12 March 2009

Sekitar Khutbah : Usamah bin Zaid 6 Mac 2009





Baca Khutbah VS Berkhutbah


Khutbah

Hari Jumaat merupakan penghulu sekalian hari dan umat Islam terutamanya muslimin disyariatkan dengan kewajipan untuk menunaikan semabahyang Jumaat melainkan uzur syarie. Sembahyang Jumaat dilakukan menggantikan sembahyang Zohor pada hari biasa tetapi ianya berlainan dengan sembahyang fardhu biasa.

Solat Jumaat wajib dilakukan secara berjemaah dan mesti mempunyai paling kurang 40 orang jemaah termasuk imam dan khatib, jika tidak mencukupi maka semabahyang Jumaat tidak dapat dilaksanakan.

Ianya dimulakan dengan laungan azan pertama dari Muazzin setelah masuk waktu, kemudian diikuti dengan khatib memberi salam dan kemudiannya azan kedua dilaungkan. Khutbah dibaca selepas itu. Di Malaysia kepingcangan untuk berkhutbah tidak ada kerana teks khutbah sudah disediakan oleh pihak berwajib.

Pihak jabatan Islam negeri masing-masing akan menyediakan teks untuk dibaca oleh Khatib di masjid masing-masing. Maka istilah berkhutbah sudah lenyap melainkan yang paling tepat istilah yang patut digunakan ialah baca khutbah.

Pertama Kali

Di sekitar WPKL, JAWI telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan teks khutbah masjid-masjid yang bernaung di bawahnya. Khutbah untuk sebulan telah disediakan dan hanya menunggu untuk dibaca sahaja.

Hari Jumaat lalu, 6 haribulan Mac 2009. Saya telah diamanahkan untuk membaca khutbah buat pertama kalinya di masjid Usamah bin Zaid. Ustaz Murshidi telah menyerahkan teks khutbah bulanan dan tajuk yang akan saya baca nanti adalah “QUDWAH HASANAH” bersesuaian dengan ketibaan Maulidurrasul beberapa hari kemudian.

Gugup, gementar, loya, nak pitam semua ada. Tapi saya gagahkan diri dan cuba selesaikan khutbah tersebut. Alhamdulillah, Ustaz Murshidi dan jemaah berpuas hati dengan penyampaian saya.

Walaupun banyak juga kesalahan mengeja dan kadang-kadang tersasul tetapi dapat diatasi alhamdulillah. Mungkin kerana tidak terlalu biasa dengan teks penulisan jawi yang telah lama terhapus dek kerana kuasa golongan yang kononnya berjuang demi bangsa, namun hakikatnya bahasa bangsa mereka sudah gadaikan. Kini terkial-kial ingin menebus balik dengan harga yang mungkin tak tertebus sudah.

Semoga permulaan ini memperkemaskan lagi diri saya sebagai da’ie dan membiasakan saya dengan penyampaian umum, ceramah, pidato dan sebagainya. Yang paling penting mesej yang mahu disampaikan kelak mampu disampaikan dengan baik insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

11 March 2009

2 Ceramah Hebat Dalam Seminggu



Ceramah Pertama : Abu Saif

Memang menjadi kewajipan saya apabila melayari internet terus akan saya buka portal Ustaz kesayangan ramai Ustaz Hasrizal @ Abu Saif di www.SaifulIslam.com. Walaupun Ustaz Hasrizal berkuliah tetap di surau An-Naim yang juga berdekatan dengan masjid Usamah bin Zaid, namun saya tidak dapat menghadiri kuliah beliau kerana sebab-sebab tertentu. Antaranya kerana bertindan dengan jadual bertugas saya di masjid dan ada kalanya saya sendiri kena berkuliah di UPM Serdang.

Alhamdulillah pertama kali mendengar hujahan ceramah Ustaz Hasrizal ialah di Masjid UIA PJ kerana beliau dijemput untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Sultan Muhammad Al-Fateh.” program tersebut danjurkan oleh GAMIS bulan lepas.

Minggu lepas pula kebetulan ketika menyemak jadual Ustaz Hasrizal, saya mendapati hari Khamis malam Jumaat 5 mac lepas beliau akan berceramah bersempena sambutan Maulidur-Rasul di masjid kem askar Wardiburn yang dekat sahaja dengan masjid Usamah bin Zaid.

Saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti ceramah tersebut. Kebanyakan pendengar adalah pelatih tentera yang diwajibkan untuk mengikuti ceramah tersebut. Yang penting banyak catatan yang saya ambil dari ceramah tersebut yang insya-Allah kemudian ini akan diolah malah akan disampaikan pula kelak kepada mereka yang bakal mendengar.

Kesimpulannya ialah Rasulullah adalah “Qudwah Hasanah” yakni contoh terbaik dari segenap aspek yang memastikan kecemerlangan kita sebagai ummat yang cemerlang dunia dan akhirat.



Ceramah Kedua : Presiden GAMIS

Ustaz Mursyidi meminta saya mencari penceramah bagi mengisi kekosongan waktu antara Magrib dan Isyak serta kuliah Subuh setiap minggu. Saya kata kalau ustaz-ustaz muda ada, takut tidak sesuai dengan suasana jemaah di masjid Usamah bin Zaid.



Saya jemput sahabat saya Ustaz Hisyam selaku Imam Besar Masjid UPM Serdang untuk pengisian tetapi beliau tidak sanggup kerana sedikit kemaslahatan, insya-Allah katanya kelak akan dia beritahu bila dah bersedia. Mungkin faktor jarak juga mengundang serba salah pada beliau.

Saya cadangkan pula sahabat saya Ustaz Dzulkhairi @ Presiden Gamis sementelah dia pun belum bekerja tetap melainkan sibuk dengan aktiviti jemaah. Tapi takut juga kalau dia tidak boleh begi komitmen kelak, Ustaz Mursyidi meminta saya menghubungi akh Dzul untuk mendapatkan kepastian.

Setelah saya mendapat kepastian daripada akh Dzul namanya terus dimasukkan ke dalam senarai para penceramah. Akh Dzul memang tidak asing lagi di kalangan jemaah kampus samaada dari jemaah GAMIS atau jemaah lain, kelantanganya dalan ceramah malah kebiasaan berceramah bersama nama-nama besar dari kalangan pimpinan PAS atau Universiti sedikit sebanyak mengundang kagum saya pada beliau. Pasti ada sedikit kelainan pada sahabat senegeri saya ini.

Dinihari Ahad lepas tepat pukul 5 pagi saya tersedar dan terus mencapai telefon untuk menghubungi akh Dzul, alhamdulillah suaranya segar sambil menjawab salam saya. Katanya sedang bersenam setelah bangun sedikit masa tadi, memang dia amalkan apa yang dituliskan di laman blog peribadi beliau.

Sedikit ralat bila dia bertanyakan di mana masjid Usamah bin Zaid. Rupanya dia belum pernah sampai di masjid ini. Saya melaungkan azan, akh Dzul belum tiba. Ustaz Mursyidi berpesan pada saya, jika akh Dzul tidak muncul maka sayalah yang akan berkuliah nanti, aduh. Saya cuba menghubungi akh Dzul, namun gagal. Tidak diangkat, barangkali diatas motor. Akhirnya satu sms sampai mengatakan dia berada depan sekolah kebangsaan seksyen 4, yang hanya beberapa ratus meter dari masjid Usamah bin Zaid.

Ustaz Mursyidi mengisyaratkan agar solat dimulakan, namun pandangan mata saya menyatakan tiada lagi kelibat sahabat saya itu, sesat ke pulak, aduh.

Selesai solat Subuh yang dimamkan kakanda saya, Ustaz Mursyidi. Saya segera menoleh ke kiri dan kanan dan…alhamdulillah, dua kelibat sahabat saya sedang masbuk. Akh Dzul dan akh Yus, lupa saya yang akh Yus pernah sampai di masjid Usamah bin Zaid ini. Selesai berwirid ringkas dan mereka pun selesai solat terus sahaja Ustaz Mursyidi menjemput akh Dzul, dibawah label Penasihat Faqih Synergy Konsultansi.

Alhamdulillah saya memilih orang yang tepat, penyampaian akh Dzul sangat bertenaga dan padat. Tersusun rapi penyampaianya dengan selingan kisah-kisah sahabat, wali-wali Allah malah propaganda barat yang dibincangkan di dalam parlimen Britain juga diceritakan, kadang-kadang cerita beliau mengundang gelak kami kerana terusik dengan gelagat atau ceritanya yang mencuit hati. Nyatalah ilmu dan pengetahuannya memang melayakkan beliau menjadi murabbi dalam jemaah, patutlah sahabat saya yang kecil dan rendah sahaja fizikalnya ini dilantik sebagai Presiden GAMIS, salah satu persatuan mahasisiwa yang besar di tanah air.

Beliau dapat menyesuaikan diri sebagai pengkuliah kepada golongan bertaraf ibu dan bapa tanpa terbawa-bawa cara berkuliah kepada adik usrah dan jemaah serta mahasiswa yang sedang berdemontrasi di jalanan. Saya sedikit risau jika dia terbawa-bawa semangat tersebut ke dalam masjid dan mengundang ketidak selesaan kepada jemaah yang majoritinya terdiri daripada para senior itu. Lagikan semalam baru dia mengetuai lebih 3000 mahasiswa untuk berdemonstrasi bagi membantah PPSMI di Masjid Negara.

Alhamdulillah, raut wajah pendengar menggambarkan kepuasan dan kekaguman kepada Ustaz muda yang sedang beraksi itu malah selesai sahaja kuliah jemaah berpusu-pusu mengerumungi akh Dzul untuk bersalam, satu penghormatan kepada beliau. Ustaz Mursyidi juga segera mencuit saya di kala akh Dzul tengah berkuliah, “Confirm, 2 kali sebulan kita panggil dia sebagai penceramah tetap masjid untuk kuliah Subuh dan kuliah sebelum Jumaat,” sambil tersenyum.

Kuliah selesai dan kami ke warung depan Jaya Jusco Wangsa Maju untuk makan pagi. Pastinya roti canai menjadi pilihan. Akh Dzul tidak boleh lama kerana perlu pula ke Masjid Danau Desa untuk berforum bersama Senator Mumtaz di satu majlis anjuran Muslimat.

Teringat kata-kata Ustaz Mursyidi di akhir pertemuan kami, “Dia (akh Dzul) memang dilahirkan sebagai penceramah.”

Saya pun kena terus belajar terutama dari akh Dzul, insya-Allah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

06 March 2009

Jawatan Baru


Amanah

Pada tarikh 26 Febuari 2009 yakni minggu lepas, pejabat saya telah mengadakan 2 mesyuarat agung peringkat jabatan bagi persatuan kakitangan cawangan WPKL. KESUPEN singkatan bagi kelab sukan dan PEKIP pula singkatan bagi persatuan kebajikan Islam.

Pencalonan bagi ahli jawatankuasa yang baru juga telah diadakan secara demokrasi iaitu undi bebas. Sesiapa pun boleh undi sesiapa sahaja termasuk diri sendiri. Tiada pencalonan melainkan terus sahaja mengundi dengan menulis nama pada kad yang diedarkan kemudiannya masukkan ke dalam kotak yang disediakan untuk membuang undi.

Mesyuarat pertama yang berlangsung ialah mesyuarat KESUPEN kemudian barulah mesyuarat PEKIP mengambil tempat. Perbentangan laporan tahunan oleh Encik Haizol selaku SU PEKIP berjalan lancar begitu juga laporan kewangan oleh Encik Zam Zam selaku bendahari.

Puan Pengerusi tetap iaitu Dr Hajjah Nurziha yang juga Pengarah jabatan merakamkan perhargaan dan mengucapkan syabas diatas komitmen dan kejayaan program yang berlangsung sepanjang tahun lalu.

Program ceramah oleh ustaz jemputan beberapa kali diadakan, jamuan berbuka puasa yang meriah dengan bajet berhemah sangat sederhana tetapi mendapat sambutan yang menggalakkan, alhamdulillah. Sembahyang tarawikh berjemaah juga berlangsung selepas isyak secara berjemaah.


Agenda Akhir

Agenda akhir pengumuman pemilihan ahli jawatankuasa baru bagi sesi 2009/2010 yang akan diistyiharkan oleh Encik Nik Mazuki selaku SPR dalaman jabatan.

Hampir semua ahli jawatankuasa adalah muka baru dan yang paling terkejut ialah nama Encik Ahmad Zahiruddin Bin Mohd Zabidi telah diumumkan sebagai penyandang baru jawatan Setiausaha PEKIP Wilayah Kuala Lumpur dengan mejoriti 39 undi dari 122 ahli keseluruhan.

Empunya badan terkejut dan cuba menafikan pemilihan tersebut kerana sebab-sebab yang tertentu tetapi dinafikan oleh ahli keseluruhan terutama Puan Pengerusi tetap sendiri.

Nampaknya semakin bertambahlah bebanan sosial saya. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik walaupun masih pening-pening dengan jawatan baru yang tak disangka dan diidam pun. Insya-Allah kena terus merujuk kepada SU sesi terdahulu untuk perjalanan selagi diamanahkan melainkan juga insya-Allah dalam masa terdekat permohonan saya berpindah ke JAWI, khusus unit pentadbiran Masjid Usamah bin Zaid berjaya, maka…

Insya-Allah, saya akan sujud syukur.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

05 March 2009

Masjid Usamah bin Zaid dan Saya

Berpindah

Semalam saya telah berpindah dari rumah sewa ke satu bilik (utiliti) di masjid Usamah bin Zaid. Walaupun ianya sebuah bilik yang sederhana kecil dan terletak di tingkat bawah masjid namun kesyukuran yang tidak terhingga pada Allah dan ucapan terima kasih dari lubuk hati kudus untuk Ustaz Mursyidi kerana memberikan kebenaran walaupun permintaan saya peringkat awal hanya bersifat gurauan. Malah Ustaz menawarkan saya untuk memilih bilik mana sahaja yang saya suka termasuk bilik di tingkat 2 yang keluasannya melebihi keluasan rumah pangsa kos sederhana. Tetapi saya memilih bilik di bawah atas sebab-sebab tertentu.


Akhirnya permintaan saya untuk menjadi setotal mungkin ahli masjid dimakbulkan Allah ta’ala. Kini saya beralamat di masjid Usamah bin Zaid, tempat saya bertugas dan berjamaah, girangnya hanya mereka yang ada kemahuan seperti saya sahaja dapat rasakan.

Malam pertama berlalu indah, seakan saya akhirnya dapat berkahwin dengan insan pilihan dan semalam merupakan malam pertama kami, tapi jangan salah faham kerana saya belum berkahwin tetapi insya-Allah sudah diikat untuk melaksanakannya tidak lama lagi, doakan saya.

Saya sangat teruja untuk menginap di masjid kerana beberapa faktor :

1. Memang dari dulu saya hendak duduk di masjid.
2. Jimat sewa rumah RM250.
3. Menjalankan tugas(bilal) tanpa pincang lagi insya-Allah.
4. Tiada alasan untuk tidak berjamaah lagi terutama waktu Subuh.
5. Mencari damai di taman syurga Allah.
6. Pergerakan yang akan terbatas.

Selain itu, saya juga beriktikad mahu bermujahadah untuk melawan dilema diri agar kelak dalam tempoh 3 bulan yang mendatang sebelum bergelar suami saya benar-benar bersedia dari segenap aspek termasuk ilmu dan amal. Tempoh-tempoh yang dilalui sekarang sangat mencabar. Siapa pernah duduk di tempat saya mereka akan mengangguk tanpa syak.

Terima kasih kepada tunang saya yang meminjamkan kereta untuk saya memunggahkan barang-barang. Alhamdulillah segalanya lancar walaupun saya seorang sahaja yang memunggah barang-barang tersebut. Resam orang bujang lelaki, nasib baik tidak banyak sangat barang melainkan meja belajar dan almari bertingkat plastik sahaja yang bersaiz besar. Hal ini akan diselesaikan hari ini insya-Allah dengan bantuan sahabat dari masjid Usamah bin Zaid.

3 Bulan ke 2 Bulan lagi?

Hari ini 5 Mac 2009, malam tarikh ini pada bulan Jun 2009 nanti, dalam kiraan 3 bulan lagi insya-Allah saya ditarikhkan untuk mengikat janji hidup setia berasas syarak Islam yang dinamakan ijab dan kabul. Jadi, jangkamasa 3 bulan di masjid akan diasimilasikan sebaik mungkin insya-Allah untuk segala persediaan yang perlu. Selain terus-menerus berfikir dan membuat persediaan untuk pembelajaran yang akan berlangsung lagi di UUM dan cuba resapkan segala pembelajaran Usuluddin di UM, apatah lagi bagi memikirkan gerak kerja seterusnya bersama jamaah iLuvislam dot com.

Doa kudusku padamu ya Allah, hambaMu ini telah, sedang dan akan terus berusaha untuk redhaMu walau kadang dia bersikap retorika denganMu, dia sedar dia bukan menipuMu tetapi menipu diri dia sendiri. KalamMu sudah jelaskan, malah hadis UtusanMu telah merungkai jalan untuk penyelesaian, namun bersabarlah, kerana apakah perkara yang lebih bernilai dari nilai sabar seorang pemuda dalam menghadapi kenyataan sunnahtullah.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

02 March 2009

Sasaran Utama


Sasaran

Kata Hukama’ “Semakin kita menuntut semakin banyak kita tidak tahu” dalam arti kata semakin kita belajar ilmu yang baru maka barulah kita sedar bahawasanya banyak lagi perkara yang kita tidak tahu.

Menuntut ilmu merupakan kewajipan kepada para muslimin dan muslimat. Rasulullah pernah bersabda bermaksud : "Menuntut ilmu itu wajib keatas setiap muslimin dan muslimat”, malah bagi menggambarkan kepentingan ilmu itu Rasulullah juga menggambarkan bahawa ilmu itu bukanlah perlu dituntut secara bermusim. "Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad”

Saya amat bertuah kerana masih mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran yang terbantut dek kerana kealpaan diri sendiri 5 tahun lepas. Diterima masuk ke UIA adalah impian saya yang menjadi kenyataan selepas mendpat keputusan peperiksaan SPM yang agak memberangsangkan, oleh kerana saya bukan pelajar pilihan ramai yang terkejut. Lagipun prestasi pembelajaran saya adalah amat sederhana berbanding rakan-rakan lain.

Tingkatan 1,2 dan 3 berlalu dengan penuh kekalutan dan kenakalan serta kecelaruan identiti. Tiada apa yang dapat dibanggakan dalam tempoh itu, namun apabila mejejak kaki ke tingkatan 4 semacam ada satu perasaan yang mendorong untuk menetapkan matlamat yang perlu diusahakan dengan jelas.

Fokus

Maka 2 tahun itu saya seolah menjadi individi baru, oleh kerana fokus yang sudah ditetapkan malah dituturkan depan sekian kawan-kawan, “Aku nak masuk UIA, insya-Allah”. Pelbagai reaksi kawan-kawan sekelas, positif dan negative, lumrah. Tidak mengapa akan saya buktikan. Atas usaha yang konsisten dalam pembelajaran, keputusannya ialah saya diterima ke Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya untuk mengikuti kursus Ijazah sarjana Muda Ekonomi dan Sains Pengurusan.

Semua orang gembira, walaupun ada sedikit risau di hati saya kerana kos tersebut sangat asing bagi saya yang beraliran pengajian agama dahulu, tetapi kerana sasaran utamanya ialah mahu masuk UIA maka kos yang nak diambil tidak menjadi perkara utama saya untuk dihiraukan. Akhirmya perkara itu menjadi antara sebab saya kecundang di samping sebab-sebab yang dicipta diri sendiri kemudiannya.

Saya mempunyai sasaran yang jelas semasa menduduki peperiksaan SPM iaitu macam mana pun kelak saya mahu masuk UIA, tetapi bila sudah berada di UIA saya terlupa untuk meletakkan sasaran yang saya mesti lulus graduasi untuk mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam apa jua jurusan yang diambil.

Sedikit kelompongan tersebut seterusnya mengubahkan hampir keseluruhan lanskap kehidupan saya, tidak adil untuk saya katakan ke arah yang lebih teruk, kerana hikmah disebalik setiap perkiraan qada’ dan qadar Allah ta’ala adalah yang terbaik untuk hambanya.

Walaupun kecundang bergelar mahasisiwa UIAM tetapi saya bersyukur kerana banyak hikmah di sebalik kegagalan sementara itu.

Bersambung….

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

26 February 2009

Usai Sudah

Alhamdulillah peperiksaan sudah selesai, walaupun keputusannya masih menjadi tanda tanya. Ianya tetap diselesaikan dengan sedikit penambahan usaha, insya-Allah walaupun diri ini agak kelam kabut zahir dan batin sejak kebelakangan ini, insya-Allah segalanya akan berlalu dengan sedikit kesabaran dan keredhaan.

Urusan ijab yang hampir separuh jalan terlaksana dan fokus kepada agenda bersama iLuvislam dot com menjadi keutamaan selepas ini insya-Allah. Saya tidak sabar untuk berjumpa akh Imran untuk bertanya khabar dan berbincang tentang agenda iLuvislam.

Selesai sahaja peperiksaan petang semalam saya terus menuju ke kolej ke-13 UPM Serdang untuk berkuliah maghrib. Walaupun hujan lebat membantai namun alhamdulillah, murah hati bakal teman hidup saya meminjamkan keretanya. Dia pulang ke Cameron Highland. Semoga Allah kurniakan pahala atas ‘sedekah’ tersebut kepada saya.

Tajuk semalam bertajuk ‘Sadaqah’, ini kerana ada pelajar di sana bertanya berkenaan ibadat tersebut malalui ‘shoutbox’ di blog ini. Saya mencari sedikit bahan dan cuba untuk menyampaikan sebaik mungkin semalam. Alhamdulillah tindak balas yang positif dari para pendengar.

Selesai mengimamkan solat Isyak berjemaah terus sahaja pulang ke rumah. Selesai membersihkan diri saya terjun terus di atas toto yang berwarna biru muda itu dan ZzzZZzz….

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

23 February 2009

Di Ambang Peperiksaan

Beberapa hari tidak menulis di sini membuat hari-hari yang berlalu tidak lengkap. Walaupun saya tidak menulis dan melayari internet kerana sedikit fokus kepada peperiksaan akhir semester yang masih berbaki 3 kertas, saya tetap memenuhkan ruang yang berbaki untuk membaca buku-buku yang belum dikhatamkam lagi itu.

Bermula petang Jumaat sehingga semalam 3 kertas telah diduduki. Namun semalam telah berlaku pertindihan jadual antara peperiksaan dengan pengajian Usuluddin di UM. Saya terlepas kelas pagi, saya cepat-cepat habiskan kertas peperiksaan terus menuju ke UM tanpa sempat pun menunggu kawan-kawan yang lain keluar.

UM : Musthalah Hadis

Sesi kedua kelas telah bermula dengan maddah pengajian Mustalah Hadis oleh Prof Madya Dr Fauzi bin Deraman. Alhamdulillah memang beliau sangat berautoriti dalam bidang kemahirannya itu, tidak sesal sedikitpun saya berhempas pulas berkorban masa dan tenaga untuk ilmu yang insya-Allah akan memandu dan dimanfaatkan untuk diri sendiri dan ummah ini insya-Allah.

Banyak perkara yang diperbahaskan oleh beliau, gaya bersahaja spontan tetapi hujahan yang penuh kritis dan berilmiyyah membuatkan kami sekelas teruja. Beliau juga tanpa lokek membahaskan tentang ilmu hadis dan sejarahnya tanpa mengira status kami, katanya apa yang yang disampaikan oleh beliau pagi itu sepatutnya disampaikan dalam kelas untuk pelajar “Master”. Sedikit sebanyak kami jadi bermotivasi dan bersemangat. “Master”….hmm…insya-Allah getus hati bara saya, insya-Allah.

Sebelah petang, maddah Iman dan Kehidupan pula mengambil tempat. Penyampaian yang begitu energetic dari Ustaz Alias menyebabkan pelbagai bahasan mengambil tempat, dari berkenaan dengan akidah, meluncur kearah pemahaman syarak, kadang melintasi benua manusia dan ke alam jin malah, kelas menjadi gamat. Itulah kelebihan Ustaz Alias. Moderator, Ustaz yang berkaliber sesuai dengan kematangannya. Kami berpuas hati. Kalaulah dapat diasimilasikan segenap ilmu yang disampaikan itu maka, alim bukan mustahil untuk kami yang hanya tahu ini insya-Allah.

Musyawarah

Kelas usai jam 5:30 petang dan kami ke surau APIUM dahilu selesaikan kefardhuan solat. Selesai, sempat juga kami bermusyawarah sekejap. Antara yang masih ada ialah rakan sekelas iaitu Cikgu Rosli, Akh Hairi (penulis skrip, pengarah, pelakon. Anak Julie Dahlan), Reimi (bilal Usamah bin Zaid) dan (bilal masjid Negara).

Hairi menyuarakan pertolongan untuk meminta pendapat tentang babak yang bakal di’shooting’ kelak. Situasi hero dalam dilema dalam membuat keputusan lalu didatangi bayangan berjubah hitam yang mewakili iblis dan bayangan berjubah putih mewakili malaikat. Menarik, tidak pernah terfikir saya akan bercakap secara langsung tentang pembikinan drama atau filem.

Kami berdiskusi ringkas, banyak juga cadangan dan pendapat selain hairi telah mendapatkan pendapat Pensyarah kami. Yang dibincangkan sekarang babak untuk rakaman itu.

Akhirnya saya berijtihad dan menyatakan bahawa jika bayangan hitam dan putih itu ingin dirujuk kepada Malaikat dan Iblis maka tidak boleh. Tetapi kalau bayangan hitam dan putih itu mewakili elemen baik dan buruk dalam diri hero tersebut maka tiada masaalah. Maksudnya hero akan memainkan 3 watak :

1.Watak asal hero yang dalam dilemma.
2.Lelaki berjubah putih mewakili sifat atau elemen baik dalam dirinya sendiri.
3.Lelaki berjubah hitam mewakili sifat atau elemen jahat dalam dirinya sendiri.

Konsep pembahagian nafsu digunakan di sini, Hairi bersetuju dan akan membawa ke perbincangan dengan penerbitnya. Alhamdulillah sedikit pertolongan untuk mereka yang memerlukan adalan dituntut oleh Islam sendiri. Malah mungkin kalau ada babak yang memerlukan keadaan di mana hero tengah bersolat jemaah maka Hairi bermaksud untuk ke Masjid Usamah bin Zaid. Wallahua’lam. Saya hanya mampu tersenyum.

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

19 February 2009

Hidup Ini adalah Ujian

Peperiksaan : UUM

Insya-Allah, esok bermulalah peperiksaan akhir semester bagi pengajian jarak jauh saya bersama UUM cawangan KL (20-25 Feb). Dengan itu sehingga minggu depan saya kena tumpukan sepenuh perhatian, aktiviti-aktiviti luar daripada pembelajaran perlu direhatkan seketika, tapi dalam masa yang tersebut untuk berhenti dari berfikir bagi memastikan diri ini mampu menyumbangkan yang terbaik untuk Allah, nabi Muhammad, Umi dan Abi, bakal jauzah, adik-adik, saudara-mara seterusnya masyarakat Malaysia dan ummah keseluruhannya tidak akan mungkin terhenti insya-Allah.

Sedikit terkilan apabila permohonan untuk cuti tanpa rekod untuk mengambil peperiksaan tidak diluluskan oleh pihak atasan. Lumrah dunia, maka akurlah. Tidak mengapa asalkan ada ruang untuk saya sedikit membuat persediaan akhir sudah cukup bagi saya insya-Allah. Keadaan agak genting pada hari Ahad kerana pada hari tersebut pengajian Usuluddin di UM juga berlangsung. Ini bermakna setelah selesai peperiksaan di Plaza Warisan terus sahaja saya berkejar ke APIUM untuk mengikuti kelas di situ pulak.

Mungkin dalam saya fokus untuk peperiksaan ini akan timbul ilham dan idea-idea baru bagi pemantapan iLuvislam dot com. Lagi pulak kawan-kawan sepengajian adalah prospek seterusnya untuk menyebarkan fikrah islamiyyah yang dibawa oleh iLuvislam dot com.

Masjid

Sehari dua ini juga saya dalam proses untuk memohon secara terus bagi pertukaran dari jabatan sekarang ke unit pentadbiran Masjid Usamah bin Zaid. Alhamdulillah, hampir semua proses menunjukkan keputusan yang positif dan saya tidak dapat bayangkan betapa nikmatnya kelak jika betul saya boleh berpindah ke masjid kesayangan saya itu. Saya akan buat 2 kerja di 1 tempat. Selain penjimatan dari sudut kos dan sebagainya.

Urusan di peringkat jabatan dan kementerian telah selesai, tinggal lagi urusan JPA dengan JAWI sahaja. Alhamdulillah Ustaz Fishal, ketua penolong pengarah pengurusan kariah juga setelah diberi penerangan oleh Ustaz Mursyidi seklaku Ketua Imam@Pentadbir masjid tentang perihal ini. Maka beliau dengan berbesar hati setuju untuk menyokong permohonan itu.

Semoga Allah pastikan yang terbaik untuk hambanya ini, insya-Allah.

Membaca

Sedar tidak sedar rupanya lama sudah saya tidak membaca buku-buku baru selain buku yang masih belum selesai. Saya perasan semenjak ada talian internet tanpa talian jenama MAXIS ini telah menyebabkan kecenderungan saya kepada Internet semata. Membaca dan menulis juga banyak di laman ini sekarang.

Petang semalam sewaktu dalam perjalanan dengan Komuter ke UPM Serdang untuk ke kuliah mingguan di kolej ke-13, saya mengambil peluang untuk memulakan bacaan buku yang dah lama dipinjamkan oleh sahabat saya. Buku yang bertajuk "PEMIKIRAN ISLAM : Satu Penilaian Semula" dari K.A Rashid dari Pakistan, buku yang bertarikh tahun 1987 amat berat isinya, tetapi saya cuba hadamkan sebaik mungkin. Walaupun tidak semua yang dicernakan oleh penulis saya kena terima dan bersetuju tetapi membaca bahan ilmiyah sebegini adalah wajib jika ingin mengoptimumkan penggunaan pemikiran ini. Lalu diterjemah dengan vokal dan tulisan setelah penilaian mengikut segala kesesuaian.

Ketandusan dalam mencari fikrah yang paling sesuai untuk dikongsi di dalam blog ini masih berlarutan. Saya juga ada mengikut dengan setia beberapa laman sesawang mereka yang sudah kukuh untuk memahami teknik dan cara penyampaian berkesan bagi memastikan tulisan di blog saya tidak sia-sia melainkan ada biasan ilmiyyah walaupun tulisannya bersifat perkongsian peribadi dan lain-lain.

Penasihat

Tugas yang agak berat dan mencabar dan saya mencabar diri saya untuk berikan yang terbaik untuk iLuvislam dot com, insya-Allah saya akan mulakan perkongsian positif bermotivasi dengan rujukan dan penilaian terhadap buku, blog, artikel untuk diulas dan dikongsi khas untuk krew iLuvislam dalam YG kelak. Duta-duta iLuvislam dot com ini perlu untuk diberi semangat agar mereka sedar bahawa kerja atau amal yang dibawa portal kesayangan kita ini bukan satu perkara yang main-main lagi bahkan ianya boleh dijadikan pencetus ibrah fikriyyah islamiyyah ummah kelak insya-Allah.

Apapun teruskan bersemangat dan bermotivasi untuk memerhati, berfikir, membuat penilaian dan bertindak dalam apa jua keadaan sekalipun untuk akhirnya tiada lain hanya kerana Allah.

Insya-Allah

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com