16 March 2010

Rencana sempena PBAKL 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjengah kembali, bak sahabat karib yang hanya kunjung ke Malaysia sekali dalam masa setahun, ianya amat dinantikan oleh para sahabatnya yang setia.

Sahabat setia yang taat kepada PBAKL sudah sekian ramai, namun hakikatnya sahabat-sahabat karib ini akan bertambah saban tahun. Dari anak-anak kecik yang baharu belajar membaca sehinggalah mereka yang menghasilkan buku bacaan tersebut semuanya tidak akan melepaskan peluang untuk berkerumun ke sana.

Seakan punyai magnet yang sangat ajaib. Para penerbit akan bersorak sorai kerana persediaan yang dibuat hampir setahun sudah merapati kemuncaknya. Mereka masing-masing sudah berkira-kira pencak silat jenis apa tahap hikmatnya yang akan kita aplikasikan sepanjang berlansung pesta ini. 19-28 Mac 2010 merupakan penentuan.

Saya sendiri yang hanya mengenali PBAKL bermula tahun lepas sudah jatuh hati pandang pertama dengannya. Tahun sudah saya hanya sempat beli Trilogi karya murabbi kesayangan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Buah tangannya yang bertajuk Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Siri Travelog: Rindu Bau Pohon Tin.

Tanpa disangka tahun ini saya juga menjadi salah seorang penyumbang di syarikat yang sama iaitu Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Cumanya karya saya masih di tahap pembikinan dan insya-Allah akan menjumpai para pembaca tepu karya bahasa Melayu kreatif di PBAKL 2011. Itupun jika ada belas ihsan Allah, nadi ini masih bergedik.

Rencananya

PTS begitu agam sekali dengan lambakan karya kreatif Islami dan karya bukan kreatifnya. Berderetan lot-lot tapak pameran menjadi hak mereka dalam masa seminggu itu. Pun begitu karya saya tidak sempat juga diperagakan pada rak mereka kerana sudah kelewatan walaupun hampir siap sebenarnya. Tidak mengapa, buat apa mahu gelojoh. Nanti jadi tidak senonoh pula.

Rencaan saya ialah, memperuntukkan RM1000 untuk membeli buku-buku yang patut sahaja terutama dari Indonesia. Ataupun sepatutnya saya ke Indonesia sahaja, soalnya bila! Fokusnya untuk belian bahan rujukan karya-karya sejarah Islam selepas ini. Akan menyusul selepas Rabiatul Adawiyah ialah Aminah: Bonda Rasulullah, kemudian Khadijah: Kasih pedagang yang agung dan keempat untuk sasaran tahun ini ialah Aisyah: Ummahatul Mukminin. Insya-Allah.

Selain daripada itu saya juga akan cuba melengkapkan koleksi karya-karya Buya Hamka, Datuk Dr Anwar Ridwan dan Profesor Emiritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, karya-karya sastera dari Indonesia dan banyak lagi. Namun mungkin sahaja jangkaan ini akan meleset apabila sudah sampai ke sana nanti. Siapa tahu bahawa tiada satu pun yang akan dibeli dan mungkin juga yang hendak melebihi apa yang dirancang. Kita tunggu dan lihat sahaja.

Namun semuanya hanya perancangan dari seorang insan yang lemah, masih tertakluk pada ruang kemampuan yang terbatas. Nanti akhirnya, semua pengharapan itu hanya pada Allah. Jadi atau tidak jadi, baik atau buruk natijahnya kelak bukan ukurannya. Sifat redalah penawarnya. Bukan radang hampa kecewa sehingga terungkap sekalipun terniat yang tidak baik padaNya, jangan! Reda… Allah tahu yang terbaik untuk kita.

Saya mungkin akan ke PBAKL setiap hari, siapa tahu. Mungkin juga hanya mampu pergi sekali sahaja ditambah pula dengan masa yang terhad. Ini pastinya mengganggu proses hibernasi daripada orang yang biasa-biasa kepada luar biasa. Daripada penulis yang biasa-biasa kepada penulis yang luar biasa.

Maksud saya dengan penulis yang luar biasa ialah, hasil nukilan mata pena kita setelah disantap oleh pembaca akan membuahkan kesan dan kecenderungan untuk berubah kearah kebaikan. Lihat sahaja impak para remaja yang membaca ‘Aku Terima Nikahnya’? Ruh yang dilempiaskan daripada aksara-aksara kutub itu sangat mujarab dengan izin Allah.

Kita juga mengharapkan agar tulisan-tulisan kita dalam bentuk novel, cerpen, esei, artikel mahupun puisi memberi kebaikan kepada pembaca dan diri kita sendiri. Itulah pada kita seorang penulis yang luar biasa.

Dan insya-Allah, karya-karya saya akan menyusul di PBAKL 2011. Hanya dengan keizinan Allah, kita jumpa tahun hadapan.
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

2 comments:

mohamad kholid said...

sdr beruntung dpt ke pesta buku, tahun ini mungkin saya hanya memandang dari jauh shj. dari 24 hb sampai 28 hb kena pergi kursus...

Zahiruddin Zabidi said...

Tidak mengapa tuan, akan tertebus jua insya-Allah. Umur panjang jumpa di PBAKL 2011. =)