05 March 2010

Laporan Pertemuan Penulis dan Editor PTS Litera

Pada tanggal 27 Februari bulan sudah, telah berlangsung satu pertemuan penting antara penulis-penulis PTS Litera khususnya bersama dengan pihak pengurusan dan editorial PTS Litera. Program dijadualkan bermula pada pukul 9 hingga 12 tengahari.

Kami disambut oleh Tuan Baharuddin Bekri dan Puan Asma Fadila serta dua orang lagi tenaga editorial PTS Litera. Puan Ainon bt Abdullah dan Tuan Fauzul Naim Ishak yang dijadualkan ada bersama tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu. Majlis 100% dikendalikan oleh barisan editorial sastera yang muda-muda belaka.

Antara objektif pertemuan kali ini ialah untuk memperkenalkan secara lebih dekat penulis dengan para editor sekaligus penulis sesama penulis. Antara lain ialah memberi penerangan kepada penulis tentang kedudukan PTS Litera khususnya dan PTS umumnya, potensi, pasaran, produktiviti dan gerak kerja dalaman dan luaran.

Para penulis didedahkan dengan pelbagai informasi yang sangat berguna dan mampu memangkin semangat untuk terus berkarya. Pertemuan yang dihadiri lebih daripada 10 orang penulis daripada pelbagai latar pendidikan dan kerjaya itu amat mengujakan saya sebagai penulis baharu di PTS Litera.

Alhamdulillah, saya sempat berkenalan dengan kesemua editor dan juga penulis. Malah tidak disangka pertemuan itu juga dihadiri oleh seorang kosultant bebas dan anaknya selaku wartawan tabloid iluvislam keluaran Karangkraft. Cikpuan itu juga bekas wartawan untuk Majalah i syarikat yang sama.

Bersama kami juga seorang penulis, penyair dan cerpenis mapan bernama Ustaz Haji Azman bin Ahmad atau nama penanya ibnu Ahmad al-Kurauwi. Prof Madya Dr Umi Kalthum pula seorang pensyarah kanan jurusan kejuruteraan eletrik dan eletronik USM Pulau Pinang. Ada juga Puan Lily Haslina Nasir, generasi kedua peserta Minggu Penulis Remaja DBP, bila ditanya berapakah jumlah karyanya diterbitkan. Beliau hanya tersenyum tanpa menjawab.

Saya juga berkenalan dengan Tuan Ashadi Zain, penulis tegar PTS dalam pelbagai genre dan sudah menerbitkan 45 buah buku dengan PTS bermula tahun 2004. Beliau seorang eksekutif sebuah institut penyelidikan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. Hadir bersama juga seorang guru bahasa Melayu datang nun jauh dari Melaka semata-mata untuk menghadiri majlis tersebut. Beliau sudah menerbitkan 6 buah karya bersama PTS. Saya juga mendapat tahu bahawa beliau adalah seorang pendeklamasi syair, orang yang dimaksudkan ialah Cikgu Abdul Razak.

Seronok melihat para novelis ini bertukar-tukar buah tangan karya masing-masing sambil mendapatkan tandatangan masing-masing. Saya hanya mampu tersenyum kerana karya sulung saya pun masih belum terbit lagi, sangat mengujakan perasaan itu. Hati ini berkata, “Insya-Allah, nanti engkau pula berpeluang bertukar buah tangan dengan mereka.”

Kebetulan pada hari itu juga saya menghantar kembali pruf manuskrip ‘Rabiatul Adawiyah’ bab 1 – 12 yang telah dimurnikan kembali sedikit sebanyak. Tatkala itu, Prof Madya Dr Umi Kalthom yang sangat peramah dan merendah diri itu terlihat manuskrip saya dan berkata kepada, “Seronok, bila sudah ada karya sendiri. Nanti kalau sudah tengok nama ditulis di kulit buku lagi seronok. Lepas itu pergi pula jengah-jengah ke kedai buku dan lihat reaksi orang ramai terhadap buku kita itu, dengar komen mereka.” katanya kepada saya sambil tersenyum ikhlas. Saya hanya memendam rasa. Insya-Allah.

Isi perbincangan

PTS Litera sebenarnya adalah perintis kepada beberapa genre baharu terutamanya novel sejarah Islam, ciklit dan i novella. Konsep khas ini ternyata masih luas pasarannya dan semakin diterima oleh para pembaca di Malaysia. Dengan itu dikatakan bahawa pengeluaran karya sastera PTS perlu diperderaskan lagi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Penulisan yang berkonsepkan dakwah dan berorientasikan syariah menjadi tunjang kekuatan karya-karya PTS. Agar nanti pembaca bukan sahaja terbuai indah dengan kata-kata dan ayat-ayat yang dilakarkan namun akhirnya mampu untuk menjadi lebih Islamik kerana terkesan jiwanya dengan pembacaan novel-novel yang banyak unsur dakwah yang diselitkan secara langsung mahupun tidak langsung itu. Hal ini ditekankan sepanjang perbincangan itu oleh Puan Asma Fadila.

Kekurangan penulis sastera sejarah Islam mahupun umum pula merupakan fenomena yang agak merunsingkan pihak PTS Litera. Melalui editornya Tuan Bahar, kami diberitahu bahawa setakat ini PTS merupakan syarikat penerbitan yang merintis genre novel sastera seperti itu. Bahkan penulisnya hanya seorang atau tunggal sahaja sehingga sekarang yakni sasterawan dari Rembau, Negeri Sembilan.

 Beliau ialah Abdul Latip Talib atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Latip. Mereka memerlukan pelapis untuk memenuhi kehendak pasaran yang semakin luas. Ibarat kata kek yang bulat itu masih belum dikongsi, makanya sesiapa yang menjadi penulis kedua atau ketiga novel sejarah Islam dengan PTS dikira sangat bertuah dan insya-Allah mudah diterima pembaca amnya. Sasaran bagi penerbitan novel sejarah Islam adalah sebuah sebulan.

Pun begitu, masih banyak lagi sejarah yang belum dinukilkan secara kreatif menggunakan teknik penulisan Surah Yusuf. Contohnya sejarah Perang Dunia Pertama dan Kedua, kisah-kisah penjajahan tanah air oleh Jepun dan British, tokoh-tokoh perjuangan tanah air dan banyak lagi sebenarnya. Fikir fikirkanlah, renungkan dan jangan tunggu lagi. Tempalah nama anda sebagai salah seorang novelis sejarah bersama PTS dan anda pasti tidak akan menyesal.

Perbincangan diteruskan dengan perbentangan mengenai aliran penterjemahan, yang mana karya terjemahan biasanya adalah dari bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia kepada bahasa Melayu tinggi. Genre itu juga memperlihatkan perkembangan yang amat menarik walaupun perlahan berbanding dengan novel-vovel lain. Penterjemah-penterjemah yang berbakat dialu-alukan untuk bersama dengan tim ini.

Inovela merupakan novel umum, pop dan feminin yang sudah mempunyai peminatnya tersendiri. Bahkan boleh dikatakan bahawa pembaca-pembaca novel pop sudah agak berselera melapah novel genre ini selepas momentum Ayat-Ayat Cinta tempoh hari. PTS tidak melepaskan peluang untuk menjana novel-novel sebegitu melalui pengkarya tempatan mahupun terjemahan dari seberang. Alhamdulillah penerimaannya juga sangat memberangsangkan sehinggakan ada rangkaian kedai buku gergasi sudah memposisikan buku-buku tersebut di rak khas yang tertera tulisan ‘Novel-novel Islami’.

Matlamat yang paling penting adalah kesan kepada pembaca selepas menghadami karya-karya Islami ini, semoga ianya menjadi sumber harapan yang menunaskan perubahan dengan izin Allah. Bayangkan jika seorang gadis yang tidak pernah bertudung sepanjang hayatnya lantas secara sengaja atau tidak telah disogokkan dengan karya-karya Islami sebegini, akhirnya dirinya mendapat hidayah daripada Allah lantas mengenakan tudung tanpa membukanya lagi. Apakah ertinya kepada sang pengkarya dan penerbit novel-novel tersebut?

Rumusan

Peluang terbentang luas kepada para penulis dan bakal penulis. Cuma diri kita perlu memahami konsep perjuangan yang dibawa PTS lantas melaraskan ia dengan karya kita. Kita tidak akan menyesal sekiranya novel-novel ini bersifat begitu apabila faham falsafah perjuangan PTS.

Kehadiran ke kelas yang dianjurkan oleh puan Ainon bt Abdullah adalah pra-syarat untuk para penulis lebih mendalami kaedah dan skema piawaian yang ditetapkan PTS. Konsep dakwah dan orientasi syariahnya serta penggunaan bahasa Melayu tinggi secara maksimum antara contoh syarat yang ditetapkan.

Kesempatan itu juga digunakan untuk mengusulkan penubuhan kelab peminat Facebook para penulis PTS Litera untuk lebih memudahkan promosi dan interaksi dengan para peminat. Dengan adanya laman itu juga interaksi penulis sesama penulis dan penulis dengan editor akan lebih tertaut insya-Allah.

Akhirnya, kami dari kalangan para penulis sebenarnya sangat berharap jika program-program seperti ini diperkerapkan lagi agar kami dapat menetapkan dasar atau sasaran kerja kami selaras dengan dasar sasaran pihak PTS Litera khususnya dan PTS umumnya. Mungkin patut pertemuan sebegini diadakan dalam tempoh sebulan sekali.
___________________________________

Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: