29 July 2009

Kalam Hikmah 8

BEBASKAN JIWA ANDA DARI RASA DENGKI DAN IRI HATI. BUANG SEJAUHNYA SIFAT PERMUSUHAN DAN HILANGKAN SIFAT PERMUSUHAN DARI HATI ANDA.
Al-Imam Al-Ghazali di dalam perbahasan falsafah agama tentang nafsu telah mengklasifikasikan nafsu itu kepada 3 bahagian:

1. Nafsu Ammarah
2. Nafsu Lawwamah
3. Nafsu Muttmainnah

Nafsu Ammarah adalah tingkatan nafsu yang paling buruk dan jahat. Segala kejahatan yang dilakukan manusia kebanyakannya berpunca dari dorongan nafsu ammarah ini.

Begitu juga dengan sikap dan sifat yang dinamakan dengki atau iri hati. Hal ini akan berlaku apabila timbulnya rasa tidak puas hati yang ammarah terhadap sesuatu keadaan mahupun orang, merasakan nikmat yang ada pada orang lain tidak patut ada bahkan diri sendirilah yang patut dapat semuanya itu.

Ironiknya, sifat tersebut sinonim dengan kita. Iaitu orang Melayu beragama Islam berwarganegarakan Malaysia.

Dulu, kini dan selamanya. Kerana jatuh empayar Islam Melaka jua kerana sifat serta sikap khianat dan iri hati sesama. Sehingga terkubur sudah daulah Islam Melayu yang mencatitkan kanun syar'iah secara bertulis sebagai undang-undang dan dasar pemerintahan kesultanan ketika itu. Apa yang dipanggil hukum hudud. Kerana dengki dan iri hati, hancur luluh dilanda penjajah.

Sungguhpun saya amat berasa aib apabila golongan agamawan juga tidak terlepas dari apa yang dipanggil dengki dan iri hati ini. Dek kerana melihat sambutan ceramahnya kurang mendapat sambutan berbanding yang seorang lagi itu, maka sanggup dihamburkan kata-kata nista berbentuk hasutan bagi menyatakan kebatilan seterunya itu agar akhirnya orang awam akan datang kepadanya. Dengan pelbagai tuduhan, biasa kita dengan istilah bid'ah mahupun sesat, kafir, murtad malah Wahabi dan banyak lagi.

Apabila ammarah yang mengusai diri. Ayuh kembalilah kepada Allah dan RasulNya, akidah Islam adalah terasnya. dan saya yakin segala 'turuq', mazhab atau tarikat malah apapun jenis pemahaman dan pentafsiran ternyata akhirnya untuk ke syurga Allah setelah mendapat redhanya.

Belapang dada dan kita akan rasa kemanisan Islam dan Iman. Bukan sahaja hak kita kepada Allah perlu kita laksanakan namun hak kepada manusia juga harus diutamakan. Antara faktor yang boleh menyebabkan kita ke syurga atau neraka juga adalah manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidak kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah (kepada kami)"

Catitan sejarah di dalam al-Quran juga menceritakan tentang pembunuhan pertama yang berlaku di atas muka bumi oleh anak-anak nabi Adam, Qabil dan Habil juga adalah kerana dengki dan iri hati.

Direkod dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:

حدثني ‏ ‏يحيى بن يحيى ‏ ‏قال قرأت على ‏ ‏مالك ‏ ‏عن ‏ ‏ابن شهاب ‏ ‏عن ‏ ‏أنس بن مالك

‏أن رسول الله ‏ ‏ ‏يهجر ‏ ‏أخاه فوق ثلاث‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لا تباغضوا ولا تحاسدوا ولا لمسلم‏ ‏تدابروا ‏ ‏وكونوا عباد الله إخوانا ولا يحل أن
Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.
(Soheh Muslim: 4641)
ZahiruddinZabidi

22 July 2009

Kalam Hikmah 7

BIARKAN MASA DEPAN ITU DATANG DENGAN SENDIRINYA DAN JANGAN TERLALU CEMAS DENGAN HARI ESOK. KERANA JIKA KITA MELAKUKAN YANG TERBAIK PADA HARI INI, PASTILAH HARI ESOK JUGA BAIK
Antara kriteria rukun Iman iaitu rukun kepercayaan dalam Islam ialah percaya dengan perkara ghaib. Perkara ghaib yang paling utama ialah Allah SWT sendiri, diikuti para malaikat, kitab-kitab sebelum al-Quran, para nabi termasuk Rasulullah s.a.w, qada' dan qadar Allah ta'ala dan hari kiamat.

Semuanya berbentuk ghaib. Kerana semua rukun keimanan itu tidak pernah kita pada hari ini lihat dengan mata kepala kita malah rasa dengan segala pancaindera yang lainnya.

Beriman dalam erti kata ialah percaya dengan sebenar-sebenarnya. Dilafazkan dengan lidah dan ditasdidkan dengan kalbu (hati) dan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan dengan anggota.

Begitu juga dengan iblis, jin, Yakjuj dan Makjuj, Dajjal juga tergolong dalam perkara ghaib yang wajib kita sebagai orang Islam percaya. Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut terlebih dahulu memang disebut di dalam al-Quran lebih 1430 dahulu lagi. Malah hadis baginda Rasulullah s.a.w juga merekodkan tentang perkara ghaib, terutama dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.

Dan segala perkara ghaib ini tiada mampu akal dengkel kita mampu sukatkan rasionalitinya. Ianya mencarikkan adat.

Manakala perkara ghaib yang bersifat paling dekat dengan kita adalah hari-hari yang akan mendatang. Walaupun sentiasa kita dibayangi dengan perkara ghaib yang dinamakan ajal namun hari esok tetap akan tiba jika nyawa masih di kandung badan bahkan mungkin sudah tiada.

Bagaimanakah kita perlu menggunakan hari ini malah saat ini yang nyata dengan memastikan hari esok yang ghaib itu menjadi lebih baik daripada hari ini? Sentiasa kita dengar ramai manusia yang hampa kerana dosa atau kesalahan pada hari ini atau sebelumnya, mereka terus menerus mengabaikan malah merugikan hayatnya yang selepas itu.

Malah mungkin sehingga berminggu-minggu, berbulan-bulan dan adalah menjadi kebodohan yang nyata jika ia memakan masa hingga bertahun-tahun malah puluhan tahun untuk tenggelam dalam kesedihan, keresahan malah kebuntuan.

Ayuh! Capai sajadah dan solat taubat dengan sebenar-benar taubat (nasuha). Hari ini juga, kalau boleh amalkan setiap hari dan malam sebelum mata dilelapkan. Istighfarlah kurang lebih 70 - 100 kali sehari, bahkan junjungan besar Rasulullah kita yang maksum pun beristighfar dalam kiraan tersebut, malah sembahyang baginda hingga bengkak kaki mulianya, namun bila ditanya isteri tercinta ternyata jawab baginda: "Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur kepada tuhanKu?" Masya-Allah, Subhana-Allah wa-Allahuakbar.

Wahai manusia, hidup ini sekejap sahaja. Sangat singkat. Lihatlah diri kita sekarang, ketika masih teringat jelas kenangan zaman kanak-kanak kita di kotak minda ini tiba-tiba kini kita yang perlu dan sudah menjadi bapa atau ibu kepada anak-anak pula. Begitu pantas masa itu berlalu. Bagaikan pedang kata Saidina Ali Karrama-Allahu wajhah.

Berapa ramai sudah ahli keluarga, sahabat, pemimpin-pemimpin hebat, insan-insan cemerlang yang mendahului mengadap Rabb dalam redhaNya mahupun tidak walhal mereka itu kita pegang, tatap, dengar malah rasa setiap hari dahulunya.

Maka pastikanlah yang terbaik pada masa dan saat ini juga. jangan pernah bazirkan apa yang tidak perlu dibazirkan. Selain ianya juga amalan syaitan, yang dilaknat lagi dikejam. Nikmatilah hidup, bahagiakanlah untuk dibahagiakan, memberilah untuk diberikan, kasihilah untuk dikasihi untuk saat ini, ketika ini juga. Demi esok yang lebih baik di dunia bahkan akhirat.

Kerana hari esok itu ghaib. Dan yang ghaib itu hanyalah Allah sahaja yang arif lagi mengetahui.

ZahiruddinZabidi

20 July 2009

Kalam Hikmah 6

APABILA ANDA BERADA PADA WAKTU PAGI, JANGAN MENUNGGU DATANGNYA PETANGNYA. HIDUPLAH DALAM BATASAN HARI INI SAHAJA. CURAHKAN SELURUH PERHATIAN ANDA UNTUK MENJADI LEBIH BAIK PADA HARI INI.
Kata-kata diatas amatlah sesuai dengan firman Allah ta'ala dalam surah al-Asr : 1-3 yang bermaksud:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَصۡرِ (١)
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Masa adalah perkara yang paling jauh. Ini adalah kerana menurut Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali masa yang lalu tidak akan mampu dilawati lagi oleh manusia setelah ianya berlalu, mustahil untuk mengembalikan masa yang lalu.

Begitu juga kita amat disibukkan dengan urusan yang belum jelas dan bersifat ghaib yakni masa depan. Bukan bermaksud kita tidak boleh merancang, ada penjelasannya. Yang disifatkan sibuk memikirkan masa depan ialah sehingga mengabaikan kewajipan yang tersedia di depan mata yang lebih penting.

Sibuk dalam pelajaran untuk menghadapi peperiksaan sehingga terlepas solat. Sibuk dengan mesyuarat dan urusan kerja sehingga terlepas solat dan sebagainya. Ternyata inilah yang dimaksudkan dengan "jika berada di pagi hari jangan menunggu petang".

Dalam konotasi ibadat kepada Allah, terutama ibadah wajib yang difardhukan kepada kita semua ternyata tiada istilah tangguh. Harus disegerakan kerana sedarlah kita bahawa mati tidak pernah singgah dahulu untuk menyempaikan salam, namun ianya hanya singgah untuk merengut roh pinjaman Allah itu kepada kita.

Surah al-Asr begitu ditir menceritakan apakah tujuan masa itu dan bagaimanakah sikap kita dalam mengimplementasikan setiap masa sebagai hamba Allah. Ternyata jawapan pada ayat ketiga sudah jelas setelah Allah mengherdik manusia dengan mengatakan mereka itu berada dalam kerugian yang nyata.

Klasifikasi 4 golongan yang tidak rugi dinyatakan dalam surah ini ialah:

1. Mereka yang beriman
2. Mereka yang beramal soleh
3. Berpesan diatas kebenaran
4. Berpesan diatas kesabaran

Ternyata mereka yang mempunyai keempat-empat kriteria inilah yang dikatakan mereka yang tidak rugi dan sekaligus menggambarkan mereka ini tidak bersikap berlengah dan sangat menghargai masa kerana bagi mereka setiap saat yang berlalu itu samada adalah pahala ataupun dosa sahaja. Tiada di antara keduanya.

Mungkin kita sudah beruntung jika boleh berada dalam salah satu kelompok di atas, kenyataanya? Tepuk dada, tanyalah iman wahai diriku dan sahabat sekalian.

Dan ingatlah Allah ta'ala pernah berfirman yang bermaksud:

" Setiap yang hidup pasti akan mati..."

Dan lagi firmanNya yang bermaksud,

"Tidak dilambatkan walau sesaat malah tidak diawal"

ZahiruddinZabidi





17 July 2009

Kalam Hikmah 5

JANGAN SEKALI-KALI MENGHARAPKAN UCAPAN TERIMA KASIH DARI ORANG LAIN. CUKUPLAH PAHALA DARI DZAT TEMPAT BERGANTUNG SEGALA MAKHLUK. ANDA TIDAK PERLU TAKUT KEPADA ORANG YANG KUFUR, PENDENDAM DAN IRI HATI.
Pengiktirafan yang tertinggi untuk kita raih wajarnya dari Allah. Jika sahaja kita berbuat sesuatu kebaikan itu semata-mata untuk penghargaan sesama manusia nescaya kita akan hampa. Manusia hanya akan mengiktiraf, mennghargai kita tatkala apa yang kita buat kena dengan kehendak mereka, namun sebaliknya akan berlaku jika amal itu tidak disukai walaupun ianya bersifat haq di sisi syarak.

Jika kita tengok siri dakwah Islam yang bermula dari zaman Rasulullah berada di Mekah lagi, ternyata baginda dikecam, dihina, diejek oleh kaumNya sendiri walhal merekalah dulu yang menyayangi dan mennyanjungi baginda. Namun akhirnya, kerana tindakan Rasulullah menyeru mereka kepada tidak menyekutukan Allah dengan segala tuhan yang selainNya tidak selari dengan aliran syahwat kuffar mereka itu, maka perkara sebaliknya berlaku.

Kalau Rasulullah hanya mengharap kepada rasa terima kasih mereka itu ternyata baginda akan hampa. Namun ada yang lebih utama kasihnya untuk kita, tidak lain tidak bukan iaitu kasih tuhan yang esa tanpa sekutu yakni Allah azzawajall.

Begitu kasih manusia yang bergelar ibu bapa kepada anak-anaknya juga tidak mampu ditandingi dengan kasih Allah. Kasih ibu bapa akan bercerai dan padam setelah putus nafas di badan atau hilang kewarasan, namun kasih Allah sebelum dan setelah hidup masih juga berterusan.

Begitu seterusnya kita soroti ekspedisi dakwah para dae'i dan murabbi-murabbi, ulama'-ulama' dan para pejuang-pejuang Islam dahulu, ternyata bukan kasih manusia yang dipinta melainkan mengharap hanya pada kasih Allah. Kerana mereka tahu hanya kasih Allah menjamin ketenangan hakiki dunia dan akhirat. Atas rasa ingin berkongsi nikmat kasih Allah itulah maka kita mampu mengecapi nikmat Islam dan Iman pada hari ini.

Berlapang dadalah apabila berhadapan dengan golongan pendendam, kuffar dan iri hati. Kerana dengan adanya mereka ini melambangkan kita ini berada dalam kelompok haq yang beriringan dengan kalam Allah dan sunnah RasulNya. Tidak pernah sebuah episod perjuangan itu berlangsung tanpa ranjau rintang. Namun akhirnya kebenaran akan menyinar biarpun badan para pejuang itu sudah hancur luluh dimamah zaman.

Kalau yang kita kejar adalah kasih Allah, maka kasih manusia juga akan bersama kita. Namun jika hanya kasih manusia yang kita dambakan, percayalah kedua-duanya pasti lerai dari gengaman kita.

Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah Al-Fath, 48:29)

ZahiruddinZabidi



16 July 2009

Kalam Hikmah 4

KETAHUILAH, BAHAWA DENGAN MENGINGATI ALLAH, HATI AKAN MENJADI TENANG DAN DOSA AKAN TERHAPUS. DENGAN MENGINGATI ALLAH, DZAT YANG MAHA MENGETAHUI SEGALA HAL YANG GHAIB AKAN MEREDHAI DAN SEGALA KESUSAHAN AKAN LENYAP.

Allah ta'ala berfirman dalam al-Quran bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Al-Rad, 13:28)

Dan lagi firmanNya yang bermaksud : "
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Taghaabun, 64:11)

Jelaslah bahawa kenikmatan yang paling hakiki di muka bumi ini ialah sebuah ketenangan. Namun tidak ramai yang mampu meraih kenikmatan tenangnya hati dek kerana kealpaan diri sendiri. Dua ayat diatas meletakkan syarat untuk mendapat ketenangan ialah dengan mengingati Allah dan beriman kepadaNya.

Pernah kita jumpa mereka yang hidup sederhana, harta dan wang ringgit secukup ada, bahkan anak yang hampir mencecah bilangan dozen. Secara zahirnya kita simpulkan mereka susah, namun di sebalik kesusahan itu terpancar sinar kebahagiaan kerana mereka sentiasa redha dan mengingati Allah. Mereka tekun berusaha bukan untuk meraih dunia yang sementara, namun yang menjadi sasaran mereka ialah kesenangan akhirat.

Mereka tidak mahu tergolong dalam golongan yang senang di dunia namun susah di akhirat, namun susah di dunia bukanlah apa jika dibandingkan dengan kesenangan di akhirat. Kalau mampu senang di dunia malah mencapai kesenangan di akhirat adalah yang terbaik, namun celakalah jika kesenangan di dunia sudah bukan milik kita, sekaligus di akhirat juga kita tidak mendapat kesenangan, wal'iazubillah.

Pernah juga kita dengar kisah sang hartawan yang memiliki segala-segalanya yang berbentuk kesenangan dunia. Terkadang kita berasa iri dengan kehidupan para tangan emas ini, namun hakikatnya bukanlah syarat untuk bahagia itu perlu ada harta. Bahkan ramai orang menderita kerana harta mereka itu. Tiada masa untuk membaca quran malah sembahyang begitu ringan dibiarkan berlalu tanpa risau resah pun.

Hutang yang berlambak untuk pusingan modal perniagaan, tidur yang tidak lena kerana memikirkan segala mehnah dunia yang bakal dihadapi esoknya. Belum masuk masalah keluarga yang melibatkan isteri, anak-anak dan sebagainya.

Nah, jika saya tanyakan di sini. Antara dua situasi yang saya datangkan itu, yang manakah satu pilihan kita? Saya ada jawapannya, begitu juga anda semua. Namun jadilah hartawan yang mukmin, itulah yang sepatutnya. Janganlah kita menafikan hak untuk berusaha dan mendapat rezeki kesenangan dari Allah jua.

Akhirnya, saya mengingatkan diri saya agar sentiasa menjadikan al-Quran sebagai rutin, antara punca ketenangan ialah dengan berdamping dengan kalam mukjizat itu. Agar warisan yang ditinggalkan oleh kekasih kita itu menjadi darah daging yang sentiasa mengalirkan ketenangan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang menceritakan tentang seorang lelaki dalam lafaznya yang berbunyi:

كان ‏ ‏رجل ‏ ‏يقرأ سورة ‏ ‏الكهف ‏ ‏وعنده فرس مربوط بشطنين فتغشته سحابة فجعلت تدور وتدنو وجعل فرسه ينفر منها فلما أصبح أتى النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فذكر ذلك له فقال ‏ ‏تلك السكينة تنزلت للقرآن ‏

Hadis Al-Bara' bin Aazib r.a katanya:
Seorang lelaki sedang membaca surah Al-Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang terikat dengan tali yang panjang, tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi beliau datang menemui Nabi s.a.w dan memberitahu hal tersebut kepada baginda, lalu baginda bersabda: Itulah ketenangan yang diturunkan kerana Al-Quran.
(Soheh Muslim: 1325)

ZahiruddinZabidi


15 July 2009

Kalam Hikmah 3

REDHALAH DENGAN TAQDIR YANG TELAH DITENTUKAN DAN REZEKI YANG TELAH DIBAHAGI ITU DENGAN HATI YANG TERBUKA. SEGALA SESUATU ITU SUDAH ADA UKURANNYA, MAKA TINGGALKAN BERKELUH KESAH.

Ada tiga elemen yang sangat penting dalam kata-kata di atas dan ianya amat berkait rapat dengan kehidupan kita di dunia ini, yang pertamanya ialah berkenaan dengan takdir. Yang keduanya adalah rezeki dan akhirnya kita diminta agar tidak berkeluh kesah.

Sepertimana ulasan yang terdahulu, saya telah mendatangkan ayat-ayat suci al-Quran dan beberapa potong hadis untuk mentahqiqkan hujahan saya mengenai qada dan qadar yakni takdir Allah ta'ala kepada kita. Kali ini biarlah saya berkongsi sebuah cerita benar pula.

Saya berkenalan dengan seorang sahabat yang agak pelik perjalanan hidupnya. Kerana keputusan yang dibuat oleh beliau sepanjang hidupnya disifatkan tidak selari dengan kehendak normal semasa, ternyata telah mengecewakan orang tuanya pada peringkat awalnya.

Dia boleh dikatakan sebagai pelajar yang pandai di sekolahnya dahulu, namun ketika menjejaki alam remaja maka sedikit dia alpa dari pembelajaran kerana asyik dengan buaian keremajaan. Macam-macam dicubanya, dari merempit hingga ke keluar malam namun katanya sehingga perkara yang melampaui batasan agama tidak mungkin dia akan lakukan. Malah solat fardhu dijaga rapi. Mungkin nakal budak baru nak besar.

Namun setelah menjangkau tingkatan untuk menduduki peperiksaan SPM, satu cetusan pemikiran yang positif timbul. Katanya dia berhasrat untuk ke sebuah IPTA yang bersifat antarabangsa. Kawan-kawan kebanyakannya hanya sinis dengan hasratnya, dipendekkan cerita Allah ta'ala makbulkan hasratnya untuk ke IPTA tersebut setelah hampir 2 tahun berusaha.

Namun ketika di IPTA, sekali lagi di terlupa bahawa perjalanannya masih panjang dan di situ hanya permulaan. Sekali lagi dia tenggelam dalam arus keasyikan metropolitan, namun sekali lagi dia iktikad yang senakal manapun dirinya solat dan kewajipan lain dia cuba untuk tunaikan juga. Namun akhirnya dia kecundang di IPTA.

Pasrah dia namun kembali dia berikrar untuk menebus semuanya. Rancangan diatur, pertama mesti mendapatkan kerja, untuk tidak perlu bergantung kepada kedua orang tuanya lagi. Kemudiannya macam-macam kerja dia laksanakan, dari menjadi jurujual kepada pekerja sementara hinggalah menjadi pegawai tetap kerajaan. Namun terselit kemas di sanubari dia untuk menyambung kembali pelajaran yang terbantut dulu.

Kini dia sudah menyambung pelajaran ijazahnya dan insya-Allah akan menyudahkan pengajiannya seberapa ketika sahaja lagi. Malah dia bercadang untuk menyambung pengajian sarjananya dalam bidang pengajian Islam.

Ternyat akhirnya dengan usaha yang kuat maka tidak ada alasan untuk kita tidak berjaya. Kitalah yang mencorak hidup kita. Cuba perhatikan firman Allah ta'ala dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Banyaknya mengeluh menggambarkan lemahnya diri kita dan juga melambangkan kita seolah tidak dapat menerima ketentuan Allah kepada kita dan menyalahkanNya. Sedarlah kita bahawa nikmat Allah yang maha luas mustahil untuk diperhitungkan, bayangkan dari kita dalam perut ibu kita hingga ke hari ini, sudah banyak mana rezeki Allah yang kita guna? Udara, cahaya, makan, minum, tubuh badan dan segalanya. Wajarkah kita untuk berkira dengan Allah ta'ala jika dia berkehendak ujian kepada kita? Bahkan Allah ta'ala dengan banyaknya mengulangi pertanyaan :" Dan nikmat Allah yang manakah lagi engkau hendak dustakan?" di dalam surah Ar-Rahman.

Ayuh kita renungi satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummahatul Mukminin, Saidatina Aisyah r.ha :

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إذا صلى قام حتى ‏ ‏تفطر ‏ ‏رجلاه قالت ‏ ‏عائشة ‏ ‏يا رسول الله أتصنع هذا وقد غفر لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر فقال يا ‏ ‏عائشة ‏ ‏أفلا أكون عبدا شكور

Hadis Aisyah r.a katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang baginda berdiri hingga pecah-pecah telapak kakinya. Aisyah r.a berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa engkau lakukan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampunkan segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Wahai Aisyah Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!

(Soheh Muslim: 5046)

Zahiruddin Zabidi





14 July 2009

Kalam Hikmah 2

APA YANG TELAH BERLALU, BIARLAH IANYA BERLALU. DAN APA YANG TELAH PERGI, BIARLAH BINASA. JANGAN ANDA FIKIR APA YANG TELAH BERLALU, KERANA IA TELAH PERGI DAN LENYAP

Kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan, masa pula tidak akan menoleh ke belakang. Kalau disibukkan diri kita ini dengan adengan-adengan lampau yang pastinya tidak akan kembali, maka kita akan sentiasa hampa. Kalau ianya manis dan mengenangkannya mampu memberikan inspirasi motivasi maka wajarlah, namun kalau sebaliknya kita yang akan binasa.

Ya betul, kita pernah tersilap dan berdosa. Dan kita patut rasa menyesal malah bertaubat dengan sebenar-benar taubat, namun untuk terus menerus meratap pilu untuk kegagalan dan kesedihan yang telah berlalu itu bukanlah cara yang paling baik untuk dijadikan penawar. Yang lalu biarlakanlah berlalu, kerana percayalah qada' dan qadar Allah adalah yang terbaik untuk kita. Allah ta'ala berfirman dalam surah At-Taubah ayat ke-102 yang bermaksud:

وَءَاخَرُونَ ٱعۡتَرَفُواْ بِذُنُوبِہِمۡ خَلَطُواْ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Dan lagi Allah berfirman dalam surah yang sama ayat ke-104 yang bermaksud:

أَلَمۡ يَعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ يَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَيَأۡخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya) dan bahawa sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?"

Yang pastinya adakah kehidupan kita yang berbaki mungkin 10 hingga 20 tahun, mungkin sesingkat sehingga minggu atau bulan depan ini perlu terus menerus diracuni dengan dosa silam? Kenapa tidak sahaja ruang yang masih berbaki itu digunakan untuk bertaubat, belajar dari kesilapan, teruskan berusaha untuk membaiki kesalahan dahulu. Yang lalu jadikanlah pengajaran, biar yang datang kita tangani dengan terpelajar.

Darihal ini, saya menganggap para banduan kesalahan jenayah berat yang dijatuhi hukuman mati adalah bertuah, kerana mereka antara golongan yang boleh mengetahui tarikh kematian mereka secara bersurat. Nah, seterusnya bergantung pada mereka untuk menggunakan sisa nyawa yang ada. Pastinya diisi dengan taubat dan ibadat kepada Allah dan insya-Allah tidak mustahik mereka ini diampunkan Allah dan dimasukkan syurga kerana Allah amat mencintai hambanya yang bertaubat kepadaNya. Anas bin Malik r.a. telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah dan direkod oleh Imam Muslim r.h. yang berbunyi:

قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏لله أشد فرحا بتوبة عبده حين يتوب إليه من أحدكم كان على ‏ ‏راحلته ‏ ‏بأرض فلاة ‏ ‏فانفلتت ‏ ‏منه وعليها طعامه وشرابه فأيس منها فأتى شجرة فاضطجع في ظلها قد أيس من ‏ ‏راحلته ‏ ‏فبينا هو كذلك إذا هو بها قائمة عنده فأخذ ‏ ‏بخطامها ‏ ‏ثم قال من شدة الفرح اللهم أنت عبدي وأنا ربك أخطأ من شدة الفرح

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hamba-Nya iaitu salah seorang daripada kamu bertaubat kepada-Nya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadaan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhan-Mu

Percayalah takdir, yakni qada' dan qadar Allah ta'ala adalah yang terbaik untuk kita. Ayuh kita hayati satu lagi hadis yang direkod oleh Al-Imam Muslim r.h. dari Abdullah bin Mas'ud r.a. yang berbunyi:

حدثنا رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏وهو الصادق المصدوق ‏ ‏إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما ثم يكون في ذلك ‏ ‏علقة ‏ ‏مثل ذلك ثم يكون في ذلك ‏ ‏مضغة ‏ ‏مثل ذلك ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أو سعيد فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه ‏ ‏الكتاب ‏ ‏فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه ‏ ‏الكتاب ‏ ‏فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها ‏

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:

Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya.

(Soheh Muslim:
4781)
Zahiruddin Zabidi


13 July 2009

Kalam Hikmah 1

BERIMANLAH, KERANA IMAN BOLEH MENGHILANGKAN KERESAHAN, DAN MELENYAPKAN KEGUNDAHAN. kEIMANAN ADALAH PENYEJUK MATA HATI ORANG-ORANG YANG MENG-ESAKAN ALLAH DAN HIBURAN BAGI ORANG YANG SUKA BERIBADAH
Jelaslah hanya keimanan kepada Allah yang menjamin kebahagiaan di dunia malah yang terlebih utama di akhirat kelak. Namun ada yang beranggapan kebahagiaan itu jika dia mampu memiliki dunia ini dalam erti kata apabila dia kaya, berjawatan tinggi, berkuasa, memiliki keluarga dan anak-pinak yang ramai maka mereka itu tergolong dalam golongan yang bahagia.

Tidak dinafikan bahawa itu semua adalah satu juzuk dari juzuk-juzuk kebahagiaan, namun itu semua tidak beerti jika tidak disandarkan dengan rasa syukur dan keimanan hakiki kepada Allahu Rabbul Jalil. Kerana sebenarnya yang indah di mata hanya mainan jiwa dunia.

Berapa ramai manusia yang mempunyai harta, kuasa, nama namun merana jua. Mereka ini jika tidak beriman dengan Allah, bukan sahaja merana di dunia malah lebih arah jika akhirat pun mereka dihumban ke lembah derita, neraka.

Maka dengan keimanan kepada Allah sahaja mampu memenuhi segenap ruang fitrah kebahagiaan sebagai seorang hamba, walau hidup di dunia tidak seberapa namun percayalah kebahagiaan yang menunggu di akhirat lebih hakiki.

Apalah sangat jika dibandingkan lazat dunia dengan nikmat syurga yang dijanji Allah. Maka berlapang dadalah sahabatku, berbahagialah kerana kita akan tergolong dalam kalangan yang bahagia jika kita beriman kepada Allah.

"Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya." (surah al-Qamar: 55)

Rasulullah juga telah bersabda dari Anas bin Malik r.a:

قَوْله صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( ثَلَاث مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَان مَنْ كَانَ اللَّهَ وَرَسُوله أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا , وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْء لَا يُحِبّهُ إِلَّا لِلَّهِ , وَأَنْ يَكْرَه أَنْ يَعُود فِي الْكُفْر بَعْد أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّه مِنْهُ كَمَا يَكْرَه أَنْ يُقْذَف فِي النَّار ) ‏

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.

(Sahih Muslim: 60)


Zahiruddin Zabidi

Motivasi

Kehidupan memerlukan motivasi. Suatu anjakan, perangsang, penyemarak dan apa sahaja yang berkaitan dengan aktiviti atau perasaan bahkan individu yang mendorong kita agar lebih bersemangat boleh dikatakan sebagai motivasi.

Sumber motivasi itu tidak terhad, bahkan seluruh elemen di muka bumi ini mampu mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada kita terutama makhluk Allah yang paling mulia ini.

Kebanyakan mereka yang sentiasa berada di tahap motivasi yang stabil ialah orang yang berjaya dan bahagia. Ada orang berjaya dalam hidup namun tidak bahagia, ada pula yang bahagia namun kehidupan mereka yang sederhana.

Mulai hari ini saya akan berkongsi kata-kata hikmah yang mampu mencetuskan anjakan motivasi untuk kita semua mampu untuk berbahagia. Samada kita kaya atau miskin, berjaya atau belum berjaya, kecil atau dewasa, sihat ataupun sakit. Ternyata kita punya hak untuk membahagiakan diri kita dan kitalah yang menentukan samada kita akan bahagia atau sebaliknya.

Mengikut Stephen R. Covey dalam bukunya "7 Habits Of Most Highly Effective Person" beliau mengatakan : "Akhlak kita, pada asasnya ialah gabungan semua tabiat kita: Tanam suatu buah fikiran, tuai suatu tindakan; tanam suatu tindakan, tuai suatu tabiat; tanam suatu tabiat, tuai suatu akhlak; tanam suatu akhlak, tuai suatu nasib"

Semoga dengan tabiat kita yang suka membaca bahan bacaan yang positif akan mencetus suasana pemikiran yang positif dan sejahtera kerana kebahagiaan itu boleh dicari dan dinikmati, jangan kita menjadi orang yang rugi di dunia ini bahkan akhirat juga, pasti!

Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni
Penulis pilihan saya dalam motivasi, saya sudah menghabiskan bacaan karyanya yang masyhur bertajuk "La Tahzan" dengan jangka masa yang agak lama iaitu 3 bulan. Namun besar impaknya kerana setiap bait yang diukir di dalam buku itu seakan mendorong dan melorong saya ke arah yang lebih terarah dan jelas. Cerita-cerita, potongan wahyu yang diselitkan, hadis-hadis soheh yang mengujakan serta pengalaman beliau sendiri di samping menceritakan pengalaman mereka yang di sekililing beliau begitu menyebabkan buku itu ada nilainya yang tersendiri.

Dalam penulisan saya seterusnya, saya telah mendapatkan buku beliau yang bertajuk "566 KATA-KATA HIKMAH; Jadilah Orang Yang Paling Bahagia" untuk dikongsi dan disyarahkan bersama mengikut kesesuai dan pengetahuan serta pengalaman saya, insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi

08 July 2009

Kerinduan

Saya akur, ekspedisi hidup bukanlah seindah coretan tinta sasterawan. Bukan juga seantagonis tulisan para perekod keganasan di sana sini. Namun kehidupan adalah sebuah hakikat atau realiti yang perlu jauh dari alunan fantasi.

Hidup adalah hakikat. Kejadian Allah yang maha kuasa dengan sebab yang sangat jelas. Menjadi hambanya yang mengikut suruhanNya dan menjauhi laranganNya.

Lalu dihantar para Rasul sebagai duta utusan untuk memeperjelaskan hakikat tersebut dalam bahasa manusia itu sendiri. Jelasnya kesan dakwah itu sehingga sekarang, apatah lagi jika mahu dikaitkan dengan Rasul terakhir, Muhammad SAW.

Dulu, bila saya membelek helaian buku-buku sirah yang menceritakan tentang peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah dalam suka duka baginda menharungi kehidupan sebagai seorang da'ie, mujahid, ahli politik, pemerintah, sahabat serta ayah dan suami maka nescaya utaian air mata ini tidak segan untuk menghembur keluar.

Saya merasakan betapa bertuahnya jika saya ini merupakan salah seorang sahabat yang pernah hidup pada zaman tersebut dan bersama-sama beginda mengharungi segala perjalanan tersebut bersama Rasulullah, kadangkala saya akan termenung beberapa ketika sebelum melelapkan mata, alangkah indahnya bisik hati saya.

Keperitan, kejerihan, kepahitan dan segala kesusahan selayaknya bukan untuk baginda kerana baginda ialah insan terpilih. Kenapa perlu baginda tempuh segala mehnah tersebut, Allah tentu akan memakbulkan jika hanya Rasulullah berdoa.

Besar iktibarnya, yang mahu baginda tinggalkan untuk kita renungkan.

Jika baginda sanggup susah apatah lagi kita? Jika baginda sanggup disakiti dan turun terus ke medan perang serta menjadi bahan ejekan, kritikan, tohmahan para musuh risakah Islam maka tepuklah dada kita tanya iman dan taqwa apakah kita tidak perlu bersusah mahupun redha jika sedikit kesusahan berbentuk ujian dikenakan oleh Allah kepada kita.

Wallahua'lam.

Zahiruddin al-Mawar

06 July 2009

Kelahiran Baru

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, hampir sebulan dalam kelahiran baru ini saya semakin dapat menyesuaikan diri. Dengan semangat untuk terus belajar samaada pengajian yang formal atau tidak, saya tetap meletakkan diri saya sebagai seorang pelajar.

Namun, dalam masa yang sama terus untuk mengajar.

Bekerja, belajar, berpesatuan dan berkahwin dalam satu masa memang mencabar. Namun setiap cabaran itu ada nilai yang tidak ternilai dengan apapun. Kerana yang dituntut itu jika hanyalah wang ringgit ternyata saya akan kecewa. Jika juga kerana nama maka saya akan kecewa. Jika hanya kerana untuk sedikit habuan dunia maka saya akan merana.

Pesan saya pada diri saya. Ikhlaslah! Li-llahi ta'ala. Nescaya kebahagiaan yang mendatang akan lebih manis.

Saya akan terus membaca dan menulis, terkadang akan menyampaikan. Semuanya hanya untuk sampai ke sana, yang hakiki. Allah ya rabbi, ku rindukan cebisan kerinduan itu. Pernah Engkau titipkan dalam sanubari ini, lantas dinoda mehnah syaitan, iblis dan nafsu diri maka iapun lerai dimamah dosa terkini.

Kini, saya akan usahakan kembali. Kerana ijazah kehormatan diri sudah hampir sebulan saya perolehi. Penstrukturan semula akan menjadi agenda. Saya tidak mahu jadi seorang yang lupa diri. Asalnya di mana, akhirmya di mana? Silapnya jika semua kemanisan perjuangan zahir atau senyap terus lenyap. Kini saya menyendiri sementara diri mengrekrut segala kudrat kurniaan Ilahi agar disalurkan ke pentas dakwah insani. Saya ingin berkongsi, dengan semua bakal rakyat negeri akhirat.

Zahiruddin Zabidi

03 July 2009

Urus

Semakin hari semakin saya sedar cabaran kian mendatang akan terus dan perluu ditempuhi tanpa rela atau paksa. Seakan menari dengan gaya yang santai lagi gemalai sedangkan lagu yang beriringan adalah membingitkan.

Mahu tidak mahu berhadapan dengan konflik yang akan sentiasa wujud dengan ilmu yang ditimba, pengalaman dan ilham serta rahmat dari Ilahi adalah antara yang perlu difahami setiap manusia yang berminda seakan politikus massa.

Pengurusan masa, wang, tenaga malah jiwa dan raga juga tidak diabaikan. Segala genap peraturan alam maya perlu diasimilasikan dengan pengurusan yang berkesan.

Bagaimana dengan pengurusan jiwa.

Islam ada jawapannya dan kita umat Islam sewajarnya perlu akur akan kaedah wahyu ini.

Allah berfirman :" Sesunggunya dengan mengigati Allah maka hati kamu akan tenang."

Di situlah kunci dan kekuatannya, iktikad pada zat Allah yang tiada bandingan malah tidak menyamai sekalian makhluk. Ternya hanya li-llahi ta'ala merupakan kunci azimat penenang, pendamai, pendinding luluh hati yang tersembunyi.

Zahiruddin Zabidi

Sayang di Sayang

Pepatah Melayu ada menyebut : Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan.

Dan saya hanya mampu tersenyum mengingatkan ungkapan ini.

Dalam usia perkahwinan yang masih di garisan permulaan ini ternyata masih banyaklah ilmu dan pemahaman tentang suasana rumahtangga ini harus dipelajari. Banyak benda baru yang akan ditempuhi malah banyak juga hal lama yang harus ditinggalkan.

Namun, terkadang saya rasa terkilan apabila hal yang harus saya tinggalkan itu antaranya adalah kerja dakwah yang semakin menyejuk dek kerana kami suami isteri terpaksa mengetatkan kestabilan rumah tangga kami dahulu.

Kadang-kadang terasa rugi kerana sudah lama tidak turun ke lapangan seperti sebelumnya, kerana kekangan tuntutan fardhu yang lain seolah menyaingi tuntutan fardhu yang satu ini. Teringat bila Ustaz Hasrizal menghuraikan tentang bagaimana kita meletakkan dakwah sebagai kefardhuan dalam hidup kita.

Pertama, mungkin seseorang itu berjemaah kerana ikut-ikutan. Dan ini memungkinkan dia tidak lama dalam jemaah dan akan jemu apabila tiada lagi rakan-rakan yang sekepala dengan dia di dalam jemaah. Risikonya dia akan terasa jemu akkhirnya kerana dia tahu apa yang sebenarnya dia mahukan, dia akhirnya akan mengubah haluan bila-bila masa sahaja setelah berjumpa dengan agenda yang selari dengan fikrahnya.

Kedua, mungkin kerana suka-suka. Daripada tak buat apa-apa, baik join jemaah maka boleh juga mereka jumpa kawan baru malah lebih parah kalau niatnya nak cari awek muslimah kononnya sebagai calon isteri. Lama kelamaan kerana tiada mar'ah muslimah yang sangkut dengannya maka dia itu terasa bosan dan beban lalu lenyaplah episod dakwah dalam dirinya.

Ketiga, kerana tanggungjawab sebagai seorang Islam. Inilah yang terbaik, namun juga tidak boleh dikira yang terbaik kerana jika dilihat tanggungjawab itu akan berubah mengikut masa. Contohnya seorang mahasiswa yang selain tanggungjawabnya untuk belajar maka seterusnya mungkin adalah dakwah. Namun apabila dia sudah graduasi dan bekerja maka komitmen dan tanggungjawab terhadap kerjanya itu akan mengatasi kerja dakwahnya, lama kelamaan dia akan hanyut dibuai kesibukan alam pekerjaan. Bagaimana pula seterusnya dia akan berkahwin? Tanggungjawab dakwahnya sudah jatuh ke tangga yang ke berapa sekarang?

Solusinya, dakwah itu sangat subjektif. Apakah dengan hanya bekerja dengan jabatan agama Islam peringkat kerajaan negeri atau mejadi ahli pertubuhan dakwah tertentu sahaja perlu berdakwah? Silap dan rugilah kita sebagai umat akhir zaman yang sememangnya diiktiraf sebagai umat yang terbaik.

Ayuh, gunalah kaedah ini : Perkongsian. Rasa ingin berkongsi segala nikmat yang Allah berikan. Rasa ingin berikan kepada sesiapa sahaja apa yang telah diberikan kepada kita. Nescaya, letih, jemu, bosan, tertekan tidak akan wujud dalam lafaz perjuangan kita.

Saya akan bermula kembali. Sebagai seorang hamba kepada Rabb, umat kepada Rasulullah SAW,anak kepada Abi dan Umi, pegawai kepada sektor agama kerajaan (JAWI), pegawai masjid kepada ahli masjid, penasihat kepada organisasi yang semakin berkembang iaitu iLuvislam.com, pengundi kepada parti yang akan memartabatkan Islam secara total dan yang lebih manisnya ialah sebagai seorang suami kepada isteri yang akan kalaupun tidak sebarisan dalam perjuangan dakwah tajdid ini cukuplah sebagai pengiring pinjaman hidup yang sementara ini.

Terima kasih isteriku.

Zahiruddin Zabidi