16 July 2009

Kalam Hikmah 4

KETAHUILAH, BAHAWA DENGAN MENGINGATI ALLAH, HATI AKAN MENJADI TENANG DAN DOSA AKAN TERHAPUS. DENGAN MENGINGATI ALLAH, DZAT YANG MAHA MENGETAHUI SEGALA HAL YANG GHAIB AKAN MEREDHAI DAN SEGALA KESUSAHAN AKAN LENYAP.

Allah ta'ala berfirman dalam al-Quran bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Al-Rad, 13:28)

Dan lagi firmanNya yang bermaksud : "
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Taghaabun, 64:11)

Jelaslah bahawa kenikmatan yang paling hakiki di muka bumi ini ialah sebuah ketenangan. Namun tidak ramai yang mampu meraih kenikmatan tenangnya hati dek kerana kealpaan diri sendiri. Dua ayat diatas meletakkan syarat untuk mendapat ketenangan ialah dengan mengingati Allah dan beriman kepadaNya.

Pernah kita jumpa mereka yang hidup sederhana, harta dan wang ringgit secukup ada, bahkan anak yang hampir mencecah bilangan dozen. Secara zahirnya kita simpulkan mereka susah, namun di sebalik kesusahan itu terpancar sinar kebahagiaan kerana mereka sentiasa redha dan mengingati Allah. Mereka tekun berusaha bukan untuk meraih dunia yang sementara, namun yang menjadi sasaran mereka ialah kesenangan akhirat.

Mereka tidak mahu tergolong dalam golongan yang senang di dunia namun susah di akhirat, namun susah di dunia bukanlah apa jika dibandingkan dengan kesenangan di akhirat. Kalau mampu senang di dunia malah mencapai kesenangan di akhirat adalah yang terbaik, namun celakalah jika kesenangan di dunia sudah bukan milik kita, sekaligus di akhirat juga kita tidak mendapat kesenangan, wal'iazubillah.

Pernah juga kita dengar kisah sang hartawan yang memiliki segala-segalanya yang berbentuk kesenangan dunia. Terkadang kita berasa iri dengan kehidupan para tangan emas ini, namun hakikatnya bukanlah syarat untuk bahagia itu perlu ada harta. Bahkan ramai orang menderita kerana harta mereka itu. Tiada masa untuk membaca quran malah sembahyang begitu ringan dibiarkan berlalu tanpa risau resah pun.

Hutang yang berlambak untuk pusingan modal perniagaan, tidur yang tidak lena kerana memikirkan segala mehnah dunia yang bakal dihadapi esoknya. Belum masuk masalah keluarga yang melibatkan isteri, anak-anak dan sebagainya.

Nah, jika saya tanyakan di sini. Antara dua situasi yang saya datangkan itu, yang manakah satu pilihan kita? Saya ada jawapannya, begitu juga anda semua. Namun jadilah hartawan yang mukmin, itulah yang sepatutnya. Janganlah kita menafikan hak untuk berusaha dan mendapat rezeki kesenangan dari Allah jua.

Akhirnya, saya mengingatkan diri saya agar sentiasa menjadikan al-Quran sebagai rutin, antara punca ketenangan ialah dengan berdamping dengan kalam mukjizat itu. Agar warisan yang ditinggalkan oleh kekasih kita itu menjadi darah daging yang sentiasa mengalirkan ketenangan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang menceritakan tentang seorang lelaki dalam lafaznya yang berbunyi:

كان ‏ ‏رجل ‏ ‏يقرأ سورة ‏ ‏الكهف ‏ ‏وعنده فرس مربوط بشطنين فتغشته سحابة فجعلت تدور وتدنو وجعل فرسه ينفر منها فلما أصبح أتى النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فذكر ذلك له فقال ‏ ‏تلك السكينة تنزلت للقرآن ‏

Hadis Al-Bara' bin Aazib r.a katanya:
Seorang lelaki sedang membaca surah Al-Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang terikat dengan tali yang panjang, tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi beliau datang menemui Nabi s.a.w dan memberitahu hal tersebut kepada baginda, lalu baginda bersabda: Itulah ketenangan yang diturunkan kerana Al-Quran.
(Soheh Muslim: 1325)

ZahiruddinZabidi


No comments: