14 April 2009

Kecelaruan


Sekali berkata maka berusahalah sedaya mungkin untuk merealisasikannya. Tidak berguna hanya pandai menghembur kata manis janji namun akhirnya larut ditiup angin.

Ada beberapa perkara yang saya tetapkan untuk diri saya. Saya seorang yang agak ‘talkative’ yang memungkinkan unjuran persepsi positif dan negatif dari kalangan mereka yang berinteraksi dengan saya. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyelar mereka yang hanya tahu bercakap namun tidak mengamalkan apa yang dicakap. Begitu juga mereka yang hanya bertanyakan soalan-soalan semata-mata untuk memastikan jawapan daripada soalan itu menjadi sandaran untuk menyelamatkan mereka.

Kisah Bani Israel yang panjang telah menceritakan bagaimana mereka merupakan kaum yang terpilih dan juga kaum yang paling ramai didatangkan nabi dan rasul. Namun akhirnya mereka jugalah kaum yang paling dilaknat oleh Allah sendiri.

Saya suka bercakap, bertanya, mengulas, melontarkan pandangan, berdiskusi namun saya megajar diri saya untuk kurang mengkritik, walaupun saya sedia dikritik. Pada saya, peringkat awal proses pemahaman atau pematangan individu ialah terletak pada komunikasi. Kematangan seseorang akan terserlah apabila mereka itu berkomunikasi. Bahkan dek kerana kematangan berkomunikasi juga mereka yang walaupun muda usianya tetapi kelihatan amat matang sekali. Sebaliknya walaupun seseorang itu secara fizikalnya nampak matang tetapi apabila dia mula berkomunikasi dengan teruk maka kewibaannya juga akan tercalar.

Peringkat pertama ialah menerima dahulu apa sahaja maklumat yang diberikan samada melaui perbualan, perbincangan, ceramah, pembacaan dan lain-lain. Kemudian buat saringan maklumat mana yang mahu dan boleh dipakai lalu kemudian barulah simpankan sebagai ilmu yang akan digunakan malah disampaikan. Jangan cepat menongkah dan jangan pula cepat menyedut segala maklumat itu. Kerana bukan semua maklumat itu benar. Kalaupun ianya benar, adakah ianya sesuai untuk kondisi semasa kita.

Segala yang baik itu bermula dari diri kita. Sebagai manusia yang dilahirkan dengan fitrah kebaikan hanya. Seorang bayi yang baru lahir lalu disuapkan manisan, madu atau kurma maka secara fitrahnya dia akan menghisap yakni dia suka. Namun jika yang dihulurkan ke dalam mulutnya itu adalah garam dan makanan yang pahit maka akan dikeluarkan dengan segera.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:


Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 4803

Siapa yang mengajar mereka ini mengenal yang manis itu sedap dan yang masin itu tidak sedap. Ini tidak lain kerana secara fitrahnya manusia memang diciptakan Allah dengan penuh kebaikan dan kesejahteraan. Yang akhirnya segala fitrah dan kebaikan itu dirosak punahkan oleh mereka sendiri juga. Kerana akhirnya penggunaan akal dalam menilai perkara dunia malah akhirat telah digunakan secara total. Manakan mungkin otak yang hanya sebesar penumbuk itu mampu untuk menembusi keagungan zat Allah.

Kecelaruan ini terjadi apabila kita sebagai manusia sibuk memikirkan perkara yang tidak sepatutnya difikirkan. Yang akhirnya hanya menimbulkan kesangsian demi kesangsian kerana tentunya Iblis bijak mengambil peluang untuk memastikan golongan ini sesat sesesatnya.

Az-Zahir

No comments: