02 April 2010

Kisah 2 - Hanya 1 Dirham

Harta berbentuk duit, emas, permata dan lain-lain sentiasa menjadi idaman manusia di dunia ini. Mereka merasakan duit mampu membeli segala-galanya. Walhal ramai yang akhirnya binasa di dunia mahupun akhirat kerana harta ini. Kata pujangga, “Walaupun hampir segala-galanya memerlukan wang, namun bukan semuanya memerlukan wang.

Kisah ini bermula apabila seorang wanita datang menemui seorang ahli Fiqah yang alim lagi faqeh. Ada persoalan yang mahu diajukan kepada tuan guru tersebut.

Dia tidak berpuas hati kerana berasakan pembahagian harta pusaka daripada ahli keluarganya yang dianggapnya tidak adil dan tidak mengikut lunas syarak Islam.

“Aku akan mendapatkan pembelaan!” Katanya marah dengan cara pembahagian harta pusaka itu oleh ahli keluarganya.

Dia kemudian mencari-cari orang yang alim dan faqeh dalam ilmu faraid. Akhirnya dia dicadangkan berjumpa dengan seorang yang bertaraf tuan guru.

Walaupun perjalanannya jauh namun sanggup dia tempuhi semata-mata mahukan kebenaran.

Setelah berhari-hari mengembara baharulah dia sampai ke rumah tuan guru itu.

“Tuan guru, saya mempunyai seoarang saudara lelaki. Beberapa bulan lepas, dia telah dihinggapi penyakit dan meninggal dunia pada bulan lepas.”

Tuan guru tersebut mengangguk-angguk seakan memberi isyarat supaya diteruskan bicara. Matanya terpejam kemas. Telinganya ditumpukan kepada persoalan.

“Saudara saya itu telah meninggalkan sejumlah duit yang keseluruhannya berjumlah 600 dirham. Apa yang menjadi khilaf kepada saya sekarang ialah, daripada jumlah yang besar itu saya hanya diberi 1 dirham sahaja. Mana mungkin, saya saudara perempuannya yang terdekat, ini tidak adil. Boleh tuan guru perjelaskan…”

Tuan guru itu masih lagi memejam mata sambil wajahnya yang menunduk ke lantai, seketika kemudian dia mengangkatnya seolah memandang syiling rumah walaupun matanya masih terpejam. Tangannya spontan mengelus-ngelus dan melurut janggutnya yang menebal dan memutih itu.

Beberapa ketika kemudian dia mulai bersuara, wanita itu masih setia menanti.

“Pada perkiraan saya, ada sebabnya dirimu hanya mendapat satu dirham daripada 600 dirham jumlah keseluruhannya.”

Perlahan-lahan dia membuka matanya.

“Apakah saudaramu itu mempunyai seorang isteri, seorang ibu, dua orang anak perempuan dan 12 orang adik-beradil lelaki?”

Wanita itu terpana, kaget dan kagum menjelma di sanubarinya, “Benar guru, sungguh saudara saya itu tatkala dia meninggalkan minggu sudah, dia masih mempunyai seorang isteri, dua orang anak perempuan, seorang ibu dan 12 saudara lelaki yang juga merupakan saudaraku.”

Tuan guru itu menyambung, “Jika benar begitu, 1 dirham yang menjadi milikmu itu adalah tepat. Mereka tidak menzalimi wahai puan. Sesungguhnya syarak mengajar kita membahagikan faraid sedemikian rupa.”

“Boleh tuan guru jelaskan?” Pinta wanita itu.

“Pembahagian pusaka yang utama ialah kepada isteri arwah iaitu sebanyak 1/8 daripada 600 dirham, jumlahnya ialah 75 dirham. Untuk puterinya yang berdua itu masing-masing layak mendapat 2/3 daripada jumlah lebihan dengan jumlah keseluruhannya 100 dirham.”

Wanita itu tekun mendengar, dia mencatat semua butiran yang dijelaskan oleh tuan guru itu.

“Masih ada 25 dirham guru.”

“Benar.”

“Jika begitu sepatutnya saya mendapat sejumlah itu.”

“Apakah kamu lupa bahawa kamu dan arwah masih mempunyai 12 orang saudara lelaki?”

Wanita itu terdiam, sedar akan kegopohannya.

“Bagi setiap saudara lelaki itu 2 bagaian manakala wanita adalah 1, rujuk kepada nisbah 2/3 untuk lelaki dan 1/3 untuk wanita.”

Tuan guru meneruskan lagi, “Maka 2 dirham bagi setiapa saudara lelakimu yang seramai 12 orang itu dengan jumlah 24 dirham. Lebihan 1 dirham lagi adalah untuk dirimu selayaknya.”

Wanita itu akhirnya berpuas hati dengan penjelasan tuan guru tersebut.

Sisipan

Faraid merupakan salah satu hukum syarak yang termaktub dalam al-Quran. Ianya merujuk kepada kaedah pembahagian harta pusaka seorang Islam yang meninggal dunia dan bagaimana harta peninggalannya itu dibahagi sesama keluarga.

Islam melaui syariatnya yang berteraskan al-Quran dan hadis sudah menetapkan kadar-kadar yang tertentu kepada ahli keluarga mengikut syarat-syaratnya. Perbahasan lanjut boleh dirujuk dalam kitab-kitab Faraid dan kaedah pembahagian harta pusaka mengikut Islam.
______________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

1 comment:

iman said...

Salamualaikum
Bagaimana jika arwah meninggalkan wasiat yang tidak mengikut hukum farait Allah?
Yang manakah yang perlu didahulukan?
Jika sekiranya arwah memberikan keseluruhan hartanya pada isterinya kerana dia mengetahui saudara lelakinya akan menggunakan hartanya kearah yang tidak diredhai, bagaimana pula?