Bacaan
Saya baru habis membaca buku bertajuk ‘Lasykar Pelangi’ yang diambil dan dialih bahasa oleh PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. Saya mengambil masa lebih sebulan untuk menghabiskannya dan akhirnya saya terpaksa akui yang ianya amat berkesan kepada saya sebagai seorang penulis baru yang masih belajar.
Buku sulung Andrea Hirata menampilkan tema berkisahkan kehidupan sebenar dirinya yang dinamakan Ikal. Kisah yang penuh dengan aksi-aksi kelucuan dan dramatis serta penulisan naratif yang berkesan begitu membuai diri ini. Saya terkadang berasa terharu kemudian dalam detik yang singkat terus mampu sahaja untuk gelak gelihati dengan peristiwa yang diceritakan.
Filem adaptasi novel ini juga telah ditabalkan sebagai filem terbaik Asia sekaligus membenarkan kebagusan cerita di dalamnya. Unsur keagamaan yang kuat, kasih sayang, setia kawan, pengorbanan yang akhirnya membungkam menjadi realiti nasib mereka di hari muka begitu rapat dengan realiti hidup sesiapa sahaja.
Saya masih menantikan karya dari sasterawan muda negara yang mampu untuk menyaingi ‘Lasykar Pelangi’. Mungkin boleh dikatakan novel ‘VT’ tulisan Hilal Asyraf adalah saingan yang rapat, insya-Allah sedikit hari lagi saya akan membaca VT pula. Sekarang fokus saya untuk minggu ini adalah bacaan ilmiah yang masih banyak tersusun di tingkat tertinggi rak buku rumah saya.
Usrah Masjid
Alhamdulillah, malam selasa lepas seperti yang dirancang telah berkumpul seramai 6 orang pemuda jemaah tegar masjid Usamah bin Zaid untuk membincangkan aktiviti usrah kami yang dicetuskan oleh saya sendiri.
Kehadiran mereka secara konsisten ke masjid mengagumkan saya dan bila ada peluang untuk berborak mereka saya ada bertanya apa aktiviti malam mereka selepas waktu Isyak, ternyata mereka tidak punya aktiviti apapun melainkan duduk di rumah dan menonton televisyen.
Justeru saya hadirkan idea untuk menubuhkan kumpulan usrah muda masjid dengan menfokuskan perbincangan dan tazkirah tazkiatun nafs. Kehadiran mereka yang terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza memberi satu variasi yang amat menarik di dalam usrah kami kelak insya-Allah.
Saya juga sudah mendapatkan bantuan dan nasihat daripada Ustaz Khuzairi bin Yusuf, salah seorang Imam rawatib masjid Usamah bin Zaid merangkap Penasihat kepada kumpulan usrah kami. Saya banyak berbincang dan bertukar pandangan dengan beliau berkenaan dengan silibus usrah masjid itu dan beliau dengan rela hati sudi menyumbang dengan gratis sahaja.
Kata sepakat secara mutlak telah memilih hari Jumaat malam Sabtu, lepas Isyak sebagai waktu untuk kami menjalankan sunnah Rasulullah SAW yang kian terpinggir itu. Namun untuk aktiviti usrah kami hanya peruntukkan hanya 2 kali sebulan pada minggu pertama dan kedua manakala untuk minggu kedua dan keempat kami bersetuju untuk menjemput sahabat saya saudara Yussamir Yusuf untuk mengepalai bengkel perbandingan agama, fokus kepada jawapan-jawapan kepada soalan lazim daripada orang bukan Islam. Sementelah saya juga dalam proses untuk membukukan tulisan dalam tajuk yang sama bersama saudara Yussamir.
Senarai ahli usrah pemuda Masjid Usamah bin Zaid (MUBZA)
1. Ustaz Khuzairi bin Yusuf (Penasihat)
2. Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi (Naqib)
3. Muhammad Farid bin Mohamed Razali
4. Mohammad Azhim bin Ibrahim
5. Abdul Rahin bin Stephen@Mohd Sabri
6. Muhammad Faiz bin Mohamed Razali
7. Mohd Azwan bin Anwar
8. Insya-Allah lebih ramai akan bersama kami.
Masa
Setiap malam hari Jumaat minggu 1 dan 3 : Usrah
Setiap malam hari Jumaat minggu 2 dan 4 : Bengkel perbandingan agama
Jam 9.00 malam hingga 11.00 malam
Agenda
Usrah akan dipengerusikan oleh setiap anggota secara giliran, dan mereka dikehendaki member tazkirah dalam 5 hingga 10 minit.
Bacaan al-Quran dan terjemahan secara giliran dan dimulakan dengan juz ‘Amma kemudian bincangkan berdasarkan syarahan tafsir Ibnu Kathir.
Bacaan dan perbincangan tentang sirah Rasulullah SAW.
Perbincangan tentang buku terkini yang dibaca. Ulasan dan bedah buku.
Perbincangan dan persoalan umum berbangkit.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju
No comments:
Post a Comment