04 March 2010

Tip Menjadi Penulis Bestseller Dari Habiburrahman El-Shirazy

Tempoh hari sepatutnya saya menghadiri bengkel penulisan novel Islami kendalian saudara Habiburrahman El-Shirazy, pengarang novel bestseller Indonesia Ayat-ayat Cinta di Hotel Residence, Kajang. Namun begitu di saat akhir terdapat perubahan perancangan kerana saya terpaksa ke Jakarta bagi lawatan bisnes di Pesta Buku Indonesia. Oleh sebab itu saya menghantarkan dua orang editor PTS yang menguruskan penerbitan novel Islami di sana.

Mereka membuat sedikit catatan yang menarik dan dikirimkan kepada saya sebagai laporan kehadiran bengkel. Terima kasih kepada mereka kerana di sini saya dapat kongsikan sedikit sebanyak input diperoleh daripada bengkel tersebut.
Tip Menjadi Penulis Bestseller Dari Pengarang Bestseller

Saudara Habiburrahman memberikan 5 ciri pengarang yang ingin karyanya menjadi bestseller dan hebat. 5 ciri tersebut adalah :

a) Niat yang Kuat

Seseorang penulis seharusnya meletakkan satu niat yang kuat dan kukuh dalam hati sanubari mereka sebelum dan semasa berkarya. Niat ini seharusnya positif bagi menjadikan segala tulisan dibuat menyumbang kepada masyarakat. Ia bersesuaian dengan hadis Nabi yang mengatakan bahawa setiap sesuatu dimulakan dengan niat. Niat yang baik membawa penghasilan baik dan dirahmati Allah. Yang buruk dikeji dan dibalas dengan balasan buruk di akhirat kelak

b) Keberanian untuk Menulis

Seseorang pengarang harus bersedia untuk karyanya dibaca oleh orang lain. Apabila begitu mereka perlu terbuka menerima pandangan pelbagai pihak mengenai karyanya. Sesuatu karya yang ditulis tidak akan mungkin boleh jadi paling sempurna kerana kita ini manusia. Hamba Allah. Maklum balas pasaran dan pembaca akan dapat mematangkan penulisan seseorang pengarang itu.

c) Idealisme yang Diperjuangkan dan Kekuatan Jiwa

Seorang pengarang perlu ada perjuangan dalam penulisan. Mereka perlu meletakkan perjuangan sebagai sebab utama dalam penulisan. Perjuangan yang murni dan suci. Penulis tanpa perjuangan, tulisannya tidak dari hati. Kata-kata digunakan tidak meresap masuk ke dalam jiwa pembaca.

d) Ilmu, Wawasan dan Penguasaan Teknik Menulis yang Baik

Teknik dan ilmu kepengarangan amat penting dalam menjadikan seseorang penulis itu matan dalam menulis. Ilmu ini dapat ditimba dengan menghadiri bengkel dan seminar berkaitan dunia penulisan.

e) Akhlak yang Mulia

Akhlak adalah cermin diri. Ia adalah perkara paling besar perlu ada pada manusia. Penulis berakhlak baik berbanding dengan tidak amat besar bezanya dari sudut penulisan. Akhlak amat tergambar dalam penulisan kesemua pengarang. Pengarang yang baik menulis dengan penuh berhikmah dan kata-kata berilmu.

Sedikit perkongsian buat semua. Terima kasih kepada saudari Ashikin dan Nor Hafizah yang sudi berkongsi ilmu ini dengan saya.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
________________________________________
Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: