28 June 2010

Terima Kasih Puan Guru

Tip Survival Penulis dan Penterjemah: Bakat Bahasa versus Modal Bahasa





Penulis dan penterjemah adalah "pekerja bahasa" (language worker). Sesiapa sahaja yang bekerja menggunakan bahasa sebagai modal utama, mereka termasuk dalam kategori pekerja bahasa.

Dua modal utama bagi mencapai kejayaan sebagai pekerja bahasa adalah:

1. Bakat bahasa (linguistic talent)

Sebagaimana dengan bakat-bakat lain, bakat bahasa adalah anugerah Tuhan. Termasuk dalam bakat bahasa adalah kepandaian:

(a) Memilih perkataan dan makna perkataan.

(b) Menyusun ayat.

(c) Mencipta frasa.

(d) Mencipta peribahasa, dan lain-lain kemahiran berbahasa.

Seseorang yang bakat bahasanya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik penulisan, hasil karangan mereka tidak cukup tinggi. Ia ibarat penyanyi yang bakat nyanyiannya rendah, meskipun mereka belajar teknik-teknik seni suara, mutu nyanyian mereka tidak tinggi.

Apabila seseorang itu mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian dia belajar pula teknik-teknik penulisan yang betul, mereka menjadi sangat produktif manakala mutu karangan yang mereka hasilkan akan sangat tinggi.
Begitulah yang berlaku kepada pengarang seperti Abdul Latip Talib. Beliau mempunyai bakat bahasa yang baik, kemudian belajar teknik-teknik penulisan novel sejarah yang betul. Dengan kombinasi bakat dan teknik itu maka beliau dapat menghasilkan banyak karya dalam masa yang singkat dengan kualiti yang tinggi.

2. Modal bahasa (language capital)

Bakat adalah ibarat pemandu kereta Formula 1. Modal bahasa adalah ibarat kereta Formula 1 itu sendiri. Hanya apabila pemandu Formula 1 memandu kereta Formula 1, barulah kombinasi itu melayakkan mereka masuk balapan Formula 1.

Modal bahasa adalah data bahasa yang terakam dalam memori. Unsur-unsur modal bahasa adalah:

(a) Berapa ribu perkataan

(b) Berapa ribu frasa

(c) Berapa ribu peribahasa

(d) Berapa ribu pola-pola struktur ayat, yang tersimpan dalam memori.

Justeru modal bahasa adalah bank data bahasa dalam otak penulis. Semakin besar jumlah data bahasa yang terakam dalam memorinya, semakin besar modal bahasanya.

Seseorang itu mungkin mempunyai bakat bahasa yang baik, tetapi jika saiz bank data bahasa yang terakam dalam memorinya kecil, dia tidak dapat menghasilkan karangan yang bermutu.

Saiz memori bahasa ditentukan oleh jumlah buku-buku dan genre buku yang pernah dibaca. Orang yang membaca buku-buku kejuruteraan akan mempunyai data bank bahasa yang dipenuhi oleh bahasa kejuruteraan. Mereka dapat menulis dan menterjemah buku-buku kejuruteraan.

Bagi penulis dan penterjemah sastera, kita perlu memiliki saiz bank data bahasa sastera yang besar. Itu bermakna kita perlu banyak membaca buku-buku sastera. Dengan menggunakan data itu barulah kita dapat menghasilkan ayat-ayat yang bermutu sastera.

Inilah yang dilakukan oleh 2 orang pengarang PTS, Firdaus Ariff (Armada Azur) dan Zahiruddin Zabidi (Rabiatul Adawiyah). Mereka berdua telah membeli dan membaca semua novel-novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib sebelum memulakan proses menulis karya mereka sendiri.

Apabila kita membaca novel-novel picisan, memori kita hanya menyimpan perbendaharaan kata, frasa, dan struktur ayat-ayat picisan. Memori bahasa picisan hanya dapat menghasilkan ayat-ayat piicisan. Ia tidak dapat menghasilkan ayat-ayat sastera.

Bak kata pepatah Tamil: Apa yang ada di dalam senduk, itulah yang ada di dalam periuk.

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
_____________________________________________

Sumber asal: Universiti PTS.

No comments: