31 March 2010

Kisah 1 - Tidak Percayakan Tuhan

Kepercayaan Ateis telah lama wujud di dunia ini, apakah ateis? Ateis bermaksud fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Ada sebuah cerita yang diceritakan begini, di dalam sebuah negeri di Tanah Arab ada seorang manusia yang mulhid (ateis). Dia percaya bahawa Tuhan itu tidak wujud, manusia dan alam semesta terjadi dengan sendirinya.

Pada suatu hari...

“Nampaknya dia sudah melampau, kalau dibiarkan bimbang pula masyarakat kita yang kurang ilmu agamanya akan terpengaruh,” getus Abdullah kepada ketua kaum, Tuan Amir namanya.

“Benar, saya juga perasan yang dia sudah berani bercakap secara terang-terangan tentang ajaran tiada Tuhannya itu di khalayak ramai,” Rauf menambah, dia lebih muda daripada Abdullah.

Tuan Amir kelihatan termenung, pandangannya dilemparkan nun jauh ke dada langit.

Beliau kemudian bersuara, “Jadi bagaimana, kalian ada perancangan?”

Ungkapan itulah sebenarnya yang dinanti-nantikan oleh mereka berdua. Abdullah dan Rauf tersenyum.

Abdullah memandang Tuan Amir dengan muka yang serius, dia lantas bersuara, memberi saranan lebih tepat, “Begini, saya sudah berbincang dengan Rauf dan kami rasa yang sebaiknya kita adakan satu majlis debat terbuka.”

Tuan Amir mengangguk-angguk, tangannya mengelus-ngelus janggut dan jambang yang semakin memutih itu.

“Soalnya siapa yang akan mewakili kita?” Dia bertanya mahukan kepastian.

“Itu sudah kami uruskan, insya-Allah orang yang kami maksudkan mampu untuk menggalas amanah ini.” Rauf menjelaskan.

“Jika begitu mulai buat persiapan dan segera bertindak, ini adalah maruah agama kita.” Tingkah Tuan Amir serius.

Abdullah dan Rauf segera melakukan tugasan yang sepatutnya.

Hari perdebatan kini menjelang, semua telah hadir termasuk si lelaki mulhid yang sememangnya sangat awal memunculkan diri. Yang merisaukan mereka pula adalah, lelaki atau lebih tepat orang alim yang dijemput mereka tidak juga sampai-sampai.

Si Mulhid sudah mula tersengih sinis, dia lantas bersuara lantang kepada orang ramai. “Tengok, si alim yang kalian wakilkan untuk menentang saya sudah lari entah kemana, dia telah takut untuk berdebat dengan saya pada hari ini.”

Dia kemudiannya menambah, “Dia tahu yang dirinya akan mengalami kegagalan jika berdebat dengan saya. Maka kamu semua percayalah kepada saya, percayalah kalian bahawa dunia ini tiada Tuhan.”

Si mulhid ketawa terbahak-bahak.

Angkuh sekali gayanya. Para penonton tidak ambil peduli, mereka masih menanti kemunculan orang alim tersebut. Ini adalah kerana, di bahunyalah terpikul maruah agama Islam. Ada yang berdoa, ada yang memejam mata dan ada yang sibuk memutar tasbih di tangan.

Tiba-tiba.

“Assalamualaikum!” Ada suara memberi salam dari belakang himpunan orang ramai. Sekalian yamg hadir menjawab salam itu. Rupanya orang alim tadi baharu sampai, hadirin bersorak girang.

Hampir serentak mereka menjawab salam, “Wa’alaikumussalam.”

Orang alim itu pun berjalan dengan tenang dan berhati-hati menuju ke pentas, apabila sudah berada di atas pentas, dia berkata, “Maafkan saya kerana terlewat, ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan telah berlaku sejurus sebentar tadi.”

Orang ramai mengangguk-angguk seakan menerima permohonan maaf daripadanya. Namun, lain pula ceritanya pada si ateis, dia sudah naik meluat melihat gelagat si alim itu.

Si ateis berkata keras, “Nampak sahaja alim, tapi janji tidak ditepati. Kamu sudah lewat, kemana kamu pergi!?”

Si alim dengan tenang mendapatkan tempat duduknya, setelah bertafakur beberapa ketika, berdoa kepada Allah, dia memulakan bicara.

Si ateis semakin marah, radang dia melihat sikap si alim yang acuh tidak acuh itu.

“Dalam perjalanan kemari tadi, saya perlu menyeberangi sebatang sungai yang agak luas dan dalam. Namun pada ketika itu saya dapati tiada satu pun perahu yang ada untuk membawa saya,” tingkah si alim, semua senyap, mendengar.

Sambungnya lagi, “Saya agak kerisauan kerana saya mungkin sahaja akan lewat, dan saya tahu tuan semestinya mengatakan bahawa saya takut untuk berdepan dengan tuan lantas melarikan diri. Tiba-tiba...”

Semua orang membeliakkan biji mata, suasana bening sekali dan hanya suara orang alim itu sahaja yang kedengaran.

“Tiba-tiba timbul beberapa keping papan dari dasar air sungai tersebut, papan-papan tersebut kemudian bergerak dan bercantum sesama sendiri tanpa alat bantuan dengan pantas sekali. Hanya beberapa saat, siaplah sebuah sampan yang cukup sempurna dan kukuh buatannya.”

Hadirin terkesima. Antara percaya atau tidak.

“Dengan itu dapatlah saya datang ke sini dengan mudah.” Si alim menghabiskan ceritanya sambil tersenyum manis.

Si ateis yang dari tadi sedang menahan marah lantas bangun dan berhujah, dia seakan sudah mendapat kemenangan dengan penyataan si alim tadi. Fikirnya si alim itu bukan tandingannya kerana dia telah bercerita kisah yang karut.

“Sungguh lelaki yang kamu sangka alim ini adalah sakit otaknya, lebih tepat dia ini sudah gila.” Kata si ateis dalam tawa terbahak-bahak.

“Kalau dia dan kamu semua berfikiran waras, manakan mungkin sebuah sampan itu terjadi dengan sendirinya!? Tentunya ia memerlukan tukang untuk membuat dan menyiapkannya dengan sempurna.” Dia menambah dengan yakin.

Jawapan sebegitu sememangnya yang diharapkan oleh orang alim itu, sambil tersenyum dia segera bangun menjawab.

“Maka kamu yakin perahu itu tidak mungkin tercipta dengan sendirinya.”

“Benar. Masakan mungkin, orang gila pun tidak akan percaya, apatah lagi orang yang waras.”

“Sedarkah kamu secara fitrahnya kamu telah mengakui kewujudan Tuhan.”

“Mana mungkin?”

“Apakah kamu kira alam semesta yang luas dan indah ini terjadi tanpa penciptanya? Sedangkan kamu sendiri mengaku sampan yang kecil dan mudah itu mesti ada yang menciptakannya?” Keras suara orang alim itu.

Si ateis mulai kaget, dia sudah sedar kesilapannya. Keangkuhannya sudah memakan diri. Peluh mula menjelwap pada badannya.

“Secara fitrahnya, kamu sudah mengakui kewujudan Tuhan, namun secara zahirnya kamu ingkarkan. Sungguh kamu adalah dari kalangan mereka yang sesat dan rugi, bertaubatlah saudara,” kata si alim dengan nada memujuk.

Si ateis tidak terkutik, dia terduduk terjelepuk.

Kini dia terpaksa mengakui bahawa pemikirannya selama ini adalah salah!
____________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

2 comments:

Afandi said...

“Itu sudah kami uruskan, insya-Allah orang yang kami maksudkan mampu untuk menggalas amanat ini.” Raud menjelaskan.

Salam Tuan,

Mungkin typo error, mana mungkin orang ateis sebut insyaAllah.

Afandi.

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam dan terima kasih tuan Afandi.

Dialognya sudah betul, cuma Raud itu merujuk kepada Rauf sebenarnya. Bukan si ateis itu.

Sudah saya betulkan. Memang salah eja.

Zahiruddin Zabidi