14 April 2010

Kisah 5 - Hakikat Sebalik Kematian

Manusia kadang-kadang mudah menghukum. Padahal agama Islam sentiasa menganjurkan penganutnya supaya sentiasa bersangka baik (husnu zhan) dan menjauhi sangka buruk (suuk uzzhan).

Pada suatu ketika, ada seorang guru yang alim sedang menyampaikan pengajaran kepada anak muridnya. Menjadi kebiasaan selepas waktu asar mereka akan membuat bulatan menghadap kepada guru mereka itu.

Pengajian hari ini agak berat. Mereka tidak hanya diberi perkongsian seperti biasa namun mereka juga perlu menjawab setiap persoalan yang diutarakan guru mereka itu.

Tuan guru itu menyandarkan belakang badannya pada tiang seri masjid tempat mereka belajar dan beribadah itu. Anak muridnya sudah sedia menanti.

Setelah mengira dan mendapati kesemua muridnya telah hadir dia memulakan bicara.

“Wahai anak-anakku, hari ini kalian akan saya berikan beberapa persoalan. Saya mahu kamu semua menjawab persoalan saya itu nanti.”

Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh anak muridnya. Ada yang kelihatan teruja dan tidak kurang juga yang gelisah.

“Baiklah, dengarkan tiga kisah yang akan diperdengarkan kepada kalian semua.”

Tuan guru itu mula berbicara dengan wibawanya, kealimannya terserlah. Tangannya melurut-lurut janggutnya yang memutih paras dada.

“Seorang pemuda telah didapati meninggal dunia ketika melakukan haji di Makkah, kerana kesesakan ketika melontar di Jamrah, si pemuda itu telah terjatuh lantas dipijak oleh ratusan ribu jemaah haji yang juga sedang melontar Jamrah. Itulah yang menyebabkan kematiannya.”

Selesai memberikan analogi ringkas itu, tuan guru menyoroti wajah-wajah anak muridnya yang sedang memberikan tumpuan penuh itu.

Dia lantas bertanya, “Mengikut pandangan kamu semua, apakah kedudukan si pemuda itu? Adakah dia mati dalam keadaan yang baik dan dimasukkan ke syurga atau sebaliknya?”

Tanpa lengah, kesemua mereka hampir menjawab serentak.

“Dia akan masuk syurga.”

“Kamu pasti?”

“Ya!” Jawab semuanya dengan yakin sekali.

“Baiklah, dengarkan pula ini cerita yang kedua. Seorang pemuda telah datang ke masjid pada waktu dua pertiga malam. Tiba-tiba keesokan harinya, bilal yang datang bertugas telah menemui mayatnya terkujur kaku di atas sejadah imam. Dia didapati telah meninggal dunia. Menurut pandangan kamu semua, apakah natijah kepada roh si pemuda itu?”

Salah seorang daripada anak muridnya segera memberi respon, “Sudah pasti dia termasuk dalam golongan orang yang soleh, guru.”

“Ya, kami setuju.” Majoriti mempersetujui kata-kata rakan seguru mereka itu.

“Kamu semua yakin?”

“Pasti!”

Kesemua kelihatan semakin yakin untuk menjawab kerana soalan daripada tuan guru mereka itu nampaknya sangat mudah untuk dijawab.

Kini, tinggal satu soalan sahaja lagi.

“Baiklah, soalan terakhir ialah berkenaan dengan seorang pemuda yang telah ditemui mati berdekatan dengan kedai arak, dengan keadaan berlumuran darah hasil daripada pergaduhan yang telah berlaku. Dia telah dipukul di kepala dengan botol arak dan meninggal dunia. Apakah pula nasib si pemuda ini.”

Tanpa ragu, muridnya yang paling muda segera menjawab, “Yang ini saya jamin masuk neraka dengan segera.”

Keras bunyinya.

Tuan guru mereka hanya tersenyum.

Kawan-kawan yang lain sekali lagi bersetuju dengan kenyataan itu.

“Muridku sekalian, ketiga-tiga cerita sudah didengarkan dan jawapan daripada kamu juga telah saya dengar. Jadi dengarlah pula perkongsian daripada guru kalian ini.”

Kesemuanya kembali diam dan memberikan tumpuan kepada tuan guru mereka itu.

“Pertamanya kesemua kes itu adalah melibatkan kematian dan soalan yang saya pinta ialah berkenaan kedudukan mereka selepas kematian terbabit. Jawapan kalian pada dasarnya adalah betul, tapi itu hanya pada pandangan kasar kita sebagai seorang manusia. Dan adakah kita sebagai manusia yang juga hamba kepada Allah layak dan boleh untuk menentukan kedudukan manusia itu, apatah lagi di akhirat sana, syurga atau neraka?”

Murid-muridnya terpana dengan huraian guru mereka itu, suara lembut namun sangat tegas. Mereka hanya mampu menjawab lemah, “Tidak, hanya Allah yang layak.”

Mereka baharu sedar bahawa mereka telah menjatuhkan hukum kepada ketiga-tiga pemuda tadi, seolah-olah mereka adalah penghukum dan pemutus kepada natijah ketiga-tiga penmuda itu, samada ke syurga atau neraka dengan hanya satu pandangan yang kasar.

“Tahukah kamu pemuda pertama yang kamu sangka matinya adalah satu kemuliaan kerana menemui ajal di Makkah ketika menunaikan haji, dipijak ketika melontar jamrah itu sebenarnya adalah seorang ketua sindiket penyeluk saku. Setelah dia meninggal dunia, orang ramai menemui banyak dompet yang tersembungi di dalam pakaian ihramnya. Dia menunaikan haji hanya kerana ingin mencuri.”

Murid-muridnya terpukul dengan kenyataan guru mereka itu.

“Pemuda yang kedua pula, kamu katakan kematian juga adalah kemuliaan kerana matinya adalah kerana bertahajud di masjid dua pertiga malam, malah mayatnya juga ditemui di atas sejadah imam. Tahukah kamu semua sebenarnya si pemuda itu bukan datang untuk beribadah tetapi juga untuk mencuri. Ketika memanjat dinding masjid untuk masuk ke dalam pejabat yang berada di sebalik mihrab dia telah tergelincir dan jatuh ke atas sejadah imam lalu meninggal dunia.”

Sekali lagi murid-murid tuan guru itu terpana.

“Pemuda yang ketiga pula mati dalam keadaan yang keji menurut pandangan kamu kerana dirinya mati berdekatan dengan kedai arak selain percikan darah merata-rata kerana kesan luka akibat dihentak dengan botol arak, kaca daripada botol arak bertebaran. Kamu maksudkan dirinya tentu sahaja ke neraka selepas kematian. Namun tahukah kamu, dia meninggal akibat dihentak dengan botol arak di kepala itu kerana ingin menyelamatkan gadis yang telah dikacau dan mungkin sahaja dirogol dan dibunuh oleh sekumpulan pemabuk yang baharu keluar dari kedai arak itu. Dia yang kebetulan melalui kawasan itu segera membantu dan berlaku pergelutan antara mereka. Dia akhirnya mati kerana dihentak kuat dengan botol arak oleh pemabuk-pemabuk itu.”

Anak muridnya semua tertunduk. Tiada kata yang kedengaran.

“Ingatlah wahai muridku sekalian, kita sebagai orang yang belajar agama dan bakal pendakwah. Kita bukanlah seorang penghukum, kerana penghukum yang hakiki adalah Allah. Kita ini hanyalah hambaNya yang mewarisi kerja para nabi dan rasul, iaitu dakwah.

Menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
____________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/