“Guano gi bilik anta tak dok? Jom gi Bangsar..semua kakitangan masjid dapat ppelepasan daripada Ustaz Mazlan ke Bangsar sebab ada mesyuarat agong Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid WPKL.”
Begitulah lebih kurang bunyinya SMS dari Ustaz Murshidi selepas solat Subuh dan tadabbur al-Quran pagi semalam, kebetulan saya di dalam tandas. Saya menyetujui untuk mengikuti kakanda saya itu ke Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
Ini adalah kehadiran sulung saya dalam mesyuarat agung ini.
Hampir jam 9 pagi, kami bertolak. Saya membonceng di belakang motorsikal model Nasional KRISS milik Ustaz Murshdi.
Alhamdulillah, ramai kenalan baru saya dapat di sana. Mereka terdiri daripada para Imam, Bilal, Noja dan kakitangan masjid-masjid diseluruh Kuala Lumpur yang berkumpul di situ. Ternyata walaupun pertama kali bersua wajah, namun ukhwah yang terjalin sangat berkesan.
Bersama Ustaz Murshidi (Pemeriksa kira-kira)
Mesyuarat berlangsung hampir 4 jam. Setiap agenda disudahi satu-persatu dengan berhemah. Majlis yang sepatutnya dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Pengarah JAWI sendiri namun beliau di Kelantan atas urusan lain. Ustaz Mazlan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah telah diamahkan untuk merasmikan majlis pagi semalam.
Agenda seterusnya diteruskan dengan perbentangan minit mesyuarat dan belanjawan yang lalu. Selesai semuanya, tibalah segmen kemuncak iaitu pembubaran dan pemilihan AJK baru.
Hampir seluruh penjawatan bertukar tangan. Majoritinya adalah orang muda yang diharap mampu menyuntik pembaharuan dalam memperjuangkan apa yang perlu diperjuangkan dan juga melakukan islah agar Persatuan Pegawai Masjid menjadi suara rasmi para Imam dan Bilal untuk bersuara.
Majlis ditangguhkan setelah jam hampir menunjukkan pukul 1 tengahari, dan kami ramai-ramai menjamu selera dengan gulai kambing menjadi sajian utama.
Selepas Zohor berjemaah, kami semua pun bersurai.
No comments:
Post a Comment