14 July 2009

Kalam Hikmah 2

APA YANG TELAH BERLALU, BIARLAH IANYA BERLALU. DAN APA YANG TELAH PERGI, BIARLAH BINASA. JANGAN ANDA FIKIR APA YANG TELAH BERLALU, KERANA IA TELAH PERGI DAN LENYAP

Kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan, masa pula tidak akan menoleh ke belakang. Kalau disibukkan diri kita ini dengan adengan-adengan lampau yang pastinya tidak akan kembali, maka kita akan sentiasa hampa. Kalau ianya manis dan mengenangkannya mampu memberikan inspirasi motivasi maka wajarlah, namun kalau sebaliknya kita yang akan binasa.

Ya betul, kita pernah tersilap dan berdosa. Dan kita patut rasa menyesal malah bertaubat dengan sebenar-benar taubat, namun untuk terus menerus meratap pilu untuk kegagalan dan kesedihan yang telah berlalu itu bukanlah cara yang paling baik untuk dijadikan penawar. Yang lalu biarlakanlah berlalu, kerana percayalah qada' dan qadar Allah adalah yang terbaik untuk kita. Allah ta'ala berfirman dalam surah At-Taubah ayat ke-102 yang bermaksud:

وَءَاخَرُونَ ٱعۡتَرَفُواْ بِذُنُوبِہِمۡ خَلَطُواْ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Dan lagi Allah berfirman dalam surah yang sama ayat ke-104 yang bermaksud:

أَلَمۡ يَعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ يَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَيَأۡخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya) dan bahawa sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?"

Yang pastinya adakah kehidupan kita yang berbaki mungkin 10 hingga 20 tahun, mungkin sesingkat sehingga minggu atau bulan depan ini perlu terus menerus diracuni dengan dosa silam? Kenapa tidak sahaja ruang yang masih berbaki itu digunakan untuk bertaubat, belajar dari kesilapan, teruskan berusaha untuk membaiki kesalahan dahulu. Yang lalu jadikanlah pengajaran, biar yang datang kita tangani dengan terpelajar.

Darihal ini, saya menganggap para banduan kesalahan jenayah berat yang dijatuhi hukuman mati adalah bertuah, kerana mereka antara golongan yang boleh mengetahui tarikh kematian mereka secara bersurat. Nah, seterusnya bergantung pada mereka untuk menggunakan sisa nyawa yang ada. Pastinya diisi dengan taubat dan ibadat kepada Allah dan insya-Allah tidak mustahik mereka ini diampunkan Allah dan dimasukkan syurga kerana Allah amat mencintai hambanya yang bertaubat kepadaNya. Anas bin Malik r.a. telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah dan direkod oleh Imam Muslim r.h. yang berbunyi:

قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏لله أشد فرحا بتوبة عبده حين يتوب إليه من أحدكم كان على ‏ ‏راحلته ‏ ‏بأرض فلاة ‏ ‏فانفلتت ‏ ‏منه وعليها طعامه وشرابه فأيس منها فأتى شجرة فاضطجع في ظلها قد أيس من ‏ ‏راحلته ‏ ‏فبينا هو كذلك إذا هو بها قائمة عنده فأخذ ‏ ‏بخطامها ‏ ‏ثم قال من شدة الفرح اللهم أنت عبدي وأنا ربك أخطأ من شدة الفرح

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba-Nya iaitu salah seorang daripada kamu bertaubat kepada-Nya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadaan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhan-Mu

Percayalah takdir, yakni qada' dan qadar Allah ta'ala adalah yang terbaik untuk kita. Ayuh kita hayati satu lagi hadis yang direkod oleh Al-Imam Muslim r.h. dari Abdullah bin Mas'ud r.a. yang berbunyi:

حدثنا رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏وهو الصادق المصدوق ‏ ‏إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما ثم يكون في ذلك ‏ ‏علقة ‏ ‏مثل ذلك ثم يكون في ذلك ‏ ‏مضغة ‏ ‏مثل ذلك ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه ‏ ‏الكتاب ‏ ‏فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه ‏ ‏الكتاب ‏ ‏فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها ‏

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:

Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya.

(Soheh Muslim:
4781)
Zahiruddin Zabidi


No comments: