24 March 2010

Majlis Perjumpaan PTS Litera Utama dengan Penulis


Pada hari Sabtu bersamaan 27 Februari 2010 yang lalu, tim PTS Litera Utama buat pertama kalinya mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Penulis.

Pada majlis yang singkat tetapi signifikan itu, tim PTS Litera Utama berpeluang berkenalan dengan lebih baik dan bertukar-tukar pandangan dengan barisan penulis yang selama ini memberikan komitmen jitu kepada syarikat ini. Penulis-penulis yang hadir termasuklah Tuan Ashadi Zain, Tuan A Razak Adam, Tuan Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, Tuan Azman Ahmad (Ibn Ahmad al-Kurauwi), Puan Lily Haslina Nasir, Puan Rose Harissa dan Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah. Hadir sama, Tuan Bahruddin Bekri yang juga editor di PTS Litera Utama sendiri.

Majlis bermula dengan sesi memperkenalkan tim editor PTS Litera Utama sendiri dengan tugas masing-masing. Tetamu yang hadir berpeluang mengetahui lebih lanjut dan bersoal jawab dengan editor bertugas perihal produk-produk terbitan PTS Litera Utama. Selepas sesi minum pagi, majlis bersambung pula dengan sesi memperkenalkan diri oleh barisan tetamu yang ada. Selain tim editor sendiri, ianya juga membuka jalan silaturahim antara sesama penulis. Sedar tidak sedar, tiga jam berlalu begitu pantas. Majlis diakhiri dengan makan tengah hari.

Maklum balas yang kami terima adalah para penulis mahu supaya majlis seumpama ini diadakan lebih kerap lagi. Berikut adalah petikan tulisan blog penulis baharu bagi genre Novel Sejarah Islam kami, Tuan Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi:

"...kami dari kalangan para penulis sebenarnya sangat berharap jika program-program seperti ini diperkerapkan lagi agar kami dapat menetapkan dasar atau sasaran kerja kami selaras dengan dasar sasaran pihak PTS Litera khususnya dan PTS umumnya. Mungkin patut pertemuan sebegini diadakan dalam tempoh sebulan sekali."

Insya-Allah!

(Foto: Pn Asma Fadila Habib (berpakaian serba putih) bersama-sama para penulis yang hadir

Nota: Dipetik dari laman rasmi PTS Litera
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: