Hanya kerana tidak berpuas hati di atas perlantikan Saidina Abu Bakar r.ha sebagai khalifah pertama selepas kewafatan nabi Muhammad SAW, maka telah muncul kumpulan yang telah menisbahkan diri mereka sebagai penyokong kuat Ali k.wjh. Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dengan proses lantikan yang berjalan tanpa melibatkan Saidina Ali yang sedang sibuk menguruskan mayat Rasulullah SAW.
Mereka berpendapat bahawa hanya dari kalangan kerabat Rasulullah SAW sendirilah yang paling layak menggantikan Baginda sebagai pemimpin kamu muslimin. Sedangkan sikap Saidina Ali dalam hal ini adalah berlapang dada dan menghormati keputusan syura yang secara ijmaknya mengisytiharkan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama kaum muslimin.
Perlantikan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua kaum muslimin juga tidak disenangi mereka. Ini adalah kerana mereka berpegang kepada prinsip orang yang paling layak mewarisi kepimpinan Rasulullah SAW adalah ahlul-bait sahaja. Namun segala-galanya terzahir apabila Saidina Ali yang akhirnya menjadi khalifah kaum muslimin keempat telah diremehkan oleh Saidina Muawiyyah yang menjadi gabenor di Syria pada masa itu.
Tentangan ini berlangsung kerana Muawiyyah yang mempunyai pertalian darah dengan khalifah Saidina Uthman telah mendakwa bahawa Saidina Ali melengah-lengahkan proses siasatan dan hukuman terhadap peristiwa pembunuhan Saidina Uthman.
Khilaf siasi atau politik dalam urusan pentadbiran ini tidak terhenti di situ sahaja, bahkan kelompok yang sedikit taksub dengan ahlul-bait terutamanya Saidina Ali memendam perasaan selama bertahun-tahun sehinggalah mereka menzahirkannya dengan melakukan pemberontakan demi pemberontakan dan kemuncaknya adalah tercetusnya perang saudara antara sesama muslim.
Kumpulan ini dinamakan Syiah kemudiannya mengikut apa yang dinukilkan oleh al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari di dalam kitabnya yang berjudul Maqalaat Islamiyyin dan al-Syarastani di dalam al-Milal wal Nihal.
Akhirnya masalah khilaf politik itu telah bereceran menjadi doktrin akidah kumpulan-kumpulan yang tidak berpuas hati itu. Maka timbullah aliran Syiah yang mengagungkan Saidina Ali dengan mengkafirkan sebilangan sahabat yang lain dalam iktikad mereka, antara yang dikafirkan mereka adalah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Mereka juga melancar perang terhadap Muawiyyah yang dikatakan merampas takhta khalifah dengan cara yang batil daripada Saidina Ali k.wjh.
Kemudian timbul pula Khawarij yang tidak bersetuju terhadap keduanya. Mereka malah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Fahaman Jabbariah pula meletakkan segala natijah dan sebab musabab itu total daripada Allah. Manusia hanya menjalankan apa yang telah dirancang tanpa perlu berusaha untuk mengubahnya samada kebaikan mahupun keburukan. Ini juga merupakan salah satu cabang yang lari dari hakikat akidah Islam itu sendiri.
Jenis-jenis Syiah
Fahaman Syiah juga akhirnya telah berpecah mengikut faham aliran masing-masing. Mereka boleh dikatakan berpecah mengikut kadar ketetapan iktikad mereka. Ada yang melampau dengan menidakkan kerasulan Nabi Muhammad SAW, menganggap Saidina Ali itu tuhan, para imam yang diangkat dari kalangan ahlul-bait adalah maksum, al-Quran mempunyai surah yang tertinggal iaitu surah Fatimah, menambahkan kalimah pada seruan azan dan banyak lagi kebatilan yang bukan sahaja bid’ah bahkan secara nyata bercanggah sama sekali dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun ada juga yang sebaliknya, aliran ini tidak beriktikad dengan apa yang diiktikadkan aliran diatas. Mereka lebih bersederhana dan jika dilihat secara halus sebenarnya doktrin akidah dan syariat mereka tidak banyak bezanya dengan ahli sunnah wal jamaah.
Antara fahaman Syiah yang utama ialah Zaidiyyah yang kemudiannya telah berpecah kepada tiga kumpulan iaitu Jarudiyyah, Sulaimaniyyah dan Battariyyah.
Diikuti dengan kumpulan kedua terbesar yang dinamakan sebagai Imamiah, diikuti dengan kumpulan yang dinamakan sebagai Baqirah dan Jaafariyyah. Kumpulan ini kemudiannya berpecah kepada tiga golongan iaitu Nawusiah, al-Ifthahiah atau al-A’mariah serta al-Sumaitiah.
Aliran al-Musawiyah dan al-Mafadliah juga terpecah kepada tiga aliran yang berbeza seperti al-Maaturah, al-Quda’yah dan al-Waqifah. Isna Ashariah (Imam 12) juga punya pengaruh yang besar terhadap penganut Syiah namun dilihat sangat banyak percanggahan dari sudut akidah dan syariat berbanding ahli Sunnah wal Jamaah.
Al-Ismailiah al-Waqifah dan Ghulah al-Syiah yang kemudiannya terpecah kepada al-Saba’iah dan Ismailiah adalah golongan yang tertolak dari akidah Islam secara terang. Begitu juga al-Batiniah, Qaranitah dan Duruz.
Kemudian kita akan dapati ada kumpulan bernama Rawafid, Kisaniah, al-Hasyimiah, al-Bayaniah, al-Rizamiah, al-Karrabiah, al-Kalimiah. Ada juga Muhammadiah, Hisyamiah, al-Zirariah, al-Yunusiah dan al-Syaitaniah. (Rujuk: Fahaman dan Ideologi Umat Islam (2008). Kuala Lumpur: PTS Publication & Distribution)
Syiah masa kini
Prof Dr H. M Rasjidi di dalam bukunya yang bertajuk ‘Apa Itu Syiah’ telah mendedahkan aliran Syiah yang dianuti oleh pihak berkuasa di Iran sekarang ialah Syiah Imamiyyah. Di antara ciri-ciri khas aliran itu ialah:
1. Aliran ini menganggap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah merampas jawatan daripada pemiliknya iaitu Saidina Ali. Mereka telah mengutuk dan memaki kedua sahabat besar tersebut seakan perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada tugas mereka.
2. Mereka telah memberi kedudukan setingkat lebih tinggi daripada manusia biasa. Mereka seolah penghubung antara manusia dan Tuhan.
3. Ramai penganut aliran ini percaya bahkan bahawa Saidina Ali dan Imam-imam yang lain mempunyai sifat-sifat ketuhanan.
4. Penganut aliran ini percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan terjaga dari segala dosa kecil mahupun besar. Apa sahaja yang dilakukan mereka adalah benar dan yang ditinggalkan mereka adalah salah.
5. Mereka tidak mengakui bersepakatan atau ijmak ulama Islam sebagai salah satu sumber untuk mengistinbadkan hukum. Mereka akan menerima ijmak apabila imam mereka sendiri yang menyetujui ijmak tersebut. Dengan itu ijtihad dan penggunaan waras akal intelek adalah tidak dipraktikkan kerana segala kata dua adalah daripada imam.
6. Menghalalkan nikah mut’ah iaitu nikah sementara waktu samada sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Pernikahan ini amat ketara bezanya berbanding nikah yang disyariatkan melalui subbah Rasulullah SAW:
i) Dalam akad nikah pasangan mesti menyebut jangka masa yang dipersetujui bersama misalannya. Samada sehari, sebulan dan seterusnya.
ii) Nikah ini juga tidak memerlukan saksi dan tidak perlu juga dihebohkan kepada orang ramai.
iii) Antara suami isteri tidak ada yang boleh diwarisi.
iv) Untuk memutuskan ikatan pernikahan itu tidak memerlukan talak kerana perkaheinan akan terhenti dengan sendirinya apabila kontrak tempoh waktu yang dipersetujui bersama talah tamat.
v) Waktu edah bagi janda ialah dua kali haid atau 45 hari bagi yang sudah manopous. Manakala edah bagi kematian adalah sama dengan nikah biasa.
7. Mereka juga meyakini bahawa imam-imam yang sudah meninggal dunia akan kembali ke dunia pada akhir zaman dan membanteras segala perbuatan jahat dan khianat serta menghukum lawan kepada kumpulan Syiah. Kemudian baharulah datang Imam Mahdi ke dunia dan kiamat pun akan berlaku. (Prof Dr H. M. Rasjidi (2005). Apa Itu Syiah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. Mukasurat 57-60)
Kesimpulan
Secara terang dan jelas ajaran, pemikiran, doktrin serta akidah sebahagian besar daripada kumpulan Syiah yang bercabang dan beranting itu adalah bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Adalah tidak wajar kita yang berjijak pada sirat Ahli Sunnah wal Jamaah perlu mengiakan apa yang direncanakan oleh fahaman Syiah zaman berzaman itu. Pengaruh-pengaruh Syiah ini juga akhirnya hanya akan mendatangkan pecah belah di dalam masyarakat kita yang sedia harmoni dan aman damai. Berpegang kepada manhaj Fiqh al-Imam al-Syafie, manhaj akidah Abu Mansur al-Matrudi dan Abu Musa al-Asya’arie.
Namun untuk menidakkan peranan mereka sebagai satu-satunya gergasi dunia Islam yang berani untuk menentang negara barat seperti Israel dan Amerika secara berdepan adalah tidak patut. Hanya Iran dilihat sebagai satu-satunya negara yang tidak pernah tunduk kepada desakan dan arahan polis dunia itu. Maka alangkah indahnya jika ada penyelesaian antara isu Syiah dan Sunnah yang menatijahkan penggabungan besar orang Islam khususnya bangsa Arab dalam memerangi musuh yang lebih nyata iaitu Yahudi dan Nasrani, Israel dan Amerika.
Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://www.iluvislam.com/
No comments:
Post a Comment