13 July 2009

Motivasi

Kehidupan memerlukan motivasi. Suatu anjakan, perangsang, penyemarak dan apa sahaja yang berkaitan dengan aktiviti atau perasaan bahkan individu yang mendorong kita agar lebih bersemangat boleh dikatakan sebagai motivasi.

Sumber motivasi itu tidak terhad, bahkan seluruh elemen di muka bumi ini mampu mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada kita terutama makhluk Allah yang paling mulia ini.

Kebanyakan mereka yang sentiasa berada di tahap motivasi yang stabil ialah orang yang berjaya dan bahagia. Ada orang berjaya dalam hidup namun tidak bahagia, ada pula yang bahagia namun kehidupan mereka yang sederhana.

Mulai hari ini saya akan berkongsi kata-kata hikmah yang mampu mencetuskan anjakan motivasi untuk kita semua mampu untuk berbahagia. Samada kita kaya atau miskin, berjaya atau belum berjaya, kecil atau dewasa, sihat ataupun sakit. Ternyata kita punya hak untuk membahagiakan diri kita dan kitalah yang menentukan samada kita akan bahagia atau sebaliknya.

Mengikut Stephen R. Covey dalam bukunya "7 Habits Of Most Highly Effective Person" beliau mengatakan : "Akhlak kita, pada asasnya ialah gabungan semua tabiat kita: Tanam suatu buah fikiran, tuai suatu tindakan; tanam suatu tindakan, tuai suatu tabiat; tanam suatu tabiat, tuai suatu akhlak; tanam suatu akhlak, tuai suatu nasib"

Semoga dengan tabiat kita yang suka membaca bahan bacaan yang positif akan mencetus suasana pemikiran yang positif dan sejahtera kerana kebahagiaan itu boleh dicari dan dinikmati, jangan kita menjadi orang yang rugi di dunia ini bahkan akhirat juga, pasti!

Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni
Penulis pilihan saya dalam motivasi, saya sudah menghabiskan bacaan karyanya yang masyhur bertajuk "La Tahzan" dengan jangka masa yang agak lama iaitu 3 bulan. Namun besar impaknya kerana setiap bait yang diukir di dalam buku itu seakan mendorong dan melorong saya ke arah yang lebih terarah dan jelas. Cerita-cerita, potongan wahyu yang diselitkan, hadis-hadis soheh yang mengujakan serta pengalaman beliau sendiri di samping menceritakan pengalaman mereka yang di sekililing beliau begitu menyebabkan buku itu ada nilainya yang tersendiri.

Dalam penulisan saya seterusnya, saya telah mendapatkan buku beliau yang bertajuk "566 KATA-KATA HIKMAH; Jadilah Orang Yang Paling Bahagia" untuk dikongsi dan disyarahkan bersama mengikut kesesuai dan pengetahuan serta pengalaman saya, insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi

No comments: