat seperti ini tidak harus dijadikan bahan penghias rak-rak tinggi di kedai buku, kerana selayaknya ia dihayati dan dijadikan sumber pengajaran.

Saya tidak perlu cakap banyak-banyak. Yang pasti, tidak rugi belajar bercinta dengan buku selagi tulisannya dapat membawa kita mengingati-Nya. Selamat membaca!

Nota: Ulasan asal boleh dibaca di sini http://networkedblogs.com/4Jmkv
__________________________________________
Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

2 comments:

rahmahmokhtaruddin said...

Salam..
Wah, terharu benar saya tuan menulis entri khas sebagai penghargaan buat saya. Terima kasih.

Insya-Allah, saya menanti tulisan tuan yang seterusnya.

Oh ya, tahniah untuk kehadiran cahayamata sulung. Juga untuk ulangtahun perkahwinan tuan. Semoga berbahagia selalu..

^_^

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam...

Cikpuan, siapakah penulis tanpa pembaca....

Setiap pembeli dan pembaca karya kita ibarat penyambung idea, pemikiran, pengajaran dan sumbangan serta pengajaran dalam karya tersebut.

Tidak mungkin sebuah karya yang agung sekalipun berfaedah jika tiada pembacanya.


Terima kasih, doakan saya terus diberikan kekuatan oleh Allah bagi menghunuskan kalam meneruskan penulisan.

Wassalam.