11 March 2009
2 Ceramah Hebat Dalam Seminggu
Ceramah Pertama : Abu Saif
Memang menjadi kewajipan saya apabila melayari internet terus akan saya buka portal Ustaz kesayangan ramai Ustaz Hasrizal @ Abu Saif di www.SaifulIslam.com. Walaupun Ustaz Hasrizal berkuliah tetap di surau An-Naim yang juga berdekatan dengan masjid Usamah bin Zaid, namun saya tidak dapat menghadiri kuliah beliau kerana sebab-sebab tertentu. Antaranya kerana bertindan dengan jadual bertugas saya di masjid dan ada kalanya saya sendiri kena berkuliah di UPM Serdang.
Alhamdulillah pertama kali mendengar hujahan ceramah Ustaz Hasrizal ialah di Masjid UIA PJ kerana beliau dijemput untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Sultan Muhammad Al-Fateh.” program tersebut danjurkan oleh GAMIS bulan lepas.
Minggu lepas pula kebetulan ketika menyemak jadual Ustaz Hasrizal, saya mendapati hari Khamis malam Jumaat 5 mac lepas beliau akan berceramah bersempena sambutan Maulidur-Rasul di masjid kem askar Wardiburn yang dekat sahaja dengan masjid Usamah bin Zaid.
Saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti ceramah tersebut. Kebanyakan pendengar adalah pelatih tentera yang diwajibkan untuk mengikuti ceramah tersebut. Yang penting banyak catatan yang saya ambil dari ceramah tersebut yang insya-Allah kemudian ini akan diolah malah akan disampaikan pula kelak kepada mereka yang bakal mendengar.
Kesimpulannya ialah Rasulullah adalah “Qudwah Hasanah” yakni contoh terbaik dari segenap aspek yang memastikan kecemerlangan kita sebagai ummat yang cemerlang dunia dan akhirat.
Ceramah Kedua : Presiden GAMIS
Ustaz Mursyidi meminta saya mencari penceramah bagi mengisi kekosongan waktu antara Magrib dan Isyak serta kuliah Subuh setiap minggu. Saya kata kalau ustaz-ustaz muda ada, takut tidak sesuai dengan suasana jemaah di masjid Usamah bin Zaid.
Saya jemput sahabat saya Ustaz Hisyam selaku Imam Besar Masjid UPM Serdang untuk pengisian tetapi beliau tidak sanggup kerana sedikit kemaslahatan, insya-Allah katanya kelak akan dia beritahu bila dah bersedia. Mungkin faktor jarak juga mengundang serba salah pada beliau.
Saya cadangkan pula sahabat saya Ustaz Dzulkhairi @ Presiden Gamis sementelah dia pun belum bekerja tetap melainkan sibuk dengan aktiviti jemaah. Tapi takut juga kalau dia tidak boleh begi komitmen kelak, Ustaz Mursyidi meminta saya menghubungi akh Dzul untuk mendapatkan kepastian.
Setelah saya mendapat kepastian daripada akh Dzul namanya terus dimasukkan ke dalam senarai para penceramah. Akh Dzul memang tidak asing lagi di kalangan jemaah kampus samaada dari jemaah GAMIS atau jemaah lain, kelantanganya dalan ceramah malah kebiasaan berceramah bersama nama-nama besar dari kalangan pimpinan PAS atau Universiti sedikit sebanyak mengundang kagum saya pada beliau. Pasti ada sedikit kelainan pada sahabat senegeri saya ini.
Dinihari Ahad lepas tepat pukul 5 pagi saya tersedar dan terus mencapai telefon untuk menghubungi akh Dzul, alhamdulillah suaranya segar sambil menjawab salam saya. Katanya sedang bersenam setelah bangun sedikit masa tadi, memang dia amalkan apa yang dituliskan di laman blog peribadi beliau.
Sedikit ralat bila dia bertanyakan di mana masjid Usamah bin Zaid. Rupanya dia belum pernah sampai di masjid ini. Saya melaungkan azan, akh Dzul belum tiba. Ustaz Mursyidi berpesan pada saya, jika akh Dzul tidak muncul maka sayalah yang akan berkuliah nanti, aduh. Saya cuba menghubungi akh Dzul, namun gagal. Tidak diangkat, barangkali diatas motor. Akhirnya satu sms sampai mengatakan dia berada depan sekolah kebangsaan seksyen 4, yang hanya beberapa ratus meter dari masjid Usamah bin Zaid.
Ustaz Mursyidi mengisyaratkan agar solat dimulakan, namun pandangan mata saya menyatakan tiada lagi kelibat sahabat saya itu, sesat ke pulak, aduh.
Selesai solat Subuh yang dimamkan kakanda saya, Ustaz Mursyidi. Saya segera menoleh ke kiri dan kanan dan…alhamdulillah, dua kelibat sahabat saya sedang masbuk. Akh Dzul dan akh Yus, lupa saya yang akh Yus pernah sampai di masjid Usamah bin Zaid ini. Selesai berwirid ringkas dan mereka pun selesai solat terus sahaja Ustaz Mursyidi menjemput akh Dzul, dibawah label Penasihat Faqih Synergy Konsultansi.
Alhamdulillah saya memilih orang yang tepat, penyampaian akh Dzul sangat bertenaga dan padat. Tersusun rapi penyampaianya dengan selingan kisah-kisah sahabat, wali-wali Allah malah propaganda barat yang dibincangkan di dalam parlimen Britain juga diceritakan, kadang-kadang cerita beliau mengundang gelak kami kerana terusik dengan gelagat atau ceritanya yang mencuit hati. Nyatalah ilmu dan pengetahuannya memang melayakkan beliau menjadi murabbi dalam jemaah, patutlah sahabat saya yang kecil dan rendah sahaja fizikalnya ini dilantik sebagai Presiden GAMIS, salah satu persatuan mahasisiwa yang besar di tanah air.
Beliau dapat menyesuaikan diri sebagai pengkuliah kepada golongan bertaraf ibu dan bapa tanpa terbawa-bawa cara berkuliah kepada adik usrah dan jemaah serta mahasiswa yang sedang berdemontrasi di jalanan. Saya sedikit risau jika dia terbawa-bawa semangat tersebut ke dalam masjid dan mengundang ketidak selesaan kepada jemaah yang majoritinya terdiri daripada para senior itu. Lagikan semalam baru dia mengetuai lebih 3000 mahasiswa untuk berdemonstrasi bagi membantah PPSMI di Masjid Negara.
Alhamdulillah, raut wajah pendengar menggambarkan kepuasan dan kekaguman kepada Ustaz muda yang sedang beraksi itu malah selesai sahaja kuliah jemaah berpusu-pusu mengerumungi akh Dzul untuk bersalam, satu penghormatan kepada beliau. Ustaz Mursyidi juga segera mencuit saya di kala akh Dzul tengah berkuliah, “Confirm, 2 kali sebulan kita panggil dia sebagai penceramah tetap masjid untuk kuliah Subuh dan kuliah sebelum Jumaat,” sambil tersenyum.
Kuliah selesai dan kami ke warung depan Jaya Jusco Wangsa Maju untuk makan pagi. Pastinya roti canai menjadi pilihan. Akh Dzul tidak boleh lama kerana perlu pula ke Masjid Danau Desa untuk berforum bersama Senator Mumtaz di satu majlis anjuran Muslimat.
Teringat kata-kata Ustaz Mursyidi di akhir pertemuan kami, “Dia (akh Dzul) memang dilahirkan sebagai penceramah.”
Saya pun kena terus belajar terutama dari akh Dzul, insya-Allah.
Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment