30 December 2009

Salah Persepsi Umat Terhadap Rasulullah

Ramai yang mengaku dengan mulut bahawa mereka adalah pengikut Nabi Muhammad SAW, dalam masa yang sama tanpa mereka sedari banyak sekali perlakuan mereka yang menyanggahi sunnah Rasulullah. Bahkan ada yang menganggap dengan berlebih-lebih menyanjung Rasulullah adalah amalan yang baik dan mendatangkan pahala. Makanya terciptalah amalan-amalan yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah khususnya dalam hal ibadah ritual.

Banyak sebab yang menjadi punca kepada perkara ini. Antara sebabnya ialah kegagalan kita sebagai umat Nabi Muhammad dalam memahami tanggungjawab sebenar sebagai pengikutnya. Hal ini telah dijelaskan di dalam buku yang bertajuk ‘Selangkah Kearah Memahami al-Sunnah’ karangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan mufti negeri Perlis.

Dalam bab 1 yang bertajuk ‘Memahami Iman dan Tanggungjawab Terhadap al-Rasul’, penulis telah mendatangkan hujah-hujah di mana menunjukkan betapa pentingnya kita dalam memahami sunnah Baginda untuk menterjemahkan diri kita sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW yang sejati.

Pertamanya beliau mendatangkan maksud kepada syahadah terhadap Baginda dengan memetik kata al-Syeikh Hafiz al-Hakimi (w.1377) ketikamana al-Syeikh berucap dalam menjawab persoalan mengenai syahadah terhadap Nabi Muhammad SAW.

Katanya, “Maksudnya mempercayai secara secara tulus Muhammad adalah Rasul-Nya kepada sekalian manusia dan juga jin. Baginda juga sebagai saksi kepada umatnya, pembawa berita gembira kepada yang beriman serta pemberi amaran kepada mereka yang ingkar. Dan Baginda juga adalah penyeru kepada Allah dengan taufik daripada-Nya; dan juga sebagai lampu yang menerangi.” Syeikh Hafiz al-Hakimi telah menyandarkan hujah tersebut kepada ayat 45 dan 46 surah al-Ahzab.

Kemudian dalam memahamkan asas keimanan kepada Rasulullah SAW, penulis telah mendatangkan perbandingan ringkas dengan mengatakan bahawa umat Islam layak mencintai dan beriman kepada Baginda mengikut kadar yang ditetapkan oleh Allah.

Ini adalah kerana banyak kaum terdahulu telah bersifat ghuluw dalam menyanjungi nabi mereka sehingga mengiktiraf nabi mereka sebagai anak Tuhan atau setaraf dengan Tuhan. Kita tengok apa yang telah dilakukan oleh penganut agama Kristian yang mendakwa bahawa Nabi Isa al-Masih itu adalah Tuhan manakala penganut agamaYahudi pula mengangkat Uzair sebagai anak Tuhan.

Ini berlaku kerana ketidakfahaman mereka terhadap hakikat kenabian itu sendiri, maka dalam hal ini kita sebagai umat Islam tidak sewajarnya mengangkat dan mencintai Nabi Muhammad lebih dari seorang hamba,Nabi dan Rasul kepada Allah. Baginda adalah makhluk yang tidak terlepas dari sifat fitrah seorang manusia. Hal ini telah dibincangkan secara detil di dalam buku bertajuk Washatiyyah Ahl al-Sunnah bain al-Firaq karangan Dr Muhammad Ba Karim bin Ba Muhammad.

Adalah wajib kita sebagai hamba Allah dan umat kepada Rasulullah beriktikad di dalam hati dan menterjemahkan dengan perbuatan bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.

Di dalam surah al-Furqan ayat 1, Allah ta’ala telah berfirman yang bermaksud: “Maha berkat Tuhan yang menurunkan al-Furqan kepada hamba-Nya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi penduduk alam.”Allah ta’ala menyebut dengan jelas bahawa ayat ini diturunkan kepada ‘hamba-Nya’ yang dirujuk kepada Baginda Rasulullah SAW.

Dalam ayat ke 110 surah al-Kahfi contohnya, Allah sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa Rasulullah tidak lebih daripada seorang hamba kepada-Nya.“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanya seorang manusia seperti kamu, dan diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu, oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap dapat bertemu dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

Selain daripada ayat-ayat suci al-Quran yang secara jelas memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruh kepada Allah, terdapat juga deretan hadith soheh yang diriwayatkan oleh para sahabat menceritakan bahawa Baginda sendiri juga mengaku bahawa dirinya tidak lebih dari seorang hamba dan utusan kepada Allah.

Contohnya hadith yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ubadah r.a, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meyaksikan tiada Ilah melainkan hanya Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya, sesungguhnya Isa hamha Allah, Rasulnya, kalimah-Nya yang dicampak kepada Maryam dan roh daripada-Nya, menyaksikan syurga itu benar dan neraka itu benar, maka Allah akan masukkannya ke dalam syurga atas apa sekalipun amalannya.”

Hadith muttafaqqun alaikh ini begitu sekali menerangkan bahawa Rasulullah mengakui bahawa dirinya hanya hamba dan Rasul kepada Allah tanpa menyifatkan dirinya dengan sifat yang melebihi norma fitrah manusiawi.

Walaupun banyak peristiwa yang berlaku menggambarkan sekitar keajaiban pada diri Rasulullah. Namun ternyata itu semua terjadi atas keizinan Allah ta’ala sendiri. Sebagai contoh jika kita telusuri peristiwa Israk dan Mikraj, maka kita akan mendapati bahawa Rasulullah hanya diperintah oleh Allah untuk mengikut arahan-Nya sebagaimana diriwayatkan dalam soheh Bukhari dan Muslim dalam bab Rasulullah menceritakan tentang bagaimana Baginda diisrak dan dimikrajkan ke langit ke tujuh dalam hanya satu malam.

Allah ta’ala juga berfirman di dalam surah al-Isra ayat 1 yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”

Mustahil, memang ianya adalah perkara mustahil untuk kita manusia biasa. Maka kerana itulah ianya dipanggil sebagai mukjizat dan hanya khusus untuk para nabi, ianya kelebihan dan pemberian Allah yang hanya berhak keatas para nabi dan Rasul-Nya. Perihal mukjizat tidak mampu disukat dan dikira dengan otak dengkel kita selaku hamba dan manusia biasa. Mukjizat yang dikurniakan Allah akan berlaku hanya dengan kehendak-Nya, kerana ia adalah termaktub di dalam lapangan kuasa Allah yang tiada batasan.

Hal ini juga amat bertentangan penganut Syiah yang terlampau dalam mengagungkan ahlul-bait terutamanya Ali karrama-Allahuwajhah lebih dari yang sepatutnya. Ada diantara aliran dalam Syiah yang mendakwa bahawa Ali adalah tuhan. Ada juga yang mendakwa bahawa wahyu yang diturunkan sepatutnya kepada Ali namun kerana tersilap maka Jibril telah menurunkan wahyu (al-Quran) kepada Nabi Muhammad SAW. Antara lain ialah mendakwa al-Quran yang digunakapakai sekarang bukan wahyu yang asal, kerana ada surah yang tertinggal. Sebahagian pula tidak mengiktiraf malah mengkafirkan para sahabat muktabar seperti Abu Bakar, Umar serta Uthman kerana didakwa merampas hak pemerintahan (khalifah) daripada ahlul-bait yakni Ali (, 2006, Apa Itu Syiah, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher)

Namun kita mesti faham bahawa bukan semua fahaman di dalam Syiah adalah ekstrim dan melampau batas akidah Islam, ada di kalangan mereka yang bersikap moderat atau bersederhana dalam fahaman tersebut. Dan bukanlah kerja atau tanggungjawab kita untuk mengkafirkan penganut Syiah kerana mereka pada hakikatnya masih bertauhid kepada Allah walaupun cabang akidah mereka yang lain banyak terpesong.

Akhirnya kita seharusnya menyintai Rasulullah SAW sebagai seorang nabi, rasul dan menjadikan baginda sebagai qudwah hasanah. Bukan dengan memuja beginda dengan melampau dan memuja baginda seakan baginda adalah tuhan.


Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi http://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda Persatuan Ulama Malaysia http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://www.iluvislam.com/

No comments: