11 December 2009

Institusi masjid mesti dihormati

Tulisan ini diterbitkan oleh Harakah, Bil: 1495, 24-27 Zulhijah, 11-14 Disember 2009. Mukasurat F11.

__________________________________________________

Agama Islam adalah agama rasmi negara kita, ini sudah termaktub di dalam perlembagaan negara yang dipersetujui dan diamalkan sejak dari negara kita merdeka lagi.

Oleh yang demikian, tanpa menyisih atau menghalang kaum-kaum dan penganut agama lain mengamalkan budaya dan agama mereka, negara kita menjadi negara yang unik di mata dunia atas dasar nilai toleransi ini.

Toleransi kaum dan agama agak baik di Malaysia berbanding di negara-negara lain di sekitar kita malah di benua-benua teori seperti eropah sekalipun.

Namun amat mendukacitakan kita, apabila ada warga kota khususnya di Kuala Lumpur yang seakan tidak faham dan tidak mahu faham hakikat ini. Ianya dapat dilihat apabila segelintir daripada mereka didapati tidak senang dengan laungan azan yang menjadi syiar kepada Islam itu sendiri.

Mereka ini dengan angkuhnya memarahi dan memberi amaran melalui surat layang dan manila kad bermesej kepada pihak pegurusan masjid agar tidak lagi melaungkan azan, berdoa dan berwirid serta berkuliah dengan menggunakan pembesar suara luar masjid. Malah ada yang lebih berani menyatakan akan membuat laporan polis atau menyaman pihak masjid.

Dari satu sudut, kita bersetuju jika dikatakan pemasangan kaset mengaji yang biasanya dipasang oleh petugas 10 minit sebelum masuk waktu sedikit mengganggu terutamanya pada waktu Subuh, namun jika azan yang menjadi syiar panggilan agung Islam yang juga telah memikat hati ribuan orang bukan Islam masuk Islam juga dipertikaikan, itu adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Dalam hal ini pihak masjid juga perlu mengira maslahah para zimmi ini. Pada perkara yang boleh kita toleransikan, maka tiada salahnya sedikit pengenduran dibuat di situ. Bukanlah ianya beerti kita menidakkan agama Islam. Namun toleransi atas nama Islam itu jugalah akhirnya menjadi hikmah kepada dakwah terhadap masyarakat bukan Islam ini.

Kepada semua warga Malaysia tidak kira anda Melayu, Cina atau India dan lain-lain seharusnya kita semua saling memahami antara sesama dan bukannya memusuhi. Hormatilah orang lain agar diri kita dihormati, jangan tunggu orang mulakan melainkan diri kita yang perlu mulakan dulu.

Dan jangan terkejut jika dikatakan, golongan sinis yang menjuarai isu laungan azan ini juga sebenarnya adalah mereka yang berbangsa Melayu. Tepuk dada tanyalah iman.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi (013-9698869)
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur.

No comments: