06 April 2010

Kisah 3 - Tuhan Di Mana

Secara fitrahnya semua manusia mempercayai Tuhan. Dalam sedar ataupun tidak, walau mereka mengaku dan menganuti fahaman ateis atau seorang mulhid. Bagaimana angkuh dan sombongnya sang manusia itu menafikan akan kewujudan Tuhan, namun akhirnya mereka terpaksa juga memperakui kewujudan Tuhan yakni Allah.

Pernah berlaku perdebatan antara seorang ateis dengan seorang Islam. Kedua-dua mereka daripada negara yang sama dan sedang menaiki sebuah kapal terbang untuk ke suatu destinasi.

Ketika di dalam kapal terbang, mereka duduk bersebelahan.

Tiba-tiba….

Si muslim telah bersin dengan kuat sekali, dia lantas berkata, “Alhamdulillah.”

Sebagaimana yang disunatkan kepada orang Islam, apabila mereka bersin maka disunatkan untujk mengungkapkan kalimah syukur yang bermaksud ‘Segala Pujian bagi Allah’ tersebut, orang yang mendengarnya pula perlu menjawab, “Yarhamukallah”. Bermaksud ‘Semoga Allah merahmati kamu’. Kemudian orang yang bersin mendoakan kembali “Yahdi wayahdina kumullah” yang bermaksud ‘Semoga Allah merahmatiku dan merahmati kamu’.

Si ateis kelihatan tertarik dengan ungkapan itu, namun dia acuh tidak acuh untuk bertanya, lantas dia membatalkan hasratnya itu.

Si ateis meneruskan bacaan akhbarnya.

Dan sekali lagi, si muslim terbersin. Ungkapan yang sama dilafazkan dan kali ini agak keras bunyinya. Si muslim sengaja berbuat demikian kerana dia pelik sebenarnya.

Katanya di dalam hati, “Kenapa saudara di sebelah ini tidak mengdoakan aku? Mungkin dia tidak mendengar ucapan alhamdulillah daripadaku. Apakah dia tidak tahu menjawab ungkapan alhamdulillah kerana bersin adalah sunnah dan hak sesama muslim. Ianya juga adalah doa.”

Rupa-rupanya si muslim menyangka bahawa si ateis juga adalah seorang muslim.

Sekali lagi si ateis tidak menjawab doa tersebut.

Namun kali ini dia berpaling kepada si muslim seakan ingin bertanya, dia bertekad dan memberanikan dirinya. Dia memandang kepada si muslim sambil tersenyum, mereka berbalas senyuman. Lantas dia mula bertanya.

“Maafkan saya saudara, boleh saya tahu kenapa saudara mengucapkan ‘alhamdulillah’ setiap kali anda bersin?”

Kini baharulah si muslim tahu bahawa jiran sebelah kerusinya itu bukan seorang muslim.

Si muslim cuba menjawab dengan berhikmah, “Itu adalah ucapan memuji Tuhan dan doa untuk diri saya sendiri.”

Si ateis mengangguk-angguk. Dia lantas mengajukan persoalan lagi, “Bagaimana boleh kamu percayakan Tuhan?”

“…maksud saya apakah bukti bahawa Tuhan itu benar-benar wujud?”

Si muslim terpana dengan kata-kata dan soalan si ateis itu. Dia sudah mula mengesan bahawa dirinya sedang berhadapan dengan seorang manusia yang tidak percayakan Tuhan. Dia tahu kalau salah bicaranya, dia akan kalah kepada si ateis itu.

Hatinya berdoa kepada Allah, agar bicaranya lunak dan mampu mendakwah si ateis sekaligus kepada Islam.

“Boleh saya tahu mengapa pula saudara tidak percayakan kewujudan Tuhan?” soalan dibalas dengan soalan.

“Saya yakin dunia ini terjadi dengan sendirinya. Kalau tuhan wujud mengapa ada peperangan, begitu juga kezaliman yang melata di muka bumi ini. Tidak perlu ada kematian, tidak perlu manusia menderita dan sebagainya jika benar Tuhan wujud.”

Laju dia menghemburkan apa yang terbungkam di hatinya. Dia menyambung lagi.

“Saya dahulu juga percayakan Tuhan, namun Tuhan telah merampas isteri saya. Siang dan malam saya berdoa kepada Tuhan, namun isteri saya tetap meninggalkan saya. Mulai saat itu saya sudah tidak percayakan Tuhan lagi.”

Si muslim masih mencari-cari jawapan yang sesuai untuk dijawab. Dia terus berdoa kepada Allah di dalam hati, “Ya Allah, manusia di depanku ini sedang mencabar agamamu. Janganlah Kamu kecundangkan aku lantas memberi kemenangan kepadanya.”

Dengan takdir Allah, selesai sahaja si muslim mengucapkan doa di dalam hatinya. Tiba-tiba kapal terbang bergegar dengan kuatnya. Seakan dilanda angin ribut bahkan mungkin badai taufan taufan. Peliknya kejadian itu hanya berlalu dalam beberapa saat sahaja.

Di saat-saat genting itu jugalah, terpancul dari mulut si ateis dengan kuatnya.

“Oh my God!!!!!!”

Setelah keadaan kembali tenang, si ateis kelihatan hanya menundukkan wajahnya. Dia sedar apa yang berlaku sebentar tadi. Dia agak malu sekarang.

Si muslim kemudian mendapat dia dan berkata, “Sahabat, kini saya akan jawab semua persoalan anda tadi. Pertamanya kita menyedari bahawa rahmat Tuhan itu luas, orang Islam disunatkan memuji Tuhan setelah bersin kerana sebenarnya setiap kali kita bersin, kajian mengatakan bahawa kita telah mati dalam jangka kurang sesaat. Namun Tuhan masih meneruskan hayat kita. Wajarlah Tuhan disyukuri dan dipuji.”

“Yang keduanya, mengenai keganasan, penderitaan dan perang. Itu semua adalah kerana kedangkalan manusia itu sendiri. Sedangkan Tuhan telah mendatangkan nabi-nabi dan para rasul sebagai pembimbing ke jalanNya yang benar. Diturunkan pula kitab-kitab sebagai panduan, namun manusia sendirilah yang sentiasa menafikan malah tidak mahu merujuk kepada petunjuk Tuhan itu. Kerana manusia itu mempunyai nafsu yang tidak mampu dikawal, ada pula iblis syaitan yang sentiasa menghasut untuk membuat kejahatan. Tidak satu pun ajaran Tuhan yang menyuruh manusia melakukan kejahatan dan kekejaman.”

“Yang ketiganya, kematian adalah fitrah. Tidak perbah ada dalam sejarah dunia ini ada manusia biasa yang tidak mati. Sehebat mana sekalipun, sekaya mana sekalipun tetap akan menemui ajal. Bahkan diri kita ini juga tidak akan terlepas dari ajal. Isteri anda meninggal kerana telah sampai masanya. Samaada kita percayakan Tuhan ataupun tidak kematian akan tetap dirasai oleh setiap individu, apakah dengan tidak mempercayai Tuhan kita tidak akan mati?”

“Tadi, saya perasan yang anda menyebutkan perkataan ‘oh my God’ ketika berlaku gegaran pada kapal terbang ini. Itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa sememangnya secara fitrah manusia itu mempercayai Tuhan. Boleh saya bertanyakan satu soalan?”

Si ateis mengangguk lemah.

“Anda mempunyai nyawa?”

“Tentu sekali, kalau tidak masakan saya boleh hidup.”

“Kalau saya minta anda tunjukkan di mana nyawa anda sekarang, apakah warnanya, apakah bentuknya, bagaimanakah rupanya. Boleh atau tidak?”

“Mustahil.”

“Begitulah Tuhan yang maha berkuasa.”
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: