08 July 2009

Kerinduan

Saya akur, ekspedisi hidup bukanlah seindah coretan tinta sasterawan. Bukan juga seantagonis tulisan para perekod keganasan di sana sini. Namun kehidupan adalah sebuah hakikat atau realiti yang perlu jauh dari alunan fantasi.

Hidup adalah hakikat. Kejadian Allah yang maha kuasa dengan sebab yang sangat jelas. Menjadi hambanya yang mengikut suruhanNya dan menjauhi laranganNya.

Lalu dihantar para Rasul sebagai duta utusan untuk memeperjelaskan hakikat tersebut dalam bahasa manusia itu sendiri. Jelasnya kesan dakwah itu sehingga sekarang, apatah lagi jika mahu dikaitkan dengan Rasul terakhir, Muhammad SAW.

Dulu, bila saya membelek helaian buku-buku sirah yang menceritakan tentang peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah dalam suka duka baginda menharungi kehidupan sebagai seorang da'ie, mujahid, ahli politik, pemerintah, sahabat serta ayah dan suami maka nescaya utaian air mata ini tidak segan untuk menghembur keluar.

Saya merasakan betapa bertuahnya jika saya ini merupakan salah seorang sahabat yang pernah hidup pada zaman tersebut dan bersama-sama beginda mengharungi segala perjalanan tersebut bersama Rasulullah, kadangkala saya akan termenung beberapa ketika sebelum melelapkan mata, alangkah indahnya bisik hati saya.

Keperitan, kejerihan, kepahitan dan segala kesusahan selayaknya bukan untuk baginda kerana baginda ialah insan terpilih. Kenapa perlu baginda tempuh segala mehnah tersebut, Allah tentu akan memakbulkan jika hanya Rasulullah berdoa.

Besar iktibarnya, yang mahu baginda tinggalkan untuk kita renungkan.

Jika baginda sanggup susah apatah lagi kita? Jika baginda sanggup disakiti dan turun terus ke medan perang serta menjadi bahan ejekan, kritikan, tohmahan para musuh risakah Islam maka tepuklah dada kita tanya iman dan taqwa apakah kita tidak perlu bersusah mahupun redha jika sedikit kesusahan berbentuk ujian dikenakan oleh Allah kepada kita.

Wallahua'lam.

Zahiruddin al-Mawar

No comments: