20 July 2009

Kalam Hikmah 6

APABILA ANDA BERADA PADA WAKTU PAGI, JANGAN MENUNGGU DATANGNYA PETANGNYA. HIDUPLAH DALAM BATASAN HARI INI SAHAJA. CURAHKAN SELURUH PERHATIAN ANDA UNTUK MENJADI LEBIH BAIK PADA HARI INI.
Kata-kata diatas amatlah sesuai dengan firman Allah ta'ala dalam surah al-Asr : 1-3 yang bermaksud:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَصۡرِ (١)
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Masa adalah perkara yang paling jauh. Ini adalah kerana menurut Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali masa yang lalu tidak akan mampu dilawati lagi oleh manusia setelah ianya berlalu, mustahil untuk mengembalikan masa yang lalu.

Begitu juga kita amat disibukkan dengan urusan yang belum jelas dan bersifat ghaib yakni masa depan. Bukan bermaksud kita tidak boleh merancang, ada penjelasannya. Yang disifatkan sibuk memikirkan masa depan ialah sehingga mengabaikan kewajipan yang tersedia di depan mata yang lebih penting.

Sibuk dalam pelajaran untuk menghadapi peperiksaan sehingga terlepas solat. Sibuk dengan mesyuarat dan urusan kerja sehingga terlepas solat dan sebagainya. Ternyata inilah yang dimaksudkan dengan "jika berada di pagi hari jangan menunggu petang".

Dalam konotasi ibadat kepada Allah, terutama ibadah wajib yang difardhukan kepada kita semua ternyata tiada istilah tangguh. Harus disegerakan kerana sedarlah kita bahawa mati tidak pernah singgah dahulu untuk menyempaikan salam, namun ianya hanya singgah untuk merengut roh pinjaman Allah itu kepada kita.

Surah al-Asr begitu ditir menceritakan apakah tujuan masa itu dan bagaimanakah sikap kita dalam mengimplementasikan setiap masa sebagai hamba Allah. Ternyata jawapan pada ayat ketiga sudah jelas setelah Allah mengherdik manusia dengan mengatakan mereka itu berada dalam kerugian yang nyata.

Klasifikasi 4 golongan yang tidak rugi dinyatakan dalam surah ini ialah:

1. Mereka yang beriman
2. Mereka yang beramal soleh
3. Berpesan diatas kebenaran
4. Berpesan diatas kesabaran

Ternyata mereka yang mempunyai keempat-empat kriteria inilah yang dikatakan mereka yang tidak rugi dan sekaligus menggambarkan mereka ini tidak bersikap berlengah dan sangat menghargai masa kerana bagi mereka setiap saat yang berlalu itu samada adalah pahala ataupun dosa sahaja. Tiada di antara keduanya.

Mungkin kita sudah beruntung jika boleh berada dalam salah satu kelompok di atas, kenyataanya? Tepuk dada, tanyalah iman wahai diriku dan sahabat sekalian.

Dan ingatlah Allah ta'ala pernah berfirman yang bermaksud:

" Setiap yang hidup pasti akan mati..."

Dan lagi firmanNya yang bermaksud,

"Tidak dilambatkan walau sesaat malah tidak diawal"

ZahiruddinZabidi





No comments: