03 December 2009

Impian

Saya dan sahabat saya, Ustaz Nor Hisham serius dalam membincangkan tentang projek masa depan kami. Kami mahu serius dalam perniagaan, kami bercadang membuka sebuah kedai buku di Serdang berdekatan UPM.

Ustaz Hisham merupakan Imam Besar Masjid Putra UPM Serdang, Sebelum ini pernah dia mencuba untuk menjual buku-buku dan makanan dan minuman ringan di masjid tersebut dan katanya jualan amat memberangsangkan kerana masjid itu sememangnya sangat strategik. Jualan yang paling tinggi ialah pada hari Jumaat iaitu sebelum dan selepas sembahyang Jumaat.

Oleh itu saya mendatangkan satu cadangan kepadanya untuk kami berkongsi dan membuka satu kedai buku-buku yang bertemakan agama persis Sarjana Media dan lain-lain. Alhamdulillah hubungan baik saya dengan beberapa syarikat penerbit juga merupakan kredit kepada kami dalam merealisasikan impian ini.

Konsep

Satu kelainan yang saya ingin tonjolkan di kedai ini ialah konsepnya, selain dari menjual buku-buku agama, motivasi dan lain-lain. Saya juga mensasarkan kedai kami membekalkan novel-novel Islami kepada para pembaca di sekitar Serdang malah mungkin akan menggunakan kaedah menyewakan novel-novel tersebut.

Kami menjangkakan lebih dari 70% buku-buku yang bakal dijual adalah produk daripada PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. Selain itu, buku-buku keluaran Telaga Biru, Pustaka Al-Hidayah, Galeri Ilmu dan selainnya juga akan kami sediakan.

Kami akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin koleksi novel-vovel pop Islami dari dalam dan luar negara malah novel-novel sastera berat yang bertemakan perjuangan, budaya, agama dan kehidupan dari pelbagai penerbit.

Ianya sangat bersesuaian dengan komposisi penduduk Serdang yang jauh daripada sumber buku-buku ini. Sepanjang pemerhatian saya dan Ustaz Hisham, penduduk di sekitar Serdang terpaksa ke Bangi untuk mendapatkan buku-buku agama seperti ini.

Kami juga akan menyediakan konsep ‘order list’ iaitu pembeli boleh memesan berdasarkan katalog yang disediakan jika buku yang diingini tiada dalam stok kami.

Strategik

Banyak criteria yang menunjukkan bahawa Serdang ialah kawasan yang strategik untuk memulakan perniagaan buku-buku agama, motivasi termasuk karya-karya kreatif dan novel-novel Islami.

Pasaran yang terbuka luas daripada Serdang hingga ke Seri Kembangan, populasi penduduk Melayu Islam kelas menengah dan ke atas, di samping ribuan pelajar UPM sendiri merupakan sasaran pasaran yang nyata dan terang.

Dengan sedikit promosi secara verbal (ketika berkuliah, bersembang, mulut ke mulut, jamaah masjid dan surau) dan non-verbal (cetakan penyataan promosi dalam UPM, penduduk setempat, bunting, banner dan lain-lain), penggunaan teknologi maklumat dengan maksimum, membina hubungan sosial yang baik dengan para pelajar, pensyarah, penduduk amnya. Insya-Allah sewa bulanan yang dijangka bernilai RM1000 tidak termasuk gaji pekerja dan kos seleggara bulanan, ditambah pula modal permulaan projek ini. Akan mendapat pulangan kurang daripada 1 tahun.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: