“Mi, ana tumpang anta esok ke UM ye? Motor ana bocor, tak sempat nak hantar kedai.”
“Ok, anta nak pergi pukul berapa? Ana nak pergi lewat sikit ni...”
“Ikut anta lah, janji ana tak terlepas maddah Mustalah Hadis.”
Selepas waktu Isyak malam saya bertugas, saya menyatakan hasrat untuk menumpang Reimi ke UM untuk mengikuti kelas kami masing-masing kerana motor saya bocor, rasanya tidak sempat untuk saya baikinya lagi malam itu. Menumpang Reimi yang mengikuti pengajian Syariah di tempat dan waktu belajar yang sama memberikan saya sedikit ruangan ikhtiar.
Pagi itu setelah selesai kuliah Subuh mingguan, sempat saya minum pagi bersama dengan Ustaz Murshidi dan Ustaz Hazman (Imam Masjid Abu Bakar, Bangsar) selaku penceramah di warung roti canai depan Jaya Jusco Wangsa Maju. Setelah pulang dan bersiap, saya menelefon Reimi untuk mendapatkan kepastian samada boleh saya menumpang dia.
Kami bertolak dari masjid Usamah dalam waktu yang menghampiri jam 9 pagi. Sedang dalam perjalanan yang agak lancar itu, tiba-tiba kedua-dua kami terasa ada sesuatu yang kurang selesa terjadi. Tayar motorsikal EX5 itu terasa seakan bergolek. Lantas Reimi memberhentikan motorsikal tersebut dan kami berdua memeriksanya dan didapati angin tayar belakang teramat kurang, agaknya belum pancit cuma kekurangan angin.
Kami kemudiannya ke stesen pam minyak yang terdekat dan mencari pam angin, dengan harapan ianya bukan kebocoran dan hanya kempis biasa sahaja. Usaha kami berjaya apabila angin yang dipam berjaya dikumpulkan dan menegangkan balik tayar motorsikal tersebut. Kami meneruskan perjalanan setelah hampir terhenti selama 15 minit di kawasan jalan Pahang itu.
Reimi memandu sederhana laju untuk mengimbangi berat badan kami berdua dengan mahskalah yang telah berlaku tadi. Setelah hampir beberapa kilometer menyusur lebuhraya Mahameru dan hampir ke selekoh terakhir untuk sampai ke KL Sentral keadaan yang sama berulang. Sah kali ini, bukan angin yang tiada namun tayar motorsikal itu telah bocor.
Di pagi Ahad yang masih hening itu, kami akan bersyukur jika ada bengkel-bengkel motor berdekatan yang telah memulakan modus operandinya. Walaupun harapannya tipis, namun sesuatu perlu diusahakan dan masalah perlu diatasi.
Saya akhirnya menyarankan Reimi untuk bermotorsikal seorang diri dahulu untuk mencari jika ada bengkel yang beroperasi di sekitar Bangsar. Saya ditinggalkan seorang diri di atas ‘fly over’ yang hanya membenarkan mereka yang berkelajuan 100 km/j sahaja melaluinya, agak bahaya.
Setelah Reimi hilang di pandangan mata, saya mula berjalan menuju kearah yang sama, berjalan kaki dengan bertopi keledar serta baju Melayu berseluar slak dan berkasut kasual, pasti ada yang tertanya. Tidak mungkin saya akan menghabiskan masa semata untuk menunggu masalah selesai sahaja. Setelah berjalan hampir2 km saya berhenti di sebuah perhentian bas dan menelefon Reimi, kebetulan jangka hayat bateri yang subsidi sedikit meralatkan saya. Setelah mengesan di mana lokasi Reimi, saya menyambung perjalanan.
Reimi sekarang berdekatan stesen Putra LRT Bangsar, setelah puas berpusing-pusing di sekitar Brickfield dan kecewa kerana tiada bengkel yang beroperasi. Dia mengambil keputusan untuk memarkir motorsikalnya di situ dan menuju ke kelas dengan kemudahan awan sahaja. Saya meminta dia menunggu saya sampai. Beberapa puluh minit kemudian saya sampai setelah hampir 3 kilometer perjalanan dengan kaki sendiri, letihnya? Kena cuba sendiri.
Setelah hampir saya tiba, saya terpandang seorang India bersama Reimi dan dia sedang membuka tayar motorsikal itu. Rupanya, Reimi terperasan yang ada bengkel yang baru nak beroperasi hanya berhadapan dengan tempat Reimi menunggu saya. Lalu dipanggil segera lelaki India ktersebut untuk membaiki motorsikal itu walaupun harga untuk menukar tiub baru di pagi Ahad itu ialah RM20.00. Saya agak terkejut. Namun apakan daya, kos akan meningkat bila ada permintaan kepada keperluan yang terdesak.
Selesai di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi ilmu kami di APIUM. Alhamdulillah kami sempat sampai sebelum kelas kedua bermula.
Teringat akan kembara jelajah atau ekspedisi para ulama’ dan hukama’ dahulu yang sanggup merentas hutan rimba, padang pasir malah lautan belantara semata kerana ilmu. Nyatalah tidak mampu jika hendak diperbandingkan dengan sedikit ujian pada diri saya.
Saya amat teruja untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat tertinggi malah kalau mampu ingin saya menerobos ke bidang yang bersilang lalu di simpulkan bersama dan akhirnya terjadilah pancasila ilmu yang sudah sekalian lama tidak dipraktikkan dalam dunia Islam sendiri.
Assalamu'alaikum wrt wbt Ustaz. 1st terima kasih atas tazkirah yg telah disampai semalam (kuliyah maghrib K13).
1. Ustaz, benarkah matlamat akhir sesuatu ibadah itu sebenarnya syurga? Manakah keikhlasan dan ehsan dalam beramal jika tujuannya adalah "syurga"? Bukankah sepatutnya segala amal itu semata-mata Lillah tanpa mengharapkan ganjaran?
Jawapan :
Waalaikumussalam wrt kepada saudari yang bertanya, pertamanya terima kasih kerana sudi melawat laman saya yang tidak seberapa ini, danjuga kerana sudi mengikuti kuliah saya yang masih banyak kelemahan. Insya-Allah saya akan terus berkongsi selagi daya dengan ilmu yang hanya terbias ini. Jika kebuntuan, maka bersamalah kita merujuk kepada mereka yang lebih alim insya-Allah.
Maafkan saya atas ketidak jelasan maksud penyampaian saya semalam, kalau saudari ingat betul-betul saya tidak pernah katakana bahawa matlamat akhir sesuatu ibadah itu ialah syurga. Tetapi saya lontarkan persoalan “Apakah tujuan kita hidup di dunia?”. Jika soalannya ialah “Apa tujuan kita dijadikan di dunia ini?” penetapan tujuan kita dicipta sudah ditetapkan oleh Allah subhanauwata’ala, maka jawapannya tidak lain pada mafhumNya :
“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaku.”
Namun tanya diri kita balik apa tujuan aku hidup dalam erti kata sebagai seorang muslim. Yang beriman, bertaqwa, jadi baik, beribadat dan pendek kata “buat yang disuruh dan tinggal yang dilarang”.Kenapa? Pastinya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tepat sekali! Sebab itu para sahabat dikurniakan gelaran Radhiaya-Allahu’anhu/ha. Gelaran itu menunjukkan mereka telah mencapai makam tertinggi dalam pengabdian diri pada Allah. Kerana apa redha Allah itu perlu, kerana syurga itu akhirnya dikurniakan kepada mereka yang hanya Allah redha kepada mereka.
Pernah dengar cerita seorang alim yang hebat bernama Barshiso? Kehebatan ibadahnya tiada tandingan namun akhirnya di humban ke neraka. Kenapa?
Pernah dengar cerita yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab hadisnya tentang seorang pelacur yang akhirnya memasuki syurga kerana ehsan dan kesian belas kepada seekor anjing sahaja?
Maka dapat disimpulkan di sini bahawa syurga perlu menjadi matlamat kita. Kerana syurgalah yang akan dikurniakan kepada mereka yang ikhlas, ehsan dan mati dalam redha Allah. Puncak nikmat abadi yang tiada akhir, tempat para nabi-nabi, orang-orang soleh, syuhada dan mereka yang mati dalam redha Allah. Dan kita sebagai hamba Allah akan berasa hampa jika tidak dijanjikan apa-apa balasan olehNya atas segala kepatuhan kita kepada suruhannya.
Dan Allah juga telah menetapkan mereka yang mengabdikan diri kepadaNya semata “Lillahi ta’ala” adalah syurga, kerana syurga itulah ganjaran “Lillahi ta’ala” tadi. Jika Allah menyuruh hambanya beribadah kepadanya tanpa balasan maka Allah itu tidak adil, seolah seorang yang bekerja dengan majikannya namun tidak dibayar gaji.
Banyak ayat quran dan hadis Rasulullah menerangkan maksud kenyataan ini. Ana cadangkan saudari baca buku “LA TAHZAN”. Wallahua’lam.
2. Pernah tak ustaz dengar atau baca kisah Rabiatul Adawiyah yg membawa api pada sebelah tangannya dan air pada sebelah yg lainnya? Masa tu bila ditanya orang ramai untuk apa Rabiah berbuat demikian, jawabnya (lbh kurang maksudnya) :
"Aku ingin membakar syurga dan memadamkan neraka yg menjadi sebab sembahan manusia terhadapNya."
Jawapan :
Belum pernah lagi, insya-Allah saya cuba cari dan baca kisah tersebut. Saya faham yang saudari mahu kaitkan dengann tujuan kita beribadah tadi, tapi dengan kesolehan dan kezuhudan Rabi’atul Adawiyyah ‘Lillahi ta’ala’ apakah balasan Allah padanya? Tentunya kelak insya-Allah dia dan wali-wali beserta nabi-nabi dan para solihin akan dianugerahkan syurga Allah ta’ala.
3. Apa pendapat ustaz jika seorang itu menyembah Allah kerana kasih sayang Allah yang tidak dapat dia nafikan dan dustakan walau berbagai perkara yg dia lakukan tanpa hadir sedikitpun 'alkhauf', adakah amalan dia diterimaNya?
Kita kena set dalam diri kita bahawa yang hanya layak memahalakan dan mendosakan seseorang itu mutlaknya pada Allah ta’ala. Adakah kita yakin setiap amalan ibadah kita Allah kurniakan pahala? Kalau tidak kena caranya maka dosa sahaja yang kita tambahkan. Tapi janganlah pula itu dijadikan alasan, kalau begitu tiada gunanya kita bersembahyang, berpuasa dan lain-lain kerana segalanya sudah ditetapkan oleh Allah. Kerana sikap itu menjamin ke neraka, persoalan ini tidak dapat kita rungkaikan kerana kita tidak tahu adakah kita ke syurga atau ke neraka, maka menjadi kewajipan untuk kita berusaha mendapatkan syurga Allah dan mengelak dari neraka.
Maka melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang menjadi kewajipan, selebihnya diserahkan pada Allah ta’ala. Semoga dengan belas ehsannya kita di kurniakan syurgaNya, insya-Allah.
Maka sebagai seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah, buat yang disuruh dan tinggal yang dilarang adalah asas segala kewajipan urusan kehidupan. Perkataan ‘alkhauf’ itu sendiri walaupun makna lughahnya ialah mrujuk kepada takut namun definisi dalam konteks agama adalah berbeza. Dalam konteks agama semakin takut kita pada Allah maka semakin dekat kita dengannya, semakin terasa kasih sayangnya, semakin nikmat untuk beribadat. Maksudnya takut Allah itu bukan seperti kita takutkan harimau, hantu, bos dan lain-lain.
Secara automatiknya sesiapa yang melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang maka dia sudah tergolong mereka yang bertakwa malah takut kepada Allah. Kerana takut dengan janji azab Allah di nerakalah mereka sedaya upaya mendapatkan redha Allah. Wallahua’lam
4. Dan yang terakhir macam mana nak hadirkan perasaan khauf, haibah, n haya' bg orang yang hatinya kering dan baginya syurga n neraka tu tiada makna pada hatinya?
Syurga dan neraka adalah ghaib, yang hanya didengar dan diketahui kerana tercatit dalam al-Quran dan al-hadis. Logik akal kata mustahil untuk kita takut kepada benda yang kita tidak tidak lihat, dengar dan rasa sendiri. Kalau terjumpa dengan binatang-binatang yang mengancamkan maka kita akan cuba mengelak dan menyelamatkan diri kerana kita tahu bahawa binatang tersebut akan memberikan mudarat.
Tak kenal maka tak cinta. Mereka yang hatinya kering walaupun beriman adalah mereka yang tidak mengenal syurga dan neraka dengan mata hati. Adalah mustahil syurga dan neraka mahu dilihat dengan mata kasar malah dengan mata akal sekalipun. Mata hati hanya berfungsi dengan tarbiyyah yang syumul berasaskan aqidah yang haq sahaja. Maka tidak peliklah jika ramai merka yang mengaku beriman tetapi sengaja melakuka dosa.
Akhirnya semoga Allah membuka mata hati mereka untuk lebih memahami hakikat kehidupan sebagai hamba Allah. Semoga Allah mencampakkan pengalaman syurga dan neraka kepada mereka secara ladunni seterusnya sedar akan hakikat kejadian syurga dan neraka Allah.
Wallahua’lam, penulisan di atas sekadar perkongsian dari saya. Sebarang khilaf bolehlah tegur dan kemudiannya sama-sama kita rujuk pada yang lebih alim insya-Allah.
Saya masih mencari dan terus tercari-cari identiti penulisan untuk perkongsian bermanfaat dan konsisten dalam setiap ‘entry’ di laman saya ini. Saya suka menulis dan akan terus menulis, malah mempunyai cita-cita untuk menulis buku kelak, insya-Allah. Kerinduan saya kepada matlamat masa depan tidak dapat dibendung lagi.
Matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah dirangka mengikut ketetapan Sunnatullah namun ianya masih perlu selari dan seiring dengan tuntutan Syariatullahi ta’ala.
Kerinduan Pada Masa Depan
Teringat semasa mengikuti salah satu sesi kuliah Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil @ saifulislam.com, beliau telah memberikan gambaran tentang hadis Rasulullah yang bermaksud :
“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga mereka mencintai aku (Rasulullah) lebih daripada Ibu bapa, anak-anak dan sekalian manusia”
Begitu sekali Rasulullah seolah menggambarkan kepentingan dirinya untuk dicintai malah menjadi kemestian untuk melebihkan cinta terhadap baginda berbanding mereka yang mahu juga kita cintai dan sayangi.
Bagi mereka yang nampak hadis ini secara kasar sahaja maka mereka mampu untuk berkata yang Rasulullah begitu mementingkan diri malah membesarkan dirinya dengan kenyataan yang sebegitu rupa. Namun adakah kita mengerti dan tahu sukatan cinta Rasulullah pada kita yakni ummatnya.
Pada suatu malam Rasulullah telah menziarahi Baqi’ yakni tanah perkuburan di Mekah bersama para sahabat baginda, tiba-tiba baginda bersabda :
“Aku sangat merindui saudara-saudaraKu,” kata Rasulullah.
Sahabat baginda yang bersamaNya bertanya : “Bukankah kami ini saudaraMu ya Rasulullah.”
“Ya, kamu adalah saudaraku, namun aku amat merindukan ummatKu selepas kamu,” jelas Rasulullah.
Gambaran daripada perbualan ini jelas menunjukkan bahawa tahap kecintaan Rasulullah terhadap kita yang hidup lebih 1400 tahun dahulu telah wujud. Masakan mungkin merindukan sesuatu yang belum jelas kewujudannya, itulah kecintaan Rasulullah terhadap kita. Melangkaui batas masa dan zaman.
Bilamana kita bertanyakan kawan kita yang termenung sakan siang dan malam seakan dibius sakti cinta,
“Ewah-ewah, bila masa pulak sahabat aku ni nak kahwin, Alhamdulillah…siapa calonnya?” Saad ingin mendapatkan kepastian.
“Entahlah, aku pun tak tahu siapa dia…” sambil mengangkat punggung berlalu pergi. Saad termanggu seorang diri.
Kejadian di atas juga boleh dikatakan ada bias-bias dengan pengalaman saya sendiri. Pada awal tahun 2007 keinginan untuk mendirikan rumahtangga timbul. Antara topik perbualan seharian bersama teman dan rakan-rakan, malah kadang-kadang saya melontarkan vokal yang berbaur provokatif itu di depan kedua orang tua dan pakcik dan makcik saya. Maka timbullah pelbagai polemik yang sudah dijangkakan.
Kerinduan Rasulullah
Hampir seminggu Rasulullah ngering dan baginda telah meminta izin dari para isterinya yang lain untuk menetap di rumah Saidatina Aisyah RA sambil juga ditemani oleh sanabat agung yang juga bapa mentua Rasulullah sendiri, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Di hening Subuh, tatkala Abu Bakar yang sedang membetulkan saf para sahabat bersolat Subuh. Tiba-tiba perhatian sahabat teralih kearah tabir yang memisahkan ruang solat dengan tempat Rasulullah berehat. Rasulullah telah menyelak tabir tersebut seraya melemparka senyuman yang sangat manis menyebabkan para sahabat berasa sangat gembira kerana menyangkakan Rasulullah sudah beransur sembuh dan akan bersama mereka semula.
Namun pada hari itu, waktu Dhuha 12 Rabiu’Awwal tahun 10 hijrah, hari Isnin. Baginda meninggalkan fana dunia buat selama-lamanya. Sedetik selepas melafazkan : “ummati,ummati,ummati..”