15 July 2009

Kalam Hikmah 3

REDHALAH DENGAN TAQDIR YANG TELAH DITENTUKAN DAN REZEKI YANG TELAH DIBAHAGI ITU DENGAN HATI YANG TERBUKA. SEGALA SESUATU ITU SUDAH ADA UKURANNYA, MAKA TINGGALKAN BERKELUH KESAH.

Ada tiga elemen yang sangat penting dalam kata-kata di atas dan ianya amat berkait rapat dengan kehidupan kita di dunia ini, yang pertamanya ialah berkenaan dengan takdir. Yang keduanya adalah rezeki dan akhirnya kita diminta agar tidak berkeluh kesah.

Sepertimana ulasan yang terdahulu, saya telah mendatangkan ayat-ayat suci al-Quran dan beberapa potong hadis untuk mentahqiqkan hujahan saya mengenai qada dan qadar yakni takdir Allah ta'ala kepada kita. Kali ini biarlah saya berkongsi sebuah cerita benar pula.

Saya berkenalan dengan seorang sahabat yang agak pelik perjalanan hidupnya. Kerana keputusan yang dibuat oleh beliau sepanjang hidupnya disifatkan tidak selari dengan kehendak normal semasa, ternyata telah mengecewakan orang tuanya pada peringkat awalnya.

Dia boleh dikatakan sebagai pelajar yang pandai di sekolahnya dahulu, namun ketika menjejaki alam remaja maka sedikit dia alpa dari pembelajaran kerana asyik dengan buaian keremajaan. Macam-macam dicubanya, dari merempit hingga ke keluar malam namun katanya sehingga perkara yang melampaui batasan agama tidak mungkin dia akan lakukan. Malah solat fardhu dijaga rapi. Mungkin nakal budak baru nak besar.

Namun setelah menjangkau tingkatan untuk menduduki peperiksaan SPM, satu cetusan pemikiran yang positif timbul. Katanya dia berhasrat untuk ke sebuah IPTA yang bersifat antarabangsa. Kawan-kawan kebanyakannya hanya sinis dengan hasratnya, dipendekkan cerita Allah ta'ala makbulkan hasratnya untuk ke IPTA tersebut setelah hampir 2 tahun berusaha.

Namun ketika di IPTA, sekali lagi di terlupa bahawa perjalanannya masih panjang dan di situ hanya permulaan. Sekali lagi dia tenggelam dalam arus keasyikan metropolitan, namun sekali lagi dia iktikad yang senakal manapun dirinya solat dan kewajipan lain dia cuba untuk tunaikan juga. Namun akhirnya dia kecundang di IPTA.

Pasrah dia namun kembali dia berikrar untuk menebus semuanya. Rancangan diatur, pertama mesti mendapatkan kerja, untuk tidak perlu bergantung kepada kedua orang tuanya lagi. Kemudiannya macam-macam kerja dia laksanakan, dari menjadi jurujual kepada pekerja sementara hinggalah menjadi pegawai tetap kerajaan. Namun terselit kemas di sanubari dia untuk menyambung kembali pelajaran yang terbantut dulu.

Kini dia sudah menyambung pelajaran ijazahnya dan insya-Allah akan menyudahkan pengajiannya seberapa ketika sahaja lagi. Malah dia bercadang untuk menyambung pengajian sarjananya dalam bidang pengajian Islam.

Ternyat akhirnya dengan usaha yang kuat maka tidak ada alasan untuk kita tidak berjaya. Kitalah yang mencorak hidup kita. Cuba perhatikan firman Allah ta'ala dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Banyaknya mengeluh menggambarkan lemahnya diri kita dan juga melambangkan kita seolah tidak dapat menerima ketentuan Allah kepada kita dan menyalahkanNya. Sedarlah kita bahawa nikmat Allah yang maha luas mustahil untuk diperhitungkan, bayangkan dari kita dalam perut ibu kita hingga ke hari ini, sudah banyak mana rezeki Allah yang kita guna? Udara, cahaya, makan, minum, tubuh badan dan segalanya. Wajarkah kita untuk berkira dengan Allah ta'ala jika dia berkehendak ujian kepada kita? Bahkan Allah ta'ala dengan banyaknya mengulangi pertanyaan :" Dan nikmat Allah yang manakah lagi engkau hendak dustakan?" di dalam surah Ar-Rahman.

Ayuh kita renungi satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummahatul Mukminin, Saidatina Aisyah r.ha :

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إذا صلى قام حتى ‏ ‏تفطر ‏ ‏رجلاه قالت ‏ ‏عائشة ‏ ‏يا رسول الله أتصنع هذا وقد غفر لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر فقال يا ‏ ‏عائشة ‏ ‏أفلا أكون عبدا شكور

Hadis Aisyah r.a katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang baginda berdiri hingga pecah-pecah telapak kakinya. Aisyah r.a berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa engkau lakukan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampunkan segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Wahai Aisyah Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!

(Soheh Muslim: 5046)

Zahiruddin Zabidi





No comments: