22 June 2010

Ulasan Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi oleh Cikgu Ani-Za

Cikgu Aniza, salah seorang rakan FB dan bakal penulis PTS sudah memiliki Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi lewat dua minggu sudah. Beliau memesannya terus daripada saya sejurus beberapa kali berinteraksi bersama.

Beliau juga merupakan salah seorang peserta Bengkel Penulisan Kreatif Islami anjuran PTS Islamika Sdn. Bhd. pada 20 Jun 2010 lepas. Alhamdulillah, saya dapati keinginan beliau berkarya begitu terserlah dan setakat ini beliau sudah menyiapkan draf manuskrip sehingga bab ke-8, sesudah bengkel tempoh hari beliau menyatakan akan membuat semakan semula terhadap manuskripnya agar selari dengan metode ataupun mazhab rasmi penulisan PTS iaitu Teori Teknik Surah Yusuf.

Saya kagum kepada beliau kerana sanggup bersusah bermusafir dari Perak semata-mata kerana ingin menuntut ilmu bagiu menjadi seorang penulis. Ini adalah satu pengorbanan yang besar dan sudah terbukti beberapa orang yang gigih sebegini akhirnya akan berjaya, dalam erti kata lain mereka akan bergelar penulis rasmi apabila naskah buku yang diterbitkan tercetak nama mereka sebagai penulis.

Saya juga merakam ucapan ribuan terima kasih kepada Cikgu Aniza atas komitmennya bagi merealisasikan hasrat menjadi seorang penulis. Selain itu juga beliau sudi memiliki Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah yang dipesan dan dihantar saya melalui Pos Ekspress itu.

Ulasan beliau sesudah membaca novel RA boleh dibaca di bawah....
_______________________________________________

RABIATUL ADDAWIYAH

Kali ini saya ingin berbicara pula tentang buku novel sejarah Sri kandi Islam, Rabiatul Addawiyah tulisan Tuan Zahiruddin (PTS).

Hiasan kulit novel ini begitu simbolik. Wajah seorang wanita yang berselindung di balik tudung sambil membaca kitab (mungkin). Benar seperti kata seorang penulis, yang terselindung itu lebih menarik perhatian. Lagipun indahnya insan yang bergelar perempuan itu adalah pada sifat penuh misteri dan sifat malunya.

Sebagai wanita Islam, saya kira harus menjadi kemestian untuk membaca buku ini. Wanita Islam perlu mengenali watak dan keperibadian Rabiatul Addawayiah, seorang wanita yang benar-benar mencintai Allah Tuhan Yang Esa. Sememangnya sukar dan rasanya amat mustahil mencapai kedudukan dan makam yang tinggi seperti Rabiatul, namun sekurang-kurangnya kita boleh menjadikan tingkah laku dan tutur bicaranya sebagai teladan menjadi Muslimah sebagaimana yang diinginkan dalam Islam.

Membaca kisah Rabiatul (yang bermakna empat) menyedarkan kita betapa Islam meletakkan wanita dalam kedudukan yang tinggi dan mulia. Namun begitu, Rabiatul seperti manusia biasa yang lain juga diuji dengan pelbagai dugaan. Namun yang membezakan Rabiatul dengan wanita Islam yang lain ialah reaksi beliau ketika ditimpa kesusahan dan musibah (seperti diculik dan dijadikan hamba kepada tuan yang zalim). Usahkan merungut, menyalahkan Allah dan takdir-Nya juga tidak. Beliau malah bergembira dan redha atas segala ujian yang diberikan.

Kekayaaan harta bukanlah misi utama Rabiatul. Walau ditabur dan dijanjikan harta kekayaan dunia namun beliau menolaknya. Lihat sahaja pakaian dan harta yang beliau ada.

Membaca Rabiatul Addawiyah mengingatkan saya supaya tidak mudah melatah jika diuji oleh Allah. Sedangkan wanita yang tidak pernah sunyi daripada mengerjakan ibadat kerana Allah pun diuji juga oleh Allah akan tahap keimanannya, apatah lagi diri kita yang dilahirkan sebagai manusia yang tidak punyai apa-apa.

Sememangnya buku tulisan Tuan Zahiruddin ini harus dimiliki dan dibaca. Bahasa yang digunakan oleh penulis mudah difahami dan mudah meresap ke dalam hati. Insyaallah, berbaloi untuk wang kita!(Jika itu yang anda risaukan) Namun bagi saya, kalau untuk ilmu yang bermanfaat, berapapun nilainya pasti berbaloi.

Sumber asal di sini: Blog Cikgu K. A.
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: