21 June 2010

Ulasan Ringkas Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi oleh Abdul Latip Talib, novelis sejarah no. 1 Malaysia

Pak Latip sedang menyampaikan perkongsian dalam Bengkel Penulisan Sejarah anjuran PTS Litera pada 23 Mei 2010 bertempat di Sekolah Rendah Islam Al-Ikhlas, Taman Permata, Hulu Klang.

Antara sebab yang mendorong saya mampu menyiapkan novel RA adalah motivasi dan tunjuk ajar secara langsung mahupun tidak daripada novelis sejarah no.1 Malaysia, Tuan Abdul Latip Talib atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Latip sahaja.

Bagi memahami konsep dan teknik penulisan sejarah Islam, saya terlebih dahulu membeli 12 buah buku tulisan beliau dan menghadamkannya. Secara tidak langsung, roh penulisan yang mendasarkan sejarah sebagai tema dan Teori Teknik Surah Yusuf sebagai landasan memudahkan saya bagi mengimplimentasikannya dalam penulisan saya. Oleh itu, saya juga menganggap beliau sebagai salah seorang guru saya yang perlu dihormati.

Di sini saya sertakan sedikit sedutan ringkas biodata beliau:
Abdul Latip bin Talib dilahirkan di Kampung Ulu Seperi Rembau Negeri Sembilan pada 2hb Jun 1954, pernah bekerja sebagai pegawai ladang FELCRA selama 20 tahun dan kini merupakan penulis sepenuh masa. Beliau menulis dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, rencana, drama tv dan novel. Sehingga kini telah menghasilkan 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kini menumpukan penulisan novel sejarah dengan PTS. Antara karya yang telah diterbitkan Salahudin Penakluk Jerusalem 2007, Khalid Memburu Syahid 2007, Ikramah Penentang Jadi Pembela 2007, Tariq Menang atau Syahid 2007, Si Bongkok Tanjung Puteri 2007, Setelah Roboh Kota Melaka 2007, Abu Bakar Sahabat Sejati 2008, Sultan Muhamad al fateh 2008, Leftenan Adnan Wira bangsa 2008, Hikayat Amir Hamzah jilid 1, 2 dan 3 2008.Ketekalan beliau menghasilkan karya telah melayakkan beberapa buah karya beliau merangkul pelbagai anugerah. Antaranya Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Perpaduan, Hadiah Sastera Utusan dan Sayembara Cerpen dan Puisi Negeri Sembilan. Novel Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Randau Ruai memenangi Sayembara Menulis Novel Sarawak 2005 dan terbaru novel sejarah Perang Jementah dan datuk Moyang Saleh memenangi hadiah sayembara menulis novel sejarah Johor 2007.Abdul Latip yang kini menetap di Jelebu Negeri Sembilan pernah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dalam genre cerpen dan esei. Dan sekali lagi pada tahun 2007 dalam genre novel remaja.Beliau dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2007.
Pak Latip antara orang yang terawal menyatakan hasrat bagi memiliki naskah novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah lama sebelum ianya menjadi naskah novel lagi. Alhamdulillah, sewaktu bertemu dalam Bengkel Penulisan Sejarah anjuran PTS Litera pada 23 Mei lalu, beliau sudah mendapatkannya daripada saya sendiri dan kini selesai menggulitinya.

Beliau kemudian mengulas mengenai Novel Sejarah Srikandi Islam Rabiatul Adawiyah; Perindu Cinta Abadi, katanya,
"Rabiatul Adawiyah seorang wanita yang paling warak dan zuhud mendapat taraf wali Allah. Kehidupannya dipenuhi dengan zikir kepada Allah dan berselawat kepada Rasulullah sehingga tubuhnya kurus kering kerana waktu malamnya dia bertahajud dan bermunajat. Pada waktu siangnya pula dia berpuasa dan menghadiri majlis ilmu. Makanannya cukup dengan sepotong roti kering sekadar pengalas periut. Kadangkala berbuka puasa hanya dengan sebiji kurma. Sebelum mendapat taraf wali Allah Rabiatul Adawiyah diuji dengan kematian ayah dan ibunya semasa beliau masih muda. Beliau pernah diculik dan dijadikan hamba...kisah Srikandi Islam ini dipersembahkan dengan gaya yang menarik dan mudah dihayati oleh pengarangnya Zahiruddin Zabidi. Membaca novel ini boleh memberi keinsafan...."
Sumber: http://www.facebook.com/home.php?sk=lf#!/photo.php?pid=30791754&id=1342311210

No comments: