Kyusuk adalah salah satu empati yang sangat didambakan oleh insan yang bertauhidkan kalimah La ilaha illa Allah. Kemuncak keseronokan ibadah itu adalah kekhusyukan yang mendatangkan kemanisan dan kerinduan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Nyatalah khusyuk itu adalah anugerah Allah kepada mereka yang terpilih dek kerana usaha jitu mereka dalam mendatangi Allah.
Sesetengah orang berpendapat khusyuk itu hanya mampu dicapai melalui jalan kesufian yakni dengan meninggalkan langsung dunia dan hal-hal di dalamnya. Sehingga terkenal dan tercatit dalam lembaran sejarah kehebatan khusyuk yang dimilki oleh wali-wali Allah seperti Rabiatul Adawiyah, Sufian al-Tsauri, Malik bin Dinar, Syeikh Abdul Kadir al-Jailani dan ramai lagi. Ini telah memberikan gambaran bahawa nilai kekhusyukan itu seolahnya hanya didapati di dalam aliran sufi yang pelbagai itu.
Namun sebenarnya, sifat khusyuk itu tidak patut dianggap hak eksklusif golongan sufi atau pengikut tariqat sahaja. Ini adalah kerana sebelum munculnya aliran-aliran sufi dan tariqat-tariqat yang pelbagai itu, terlebih dahulu sifat khusyuk dalam konteks ibadah Islamiyyah sudah dipelopori dan diajar oleh raja segala sufi dan tariqat penyucian hati (tazkiatun nafs), tiada lain manikam kalbu segala makhluk di bumi dan di langit, yang terdahulu mahupun yang mendatang bahkan dirinya adalah kecintaan Tuhan yang menciptakannya, baginda ialah Nabi Muhammad SAW.
Pendapat sepanjang zaman
Selain dari kalam-kalam Allah yang membicarakan secara tuntas mengenai khsusyuk, pendapat-pendapat sepanjang zaman juga telah dititipkan oleh ulama-ulama yang alim lagi faqeh sebagai pedoman dan panduan kita semua. Amatlah rugi jika permata-permata hikmah ini tidak digunapakai oleh kita yang sangat jauh dari memahami tuntutan agama apatah lagi dalam mengamalkannya.
Saidina Ali krwjh yang merupakan kanak-kanak pertama masuk Islam, sahabat, menantu baginda Rasulullah SAW dan khalifah Islam yang keempat itu telah melontarkan pendapatnya tentang khusyuk dengan mengungkapkan, “Khusyuk itu adalah khusyuk hati. Maksudnya khusyuk itu tempatnya di dalam hati dan yang mesti khusyuk adalah hati itu sendiri.”
Abdullah ibnu Abbas yang terkenal dengan kefaqehannya dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran bahkan didoakan secara khusus oleh Rasulullah dengan lafaz yang bermaksud: “Ya Allah Engkau faqehkan dirinya (Ibnu Abbas) darihal agama dan alimkanlah dia dengan hujah balas (takwil).” Beliau dalam memberi pandangannya tentang khusyuk telah berkata, “Khusyuk itu maknanya orang yang takut dan tenang anggota (anggota badan dan hati).”
Perekod hadith dan athar yang pertama dan pemula mazhab Maliki, al-Imam Maliki pula berpendapat dengan katanya, “Khusyuk itu maknanya menghadap dengan penuh perhatian ke atas solat itu.” Beliau adalah pengarang kita agung yang diberi judul al-Muwatta.
Manakala Imam mujtahid yang juga merupakan anak murid kepada al-Imam Malik, pengasas ilmu Usul al-Fiqh dan Mazhab Al-Syafi’e telah didapati berkata tentang khusyuk seperti berikut, “Khusyuk itu ialah orang yang bersembahyang itu haruslah menitikberatkan pandangan matanya di tempat sujud, sebab itu lebih menghadir dan memusatkan fikiran.”
Hujjatul Islam, ahli falsafah dan pengarang kitab agung berjudul Ihya Ulumuddin, al-Imam al-Ghazali pula didapati berkata, “Khusyuk atau pun ingat kepada Allah dalam solat adalah wajib hukumnya berdasarkan pengertian ayat: “…dan dirikan solat itu untuk mengingati-Ku.”(Surah To Ha: 14)
Mufassir dan sejarawan Islam yang agung, pengarang Tafsir al-Quran al-‘Azhim dan al-Bidayah wan Nihayah pula telah memberikan komentar seperti berikut, “Khusyuk di dalam solat itu dapat dihasilkan oleh orang yang membulatkan hatinya untuk bersolat dan menghindari soal-soal yang lain iaitu dengan mengutamakan hal solat dari hal-hal dunia. Dengan itu solat akan menjadi kecintaan dan kesenangan hati.”
Ibnu ‘Arabi dalam kitabnya Ahkamul Quran menjelaskan, “Khusyuk ialah tunduk merendah dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT.”
Pendapat yang sungguh bernas dan jitu juga dilontarkan oleh pengarang Tafsir Fi Zilalil Quran dan Ma’allim fi al-Tariq. Al-Syahid Syeikh Syed Qutb di dalam tafsirnya itu menyatakan, “Khusyuk itu maknanya hati orang yang melakukan solat itu berasa gentar dan takut di hadapan Allah hingga lahir ketenangan dan kekhusyukan. Lalu khusyuk yang ada di dalam itu menjalar kepada anggota badan. Terbayang pada paras muka dan nampak pada gerak geri solatnya. Hilang gangguan dalam fikiran dan tidak terganggu dengan persoalan dunia.”
Syeikh Tantawi al-Jauhari pula berkomentar mengenai khusyuk dengan katanya, “Khusyuk itu ertinya merendah diri dan tunduk, tidak berpaling kanan dan kiri, tidak menggerakkan tangan semasa solat. Hanya memusatkan kemahuan (himmahnya) yakni hati kepada Allah SWT. Dan merenungkan maksudnya, dari apa yang diucapkan iaitu bacaan, zikir serta doa.”
Kesimpulan
Khusyuk itu tempatnya di hati. Hati yang khusyuk akan terzahir dengan anggota. Solat adalah kayu pengukur yang paling sesuai untuk mengetahui sejauh mana kekhusyukan sekaligus keikhlasan kita kepada Allah.
Khusyuk dan ikhlas itu adalah sangat bertepatan dengan sifat ehsan yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW semasa berdialog dengan Jibril di dalam hadith Jibril sepertimana yang direkod oleh Bukhari dan Muslim. Apabila baginda ditanya oleh Jibril, “Apakah ehsan?”. Rasulullah menjawab, “Mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jikapun tidak mampu melihat-Nya maka yakinlah Allah sentiasa melihat kamu.”
Dan Allah SWT juga menegaskan bahawa antara cirri orang yang beriman ialah mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Firman Allah: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, (yakni) mereka yang khusyuk di dalam solat mereka.”(al-Mukminun: 1-2)
________________________________________________
Rujukan: Majalah Anis, keluaran Januari 2010, halaman 15.
Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju.
No comments:
Post a Comment