10 March 2010

Menulis kerana duit?

Saya amat tertarik dengan artikel tulisan ketua editor bahagian sastera Berita Harian, Puan Salbiah Ani. Dalam ruangan Sastera hari Khamis, 4 Mac 2010, yang bertajuk “Saya mata duitan, anugerah no. 2: Ainon”.

Saya sudah mengikuti ruangan Sastera BH ini sejak beberapa lama dahulu dan saya juga perasan yang Puan Salbiah Ani tidak lekang dari menyebut tentang PTS walaupun sedikit hampir dalam semua artikelnya. Ketika berlangsungnya bengkel bersama Puan Ainon bt Abdullah tempoh hari, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai perkara itu.

Jawapan Puan Ainon ialah, “Puan Ani bersama kita, beliau mendukung perjuangan kita.” Baharulah saya faham. Makanya tidak mustahil mengapa Puan Salbiah Ani agak bias kepada PTS, malah pernah memuji dengan membanding-bandingkan PTS dengan syarikat penerbitan lain bahkan Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun.

Artikel puan Salbiah Ani semalam melaporkan tentang kenyataan puan Ainon sewaktu berlangsungnya program bual bicara dengan pihak DBP. Puan Ainon dengan terang berkata, “Kami tidak kisah karya-karya terbitan kami tidak mendapat hadiah atau anugerah asalkan royalti para penulisnya banyak. Ini sudah terbukti apabila ada penulis PTS pada tahun ini bakal mendapat royalti melebihi RM seratus ribu namun karyanya tidak pernah mendapat anugerah.”

Saya melihat kepada diri dan bertanya, mengapa dan untuk apakah saya menulis. Lama bermenung akhirnya saya dapati ada beberapa jawapan yang menyinggah di benak ini. Dan ianya telah dan akan berubah mengikut masa, keadaan dan ketika.

Pada mulanya ketika saya mendapati diri ini sangat minat menulis, saya sudah menyimpan angan-angan untuk melihat nama sendiri dicetak pada kulit buku. Tidak dapat dibayangkan nikmat dan kepuasannya apabila melihat nama sendiri tercetak di kulit buku karya kita sendiri, di samping berharap penulisan saya itu dibaca dan memberi manfaat kepada orang ramai serta menyumbang kepada pahala yang berpanjangan.

Keinginan untuk menulis seakan sedikit terubat apabila saya mula berjinak-jinak dengan blog dan kemudiannya terjumpa dengan laman web interaktif Islam tersohor http://www.iluvislam.com/. Saya semakin giat menulis dan sering menghantar artikel ke laman tersebut dan alhamdulillah respon pembaca kepada artikel juga positif.

Kemudian pula saya diperkenalkan dengan laman web http://www.saifulislam.com/ kelolaan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, kebetulan ketika itu bukunya yang pertamanya baharu terbit, buku berjudul ‘Aku terima nikahnya’ itu adalah semata-mata himpunan artikel yang ditulis dalam blognya.

Saya terfikir, begitu sekali penulisan memainkan peranan. Selepas selesai Ustaz Hasrizal berkuliah, para jemaah akan diperkenalkan dengan laman web tersebut dan mereka nanti boleh terus menerus membawa buah fikiran daripada ustaz bahkan berinteraksi dan bertanyakan soalan dalam masa yang sama. Ini menyebabkan talian ilmu terus memanjang dan tidak akan putus.

Saya juga bercita-cita untuk menjadi seperti beliau, selain bermanfaat dalam dakwah bil kaul, juga perlu ada kesinambungan dalam dakwah bil kalam. Itu azam saya.

Minat untuk menjadi penulis terus membawa saya kepada kajian dan penemuan yang saya tidak ketahui sebelum ini. Internet begitu memudahkan kita untuk mendapat sebarang maklumat yang kita perlukan. Saya kemudian mendapat tahu bahawa menulis merupakan salah satu sumber untuk menjana pendapatan.

Saya juga perasan bahawa hampir semua personaliti yang hebat dalam semua bidang di Malaysia semuanya adalah penulis. Bermula dari bekas Perdana Menteri Malaysia ke-empat, Tun Dr Mahathir Muhamad, pernah menjadi kolumnis dengan nama pena Che Det. Sehingga sekarang pun beliau masih lagi menulis di blog peribadinya. Boleh kata semua orang yang hebat, dari bidang politik hingga ke bidang akademik, dari bidang ekonomi hingga ke bidang motivasi, ramai yang menjadi penulis.

Saya simpulkan bahawa, mereka yang mempunyai buku tulisan dirinya sendiri, tidak kira ianya fiksyen atau bukan fiksyen, mereka ada kelas mereka yang tersendiri. Kerana bukan semua orang boleh jadi penulis, namun semua orang mampu menjadi pembaca. Buku laku dijual atau tidak, berapakah royaltinya, adakah perlu dijual sendiri, dan segala macam persoalan lagi tidak saya hiraukan. Yang penting saya ingin menulis, sehingga saya punya karya sendiri dalam bentuk buku.

Sehinggalah saya bertemu dengan PTS dan menghadiri bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan secara gratis oleh mereka. Setelah bergurukan Puan Ainon bt Abdullah sendiri segala persepsi saya berubah. Saya Nampak ada peluang yang lebih menarik dalam dunia penulisan. Saya juga mendapat tahu ramai penulis mapan adalah penulis sepenuh masa dan menyara kehidupan dengan hasil penulisan mereka sahaja. Makah ada yang menjadi kaya raya dan hidup mewah dengan menulis, saya terpana.

Saya diajarkan, apakah salahnya jika kita berusaha untuk membuat sesuatu perkara yang baik bertujuan kerana Allah untuk mendapat pahala, dalam masa yang sama bermanfaat sesama manusia seterusnya mendapat habuan daripada hasil jerih perih usaha kita itu. Tidak salah! Yang salahnya apabila niat melakukan kerja tersebut semata-mata kerana duit, orientasinya duit! Bila tidak dibayar dengan duit terus mereka mengundurkan diri.

Contohnya seorang ustaz yang dipanggil berkuliah di sebuah masjid, sepanjang berkuliah di sana beliau dibayar dengan jumlah yang tertentu. Namun pada suatu hari, kerana sedikit masalah teknikal pihak masjid telah mengurangkan bayarannya atau terlupa untuk menyampaikan sampul berisi wang itu, lantas beliau tidak lagi hadir dan berputus arang dengan pihak masjid.

Inilah yang tidak wajar, duit telah membeli keikhlasannya dalam menyampaikan ilmu melalui kuliah atau ceramah. Begitu juga bagi seorang penulis, kalau duit yang menjadi imbangan semata-semata, maka salahlah. Apa yang penting bagi penulis ialah tulisannya diterbitkan lantas dibaca oleh ummah dan mereka mendapat manfaat dan berkongsi pula dengan orang lain, masya-Allah. Bayangkan sahaja rantaian pahalanya saudaraku.

Sepatutnya para penceramah dan penulis mengambil contoh baginda Rasulullah SAW dalam berdakwah. Baginda tidak pernah meminta atau menerima sedekah, namun jika dihadiahkan dengan ikhlas akan diambil. Erti katanya seorang penulis atau penceramah khususnya dalam bidang agama mesti membetulkan niat untuk berkongsi semata-mata kerana Allah, jika ada rezeki adalah bayarannya dan jika tiada sekalipun tidak mengapa.

Sejak bulan Disember tahun sudah, hampir setiap bulan tulisan saya samada puisi, sajak, esei, artikel mahupun cerpen tersiar di akhbar. Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Berita Harian, Harakah dan Siasah kerana menyiarkannya. Bulan alang gembiranya saya sebagai seorang penulis yang pucuk ini. Soal duit tidak timbul kerana saya pun punya kerja dan gaji tetap di tempat lain, menulis hanya kerana saya mahu menulis dan mahu jadi penulis. Saya hanya berharap tulisan saya memberi manfaat kepada para pembacanya dan menjadi saham pahala untuk saya di akhirat kelak.

Kini saya sudah bertekad untuk terjun ke dalam dunia penulisan secara menyeluruh. Maksudnya sumber rezeki saya kelak pun adalah daripada aktiviti penulisan. Saya telah memohon untuk menjadi editor fiksyen PTS setelah manuskrip pertama saya dalam genre novel sejarah Islam bakal terbit. Saya ingin makan rezeki daripada kreativiti dan usahasama pancaindera yang Allah kurniakan ini.

Saya juga mendapat tahu bahawa PTS menyediakan pakej yang menarik selain daripada banyak kelebihan lain apabila bersama dengan mereka. Dasar perjuangan bahasa Melayu tinggi, orientasi syariah, bebas rasuah dan lain-lain kriteria yang begitu dekat di hati ini menyebabkan saya berani melucutkan diri daripada jawatan di sektor awam untuk bersama PTS. Saya yakin di sini punya ruangan untuk saya menulis, berdakwah melalui penulisan dan dalam masa yang sama menjana pendapatan dari segi gaji dan royalti.

Insya-Allah jika rezeki penulisan saya cemerlang dan mendapat royalti yang baik setiap tahun, sudah saya rencanakan apa yang sepatutnya saya lakukan. Cuma doa saya agar nanti tidak dibolak-balikkan hati ini, risau jua tatkala memegang cek berangka lain pula jadinya. Wal’iazubillah.

Antara yang saya akan buat selepas menyelesaikan perkara-perkara wajib yang lain ialah membayar yuran menyambung pengajian hingga peringkat yang tertinggi insya-Allah. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian sarjana dan seterusnya peringkat doktor falsafah dengan izin Allah.

Makanya saya akan terus menulis dan membahagikannya dengan professional. Bekerja sebagai editor dan menulis novel sejarah Islam dengan PTS tentu dengan tujuan akhir menjana pendapatan yang mapan. Namun saya terus menulis puisi, sajak, cerpen, esei mahupun artikel untuk akhbar-akhbar dengan tujuan untuk berkongsi semata. Dibayar, Alhamdulillah. Jika tidak dibayar, tidak mengapa.
_________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

4 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Terima kasih sudi berkunjung ke blog saya...

Ya! Saudara Naimisa pernah mejadi pelajar di kampus kejuruteraan USM..

Menulis adalah salah satu relung dalam medan dakwah...dakwah - tugas yang wajib ke atas setiap muslim. Apa-apa anugerah yang lain itu adalah hanya bonus pemberian Allah..maka bersyukurlah...

Teruskan memacu semangat menulis, ya?

Wasalam

Hasbullah Mohamed said...

Salam ukhwah sahabat..

apapun kerja kita lakukan jika ikhlas dan istiqamah serta mengharapkan redha-Nya insyaAllah rezki menyusul kemudian.. semoga terus menulis dan menulis..

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam Puan Dr Umi Kalthum, terharu saya kerana puan sudi menyinggah di sini.

Terima kasih juga atas kata-kata nasihat, saya anggap ianya adalah nasihat seorang guru kepada anak muridnya.

Saya sudah mendapat temponya, mohon hanya Allah kurniakan hati yang istiqamah insya-Allah.

Saya akan terus menulis, sehingga Allah sahaja yang dapat menghalangnya insya-Allah.

Syukran puan.

Zahiruddin Zabidi said...

Salam ukhwah jua saudaraku,

Terima kasih atas kata-kata nasihat yang cukup istimewa itu. Insya-Allah, akan saya tetapkan hati ini pada yang lurus. Semoga Allah tidak membolak balikkannya dengan kebatilan dan wahan, nauzubillah.

Saya akan terus menulis insya-Allah.