06 April 2009

Kebocoran Yang Ditampung



“Mi, ana tumpang anta esok ke UM ye? Motor ana bocor, tak sempat nak hantar kedai.”

“Ok, anta nak pergi pukul berapa? Ana nak pergi lewat sikit ni...”

“Ikut anta lah, janji ana tak terlepas maddah Mustalah Hadis.”

Selepas waktu Isyak malam saya bertugas, saya menyatakan hasrat untuk menumpang Reimi ke UM untuk mengikuti kelas kami masing-masing kerana motor saya bocor, rasanya tidak sempat untuk saya baikinya lagi malam itu. Menumpang Reimi yang mengikuti pengajian Syariah di tempat dan waktu belajar yang sama memberikan saya sedikit ruangan ikhtiar.

Pagi itu setelah selesai kuliah Subuh mingguan, sempat saya minum pagi bersama dengan Ustaz Murshidi dan Ustaz Hazman (Imam Masjid Abu Bakar, Bangsar) selaku penceramah di warung roti canai depan Jaya Jusco Wangsa Maju. Setelah pulang dan bersiap, saya menelefon Reimi untuk mendapatkan kepastian samada boleh saya menumpang dia.

Kami bertolak dari masjid Usamah dalam waktu yang menghampiri jam 9 pagi. Sedang dalam perjalanan yang agak lancar itu, tiba-tiba kedua-dua kami terasa ada sesuatu yang kurang selesa terjadi. Tayar motorsikal EX5 itu terasa seakan bergolek. Lantas Reimi memberhentikan motorsikal tersebut dan kami berdua memeriksanya dan didapati angin tayar belakang teramat kurang, agaknya belum pancit cuma kekurangan angin.

Kami kemudiannya ke stesen pam minyak yang terdekat dan mencari pam angin, dengan harapan ianya bukan kebocoran dan hanya kempis biasa sahaja. Usaha kami berjaya apabila angin yang dipam berjaya dikumpulkan dan menegangkan balik tayar motorsikal tersebut. Kami meneruskan perjalanan setelah hampir terhenti selama 15 minit di kawasan jalan Pahang itu.

Reimi memandu sederhana laju untuk mengimbangi berat badan kami berdua dengan mahskalah yang telah berlaku tadi. Setelah hampir beberapa kilometer menyusur lebuhraya Mahameru dan hampir ke selekoh terakhir untuk sampai ke KL Sentral keadaan yang sama berulang. Sah kali ini, bukan angin yang tiada namun tayar motorsikal itu telah bocor.

Di pagi Ahad yang masih hening itu, kami akan bersyukur jika ada bengkel-bengkel motor berdekatan yang telah memulakan modus operandinya. Walaupun harapannya tipis, namun sesuatu perlu diusahakan dan masalah perlu diatasi.

Saya akhirnya menyarankan Reimi untuk bermotorsikal seorang diri dahulu untuk mencari jika ada bengkel yang beroperasi di sekitar Bangsar. Saya ditinggalkan seorang diri di atas ‘fly over’ yang hanya membenarkan mereka yang berkelajuan 100 km/j sahaja melaluinya, agak bahaya.

Setelah Reimi hilang di pandangan mata, saya mula berjalan menuju kearah yang sama, berjalan kaki dengan bertopi keledar serta baju Melayu berseluar slak dan berkasut kasual, pasti ada yang tertanya. Tidak mungkin saya akan menghabiskan masa semata untuk menunggu masalah selesai sahaja. Setelah berjalan hampir 2 km saya berhenti di sebuah perhentian bas dan menelefon Reimi, kebetulan jangka hayat bateri yang subsidi sedikit meralatkan saya. Setelah mengesan di mana lokasi Reimi, saya menyambung perjalanan.

Reimi sekarang berdekatan stesen Putra LRT Bangsar, setelah puas berpusing-pusing di sekitar Brickfield dan kecewa kerana tiada bengkel yang beroperasi. Dia mengambil keputusan untuk memarkir motorsikalnya di situ dan menuju ke kelas dengan kemudahan awan sahaja. Saya meminta dia menunggu saya sampai. Beberapa puluh minit kemudian saya sampai setelah hampir 3 kilometer perjalanan dengan kaki sendiri, letihnya? Kena cuba sendiri.

Setelah hampir saya tiba, saya terpandang seorang India bersama Reimi dan dia sedang membuka tayar motorsikal itu. Rupanya, Reimi terperasan yang ada bengkel yang baru nak beroperasi hanya berhadapan dengan tempat Reimi menunggu saya. Lalu dipanggil segera lelaki India ktersebut untuk membaiki motorsikal itu walaupun harga untuk menukar tiub baru di pagi Ahad itu ialah RM20.00. Saya agak terkejut. Namun apakan daya, kos akan meningkat bila ada permintaan kepada keperluan yang terdesak.

Selesai di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi ilmu kami di APIUM. Alhamdulillah kami sempat sampai sebelum kelas kedua bermula.

Teringat akan kembara jelajah atau ekspedisi para ulama’ dan hukama’ dahulu yang sanggup merentas hutan rimba, padang pasir malah lautan belantara semata kerana ilmu. Nyatalah tidak mampu jika hendak diperbandingkan dengan sedikit ujian pada diri saya.

Saya amat teruja untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat tertinggi malah kalau mampu ingin saya menerobos ke bidang yang bersilang lalu di simpulkan bersama dan akhirnya terjadilah pancasila ilmu yang sudah sekalian lama tidak dipraktikkan dalam dunia Islam sendiri.

Doakan insya-Allah.

Az-Zahir

No comments: