Fenomena yang sangat positif sedang melanda industri penerbitan buku negara apabila meningkatnya bilangan penerbitan buku-buku bercorak Islami terutama dalam lapangan sastera. Samada karya penulis tersebut benar-benar menunjukkan latar keislamannya dengan meletakkan watak ustaz atau pelajar lulusan universiti Timur Tengah sebagai pemain utama, atau mungkin juga dengan membawa latar tempat di sekitar Kaabah, Madinah, Universiti Al-Azhar dan sebagainya.
Fenomena ini juga mendorong penulis-penulis baharu mahupun yang sudah mapan untuk bereksperimentasi bagi menghasilkan karya-karya yang mempunyai biasan ciri-ciri Islami itu tadi. Mungkin pada sesetengah pengkarya, mereka berpendapat bahawa tidak lengkap jika sesebuah karya Islami itu tidak diperkemaskan dengan ayat-ayat al-Quran atau hadith-hadith Rasulullah SAW yang dianggap rencah rasa dalam menghasilkan karya Islami. Mereka lantas berusaha untuk menggunakan kata-kata dan kalimah-kalimah yang disandarkan kepada al-Quran, hadith dan petikan kata-kata para ulama dan cendikiawan Islam.
Pada kita, ini juga satu perkembangan yang sangat menarik kerana secara tidak langsung, penulisan karya sastera juga telah melibatkan penulisan yang bersifat rentas ilmu serta memasukkan elemen-elemen fundamental Islam tersebut dengan begitu rencam sekali. Ini bukan sahaja akan memesrakan pembaca dengan sumber-sumber utama dalam Islam itu malah ilmu-ilmu yang jarang diberi perhatian itu akan lebih memberi kesan kepada pembaca, proses ini malah mampu merapatkan lagi jurang ilmu-ilmu Islam tersebut dengan lapangan sastera tanah air. Ini adalah kerana kita sedar bahawasanya menjadi kebiasaan ilmu-ilmu seperti ‘Ulum al-Hadith’ dan ‘Usul al-Tafsir’ hanya akan dipelajari oleh pelajar Pengajian Islam aliran Usuluddin tidak lebih di universiti-universiti terpilih sahaja.
Pengenalan; Hadith Da’if
Guru saya, Profesor Madya Dr Fauzi bin Deraman selaku pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) di dalam bukunya yang bertajuk Siri warisan Nabawi; ‘Ulum al-Hadith, (2009, Kuala Lumpur: Warisan Nabawi Enterprise) telah memasukkan perihal Hadith da’if di dalam bab 5 di bawah fasal Hadith Mardud (tertolak).
Beliau telah memetik kata-kata al-Imam al-Nawawi dalam mentakrifkan hadith da’if dengan katanya: “Hadith yang tidak mengumpul padanya sifat hadith soheh dan juga sifat hadith hasan.” (Lihat al-Suyuti, Taqrib Ma’a al-Tadrib, hlm 179.)
Ibn Daqiq al-‘Id pula berpendapat bahawa hadith da’if ialah hadith yang kurang darjatnya berbanding hadith hasan. (Lihat Taqiuddin ibn al-Daqiq al-‘Id, Al-Itqtirah fi Bayan al-Istilah, (t.t), Baghdad: Maktab al-Irshad, hlm 177)
Berdasarkan penyataan di atas maka boleh dirumuskan bahawa sihat hadith itu menjadi da’if adalah kerana ianya tidak menepati syarat atau sifat-sifat hadith yang boleh diterima (hadith soheh atau hasan). (Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, Nukhbat al-Fiqar.)
Pembahagian; Tahap kelemahan hadith da’if
1.Hadith mawdu’ (palsu) merupakan hadith da’if yang paling buruk.
2.Hadith da’if yang sangat lemah.
3.Hadith da’if yang sederhana.
4.Hadith da’if yang mempunyai hadith da’if lain bagi menampungnya.
Sebab-sebab; Hadith menjadi da’if
Perlu dilihat pada dua faktor utama dalam merujuk kepada sebab sesebuah hadith itu menjadi da’if. Pertama dari sudut dirayah atau sanad (rantaian orang-orang yang meriwayatkan hadith tersebut) dan keduanya dari sudut riwayah atau matan (periwayatan teks-teks hadith tersebut).
Sesebuah matan atau teks hadith itu akan tertolak jika mempunyai paling kurang 10 kriteria berikut: Dusta, tuduhan berdusta, kesalahan yang teruk, cuai, ragu-ragu, terdapat percanggahan, fasiq, jahil, dan bid’ah (Lihat Tahir al-Jaza’iri, Tawjih al-Nazar, Madinah al-Munawwarah, hlm 242).
Hadith yang diriwayatkan juga akan terjerumus ke dalam pengelasan hadith da’if jika perawinya atau periwayatnya itu mempunyai kriteria seperti berikut: Hadith yang dibawanya terputus sanad (rantaian periwayatannya), keadilan dirinya dipertikai, terdapat kelemahan dari sudut ingatan dan hafalan serta terdapat syaz (kejanggalan) dan ‘illah (kecacatan) pada hadith yang diriwayatkannya.
Hukum periwayatan hadith da’if (termasuk dalam karya sastera)
Boleh dirumuskan bahawa hukum meriwayatkan hadith da’if itu mempunyai 2 bahagian:
1.Boleh diriwayatkan bagi mengambil pengajaran namun bersyarat.
2.Tidak boleh diriwayatkan walaupun sebagai pengajaran kerana tersangat lemah. Namun ada yang berpendapat bahawa tersangat lemah ini boleh dikuatkan di antara satu sama lain.
Maka di sini boleh dikatakan ulama terbahagi kepada pelbagai pendapat dalam periwayatan hadith-hadith da’if ini. Hanyalah boleh kita mengambil atau meriwayatkan hadith da’if yang bersifat dengan sanadnya tidak terputus seperti; fada’il al-a’mal, targhib wa tarhib, kisah-kisah sahabat atau selainnya.
Kebanyakan ulama juga berpendapat adalah harus bagi meriwayatkan hadith da’if bersifat fada’il al-a’mal dan seumpanya walaupun tanpa menjelaskan kedudukan sanad hadith tersebut. Namun perlu diingati bahawa meriwayatkan hadith da’if ini adalah berbeza dengan mengamalkannya. Malah sebenarnya hadith-hadith da’if ini amat popular digunakan di dalam karya-karya agung Islam dek kerana kurang cakna pengarangnya mengenai kesohehan hadith-hadith yang diriwayat mereka itu (lihat Abu Hasan al-Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Luknawi, al-Ajwibah al-Fadilah).
Bagi penerangan lanjut mengenai pendapat-pendapat para ulama yang muktabar lainnya sila rujuk buku karangan Profesor Madya Dr Fauzi bin Deraman, 2009, Siri warisan Nabawi; ‘Ulum al-Hadith’, Kuala Lumpur: Warisan Nabawi Enterprise, hlm 100-111. Saya mengesyorkan buku ini adalah kerana ianya begitu praktikal, menggunakan bahasa yang mudah dan senang dibaca, tidak terlampau sarat dengan istilah beserta huraian yang tidak terlalu meleret.
Berkenaan hadith-hadith da’if lagi mawdu’ (lemah, palsu lagi batil)
Walaupun ada hadith da’if yang boleh diriwayatkan namun kita seharusnya berhati-hati dengan hadith da’if yang bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil). Ini adalah kerana hadith-hadith tersebut adalah dilarang sama sekali diriwayatkan dengan sandaran pada Rasulullah apatah lagi mengamalkannya. Di bawah di antara contoh hadith da’if bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil) yang popular di kalangan pengarang dan penceramah dunia Melayu.
Contoh hadith mawdu’ yang popular:
1.“Tuntutlah ilmu walau ke negeri China.” Tidak ada satupun riwayat yang membuktikan bahawa kata-kata ini daripada Rasulullah SAW.
2.“Siapa yang mengenal dirinya maka dia telah mengenali Tuhannya.” Ibnu Taimiyyah, al-Nawawi, Abu al-Muzaffar al-Sam’ani, al-Sayuti dan al-‘Allamah al-Fairuz Abadi semuanya bersepakat hadith ini bukan dari Rasulullah SAW (dengan lafaz masing-masing).
3.“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.” Menurut al-Imam al-Zahabi di dalam Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal mengatakan bahawa hadith palsu ini telah direka oleh Ibn Jadam. Beliau merupakan seorang guru sufi di Mekah, meninggal pada tahun 414H. Beliau juga menerima tuduhan mereka hadith palsu mengenai solat Raghaib (solat pada Jumaat pertama bulan Rejab).
4.“Sesiapa yang berjabat tangan denganku atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga kiamat akan masuk syurga.” Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Lisan al-Mizan: “Riwayat berjabat tangan Mu’ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal.”
Saya hanya sertakan beberapa contoh yang diambil dari dalam buku bertajuk ‘Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-tokohnya’ karangan Dr Asri Zainul Abidin terbitan Alaf21 Sdn. Bhd (untuk penerangan lanjut sila rujuk hlm 43-54 buku tersebut).
Namun sebenarnya masih banyak lagi hadith-hadith yang direka dan disandarkan kepada Rasulullah SAW dengan sengaja mahupun tidak sengaja di dalam masyarakat kita samada melalui jalan penceramah mahupun penulisan (fiksi atau bukan fiksi).
Makanya menjadi tanggungjawab sebagai sasterawan dan penulis muda untuk memastikan pemurniaan hadith-hadith Rasulullah SAW dijaga dengan tingginya bagi menjauhkan diri dari kalangan ahli neraka sepertimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.
Resolusi kepada karyawan
1.Tidak salah menggunakan hadith da’if dalam beberapa hal seperti fada’il al-‘amal, tarhib wa targhib, kisah-kisah namun perlu dijelaskan kedudukannya samada da’if, maudu’ dan sebagainya dengan merujuk kepada kitab-kitab yang khusus.
2.Rujuklah kepada kitab-kitab soheh yang muktabar jika ingin menggunakan hadith-hadith Rasulullah SAW terutamanya soheh Bukhari dan Muslim (ada transilasinya di dalam Bahasa Melayu). Seterusnya boleh rujuk juga kepada sunan Ibnu Majah, al-Nasa’ie, Abu Daud dan Tirmizi.
3.Jika ingin juga menggunakan kata-kata yang dikhuatiri samada ianya hadith soheh ataupun bukan, maka naratifkan penggunaannya dengan tidak menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Katakan bahawa ianya kata-kata hikmah, kata-kata hukama dan sebagainya.
4.Tidak boleh menggunakan hadith mawdu’ (palsu lagi batil) dengan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW dalam apa jua keadaan.
Rumusan
Para penulis dan pengkarya sastera mahupun akedemik diingatkan supaya berhati-hati dalam menggunakan hadith-hadith yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku maka tempahlah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ada seorang penulis mapan bertanyakan pendapat saya tentang perkara ini, maka dengan tegas saya menjawab bahawa adalah tidak digalakkan menggunakan hadith-hadith da’if dalam karya sastera kerana dikhuatiri hadith tersebut sebenarnya adalah bertaraf mawdu’ (palsu lagi batil, haram meriwayat dan mengamalkannya) dan penulis yang melakarkannya pada lembaran karya mereka pula tidak menyatakan kedudukan makam hadith tersebut, maka adalah tidak mustahil mereka mungkin tergolong dalam golongan yang berdusta dengan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.
Sebenarnya sudah dikira mengcukupi jika para pengkarya merujuk kepada kitab soheh karangan Bukhari dan Muslim yang memiliki 100% hadith-hadith yang soheh dalam segenap bidang untuk nilai tambah karya mereka. Rujuklah kepada kitab-kitab yang muktabar dari kalangan ulama’-ulama’ yang alim lagi faqih, jangan jadikan imbalan ingatan kita sebagai 100% buah fikir untuk berkarya, begitu juga dengan mengambil kata-kata orang yang tidak diketahui asal pangkal diambil perkataan-perkataan itu kerana adalah mustahil otak kita yang dengkel ini mampu untuk mengingati semua hadith-hadith Rasulullah SAW dengan sempurna.
Semoga dengan kecermatan kita dalam menggunakan hadith-hadith mengundang berkat dan melambangkan kecintaan yang tulus terhadap baginda Rasulullah SAW seterusnya karya-karya kita juga bukan sahaja bermanfaat kepada diri kita bahkan seluruh umat yang membacanya dan dikira ibadat di sisi Allah SWT.
Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/
4 comments:
Alhamdulillah, terima kasih ustaz. Terang sudah kedudukannya pada saya dan semoga lebih ramai pengkarya membaca rencana ini.
Cuma saya ingin meminta pendapat ustaz berkenaan apa yang saya baca dalam sebuah novel (bukan Islami cuma ada terselit) ayat ini:
monolog "Hmm, ini berdasarkan hadis sahih atau palsu? Ah! Tak kisah baca ajelah"
Selepas rangkap ini, ditulislah apa yang dikatakan hadis itu sepanjang 2 mukasurat.
Masalahnya di sini, si penulis sendiri tidak pasti sama ada hadis itu palsu atau tidak, apatah lagi tahap kedudukannya. Tetapi dituliskan juga hadis tersebut sebagai bahan cerita.
Novel ini beredar di pasaran dan saya bimbang kaedah atau kebiasaan ini diikut apatah lagi jika hadis yang belum tentu kedudukan itu disebar dan diterima sebagai hukum pula.
Terima kasih di atas pendapat ustaz.
Alhamdulillah, saya akan cuba hulurkan kepada mana-mana akhbar bahagian sastera untuk diterbitkan kembali, insya-Allah.
Salam.
Mabruk!
Ustaz, Salam ukhuwah.
Terdapat juga perbahasan disini
http://jomfaham.blogspot.com/2010/01/hadith-dhaif.html
Ustaz, yg hadis no 4 tu ustaz pastikah?
Cuba baca disini.
Moga bermanfaat.
http://jomfaham.blogspot.com/2009/08/sheikh-nuruddin-al-banjari-menjawab.html
Kalau video dlm link tu corrupted, ustaz tekan kt video tu n g ke youtube.
Teruskan perjuangan Islam ya akhi!
Wassalam akhi Affan Ruslan,
Pada pendapat ana lebih baik jika kita dapat masuk syurga atas daya usaha sendiri dan rahmat dari Allah daripada mengharapkan sesuatu yang istemewa seperti itu.
Post a Comment