25 December 2009

Bacaan puisi gerakan Islam

Dakwah itu perlu seiring dengan hikmah, bukan hanya kekuatan fizikal dan mental sahaja yang harus digembeling di dalam arena dakwah. Masing-masing punya kapasiti yang tersendiri dalam menterjemahkan sumbangan diri kepada dakwah Islam.

Baru-baru ini, pihak Berita Harian telah menghidupkan kembali nafas bacaan puisi yang dinamakan Malam Puisi Riong, umum kepada penyair-penyair tanah air sebagai wadah perjuangan bahasa. Majlis yang sudah dimulakan dari tahun 1997 hingga 2003 agak lama terhenti atas sebab-sebab yang tertentu.

Bukanlah tujuan penulisan ini mahu mengulas atau membicarakan secara mendalam tentang aktiviti bacaan puisi tersebut, Cuma yang mahu diwacanakan disini ialah realiti aktiviti sastera dalam gerakan Islam.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sastera yang terdiri daripada aktiviti-aktiviti melontarkan bait-bait puisi, syair, sajak dan pantun selain penulisan cerpen dan novel mampu memberi sumbangan yang besar kepada gerakan Islam.

Kita ambil contoh di zaman jahiliah Mekah yang amat terkenal di dalam peradaban dunia dengan nilai kesusasteraan mereka. Walaupun mereka dipanggil jahiliah, namun penguasaan dan permainan laras bahasa Arab diiktiraf sebagai bahasa yang indah dari sudut sastera.

Demikianlah antara sebabnya mengapa al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab menurut perbincangan para ulama. Apabila al-Quran diturunkan ayat demi ayat dan disampaikan kepada mereka oleh Nabi Muhammad SAW, mereka bahkan menuduh Baginda adalah ahli sihir kerana terkejut mendengar keindahan dan kesempurnaan bait-bait al-Quran yang dibaca oleh nabi Muhammad.

Penyair-penyair agung Quraish juga tidak mampu untuk mencipta perkataan-perkataan yang sehebat al-Quran. Ini menjelaskan bahawa al-Quran itu bukan daripada Nabi Muhammad SAW yang diketahui umum sebagai ummi, namun ianya adalah kalam-kalam Allah yang memiliki nilai estetika bahasa dan lughah yang terindah.

Contoh yang paling hebat dalam rekod sirah ialah kisah keislaman Saidina Umar al-Khattab yang lembut hatinya setelah mendengar bacaan bait-bait al-Quran dari surah To Ha oleh adiknya sendiri. Nah, itu sudah menjelaskan betapa besar peranan bahasa dalam berdakwah dan bersosial.

Sebenarnya kita masih ternanti-nanti kelainan dan kreativiti pihak gerakan Islam dalam memperjuangkan agenda-agenda bahasa, sastera dan budaya. Yang mana kita semua patut sedar bahawa elemen-elemen inilah yang menjadi tulang belakang perjuangan zaman berzaman di negara ini selain perjuangan agama itu sendiri.

Maka, sudah sampai waktunya barangkali pihak gerakan Islam perlu menganjurkan juga majlis-majlis bacaan puisi berunsur Islam bahkan majlis itu kalau boleh diadakan secara terbuka dan bukan dieksklusifkan sebagai majlis untuk pihak tertentu sahaja.

Apakah mustahil acara bacaan puisi, sajak ataupun teater dilakukan di tempat-tempat yang terbuka dan tumpuan orang ramai contohnya di dataran Sogo, Pasar Seni, pasaraya-pasaraya mega seluruh Lembah Kelang? Dengan harapan orang ramai terutamanya remaja yang sememangnya mencintai perhatian dan perbezaan melihat sastera sebagai satu wadah yang sepatutnya mereka ceburi.

Apakah tidak ada hati yang tersentuh dan tertarik dengan bait-bait puisi dan sajak keinsafan yang dilaungkan dengan penuh keikhlasan daripada penyair-penyair kepada mereka?

Bayangkan di akhir acara bacaan oleh sasterawan dan agamawan ini, para marhain awam pula diberi peluang untuk mendeklamasikan sajak-sajak mereka. Mungkin ini suatu imaginasi, namun ianya bukan fantasi dan reality pasti akan terjadi.

Kita biasa melihat penyanyi jalanan yang boleh dijumpai di Pasar seni beraksi kala kekalutan umat kota keluar ke bandar di hari minggu. Betapa mereka menjadi perhatian kerana sikap mereka yang sudi memberi tanpa diminta, walaupun mereka bukan artis rakaman yang terkenal sekalipun.

Mungkin pihak kita patut belajar daripada mereka, dengan lebih banyak bekerja (menyanyi) daripada bercakap. Gerakan dakwah juga harus lebih banyak beraksi daripada bercakap, sudah banyak seminar, diskusi, forum dan pelbagai lagi namun kesannya malah sasarannya sentiasa tidak tepat dan bajet kursus seolah dibazirkan dengan begitu sahaja. Bukan bermaksud itu semua tidak perlu, teruskan sahaja namun kita perlukan sedikit sentuhan kreatif, agar dakwah itu lebih efisyen dan sesuai kepada masyarakat umum semasa.

Tujuan akhirnya bukan sahaja untuk membuahkan rasa minat para pendengar yang terdiri daripada semua peringkat umur ini kepada sastera, puisi dan sajak. Namun dengan penerapan nilai-nilai dakwah Islamiah yang sememangnya menjadi tunjang program tersebut dapatlah kita menyampaikan tentang keindahan, kesedaran, keagungan dan keesaan Islam itu sendiri.

Sesungguhnya sepenting mana sekalipun bahasa, sastera dan budaya ianya tetap adalah alat untuk kembali kepada Allah. Kepada para sasterawan tanah air yang baharu mahupun yang sudah lama, para ulama haraki Islami dan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak kerajaan sendiri. Sudah sampai masa untuk kita berkreativiti di dalam berdakwah, kita yakin dengan adanya program-program seperti ini, peluang berdakwah akan lebih terbuka luas dan diterima ramai.

Bayangkan jika sebuah majlis yang dihadiri oleh tokoh-tokoh pemimpin, masyarakat, ahli politik, ahli akedemik dan mahasiswa bukan untuk berceramah atau mendengar ceramah, tetapi semata-mata untuk menyampai beberapa bait puisi.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi http://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://iluvislam.com/

No comments: