23 December 2009

Di mana suara pemimpin Islam?

Kami dari Pemuda Persatuan Ulama Malaysia menyokong kenyataan Presiden Persatuan Ulama Muslim Sedunia, Prof Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi berkenaan dengan isu penolakan pembinaan menara masjid oleh parlimen Switzerland.

Menurut beliau, referendum yang diusulkan oleh kumpulan ekstremis kanan dari Parti Rakyat Switzerland (SVP) adalah keterlaluan dan bersifat fobia kepada agama Islam. Oleh kerana parti tersebut merupakan parti yang terbesar di dalam parlimen Switzerland, ianya sekaligus menghasilkan kelulusan terhadap usul tersebut pada 29 November 2009 yang lalu.

Prof Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi juga menyeru umat Islam Switzerland bangun menentang referendum itu dengan saluran-saluran yang betul. Ini kerana menurut beliau, adalah dibimbangi referendum yang diluluskan untuk melarang pembinaan menara masjid akhirnya melarat kepada referendum menghalang pembinaan masjid itu sendiri.

Beliau juga menyeru umat Islam seluruh dunia berdemontrasi di kedutaan Switzerland di negara masing-masing bagi menyatakan dan menzahirkan bantahan seluruh umat Islam dalam hal ini.

Kami dari Pemuda PUM juga mengharapkan suara-suara pembelaan yang lantang daripada pemimpin Islam negara tidak kira dari Umno, PAS atau PKR. Tidak ketinggalan semua organisasi bukan kerajaan (NGO) juga digesa bersama menyahut seruan Presiden Persatuan Ulama Muslim Sedunia untuk mengambil bahagian menyatakan bantahan ini juga.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi http://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://iluvislam.com/
No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur
___________________________________________________

Tulisan ini sudah diterbitkan oleh akhbar Harakah edisi Isnin, 21 Disember 2009, mukasurat F11

No comments: