BIARKAN MASA DEPAN ITU DATANG DENGAN SENDIRINYA DAN JANGAN TERLALU CEMAS DENGAN HARI ESOK. KERANA JIKA KITA MELAKUKAN YANG TERBAIK PADA HARI INI, PASTILAH HARI ESOK JUGA BAIKAntara kriteria rukun Iman iaitu rukun kepercayaan dalam Islam ialah percaya dengan perkara ghaib. Perkara ghaib yang paling utama ialah Allah SWT sendiri, diikuti para malaikat, kitab-kitab sebelum al-Quran, para nabi termasuk Rasulullah s.a.w, qada' dan qadar Allah ta'ala dan hari kiamat.
Semuanya berbentuk ghaib. Kerana semua rukun keimanan itu tidak pernah kita pada hari ini lihat dengan mata kepala kita malah rasa dengan segala pancaindera yang lainnya.
Beriman dalam erti kata ialah percaya dengan sebenar-sebenarnya. Dilafazkan dengan lidah dan ditasdidkan dengan kalbu (hati) dan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan dengan anggota.
Begitu juga dengan iblis, jin, Yakjuj dan Makjuj, Dajjal juga tergolong dalam perkara ghaib yang wajib kita sebagai orang Islam percaya. Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut terlebih dahulu memang disebut di dalam al-Quran lebih 1430 dahulu lagi. Malah hadis baginda Rasulullah s.a.w juga merekodkan tentang perkara ghaib, terutama dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.
Dan segala perkara ghaib ini tiada mampu akal dengkel kita mampu sukatkan rasionalitinya. Ianya mencarikkan adat.
Manakala perkara ghaib yang bersifat paling dekat dengan kita adalah hari-hari yang akan mendatang. Walaupun sentiasa kita dibayangi dengan perkara ghaib yang dinamakan ajal namun hari esok tetap akan tiba jika nyawa masih di kandung badan bahkan mungkin sudah tiada.
Bagaimanakah kita perlu menggunakan hari ini malah saat ini yang nyata dengan memastikan hari esok yang ghaib itu menjadi lebih baik daripada hari ini? Sentiasa kita dengar ramai manusia yang hampa kerana dosa atau kesalahan pada hari ini atau sebelumnya, mereka terus menerus mengabaikan malah merugikan hayatnya yang selepas itu.
Malah mungkin sehingga berminggu-minggu, berbulan-bulan dan adalah menjadi kebodohan yang nyata jika ia memakan masa hingga bertahun-tahun malah puluhan tahun untuk tenggelam dalam kesedihan, keresahan malah kebuntuan.
Ayuh! Capai sajadah dan solat taubat dengan sebenar-benar taubat (nasuha). Hari ini juga, kalau boleh amalkan setiap hari dan malam sebelum mata dilelapkan. Istighfarlah kurang lebih 70 - 100 kali sehari, bahkan junjungan besar Rasulullah kita yang maksum pun beristighfar dalam kiraan tersebut, malah sembahyang baginda hingga bengkak kaki mulianya, namun bila ditanya isteri tercinta ternyata jawab baginda: "Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada tuhanKu?" Masya-Allah, Subhana-Allah wa-Allahuakbar.
Wahai manusia, hidup ini sekejap sahaja. Sangat singkat. Lihatlah diri kita sekarang, ketika masih teringat jelas kenangan zaman kanak-kanak kita di kotak minda ini tiba-tiba kini kita yang perlu dan sudah menjadi bapa atau ibu kepada anak-anak pula. Begitu pantas masa itu berlalu. Bagaikan pedang kata Saidina Ali Karrama-Allahu wajhah.
Berapa ramai sudah ahli keluarga, sahabat, pemimpin-pemimpin hebat, insan-insan cemerlang yang mendahului mengadap Rabb dalam redhaNya mahupun tidak walhal mereka itu kita pegang, tatap, dengar malah rasa setiap hari dahulunya.
Maka pastikanlah yang terbaik pada masa dan saat ini juga. jangan pernah bazirkan apa yang tidak perlu dibazirkan. Selain ianya juga amalan syaitan, yang dilaknat lagi dikejam. Nikmatilah hidup, bahagiakanlah untuk dibahagiakan, memberilah untuk diberikan, kasihilah untuk dikasihi untuk saat ini, ketika ini juga. Demi esok yang lebih baik di dunia bahkan akhirat.
Kerana hari esok itu ghaib. Dan yang ghaib itu hanyalah Allah sahaja yang arif lagi mengetahui.
ZahiruddinZabidi
No comments:
Post a Comment