30 November 2009

Surat Untuk Pembaca

Pendakwah dan Internet

Pendakwah di negara kita, samada individu atau organisasi masih dilihat terkebelakang dalam memperjuangkan isu-isu agama Islam. Ini adalah kerana terdapat banyak faktor luaran yang menjadi batu penghalang usaha-usaha murni dalam dakwah itu sendiri.

Antara faktor yang paling penting ialah penguasaan teknologi masa kini yang semakin hari semakin berkembang. Contohnya penggunaan internet sebagai sumber saluran maklumat alternatif yang sangat bermanfaat perlu diberi perhatian.

Boleh dikatakan hampir semua rumah di kawasan bandar-bandar utama memiliki internet. Ini ditambah pula dengan khidmat internet percuma yang disediakan oleh kerajaan tempatan dan universiti di beberapa tempat di Malaysia. Ini menjadikan internet sebagai jalan yang sangat efisyen untuk capaian dan sebaran untuk sebarang maklumat.

Satu fenomena yang dilihat sangat kritikal pada hari ini ialah penggunaan laman-laman sosial seperti Friendster, Myspace, Tagged, Youtube dan yang menjadi ketakjuban semasa ialah Facebook. Kesemua laman sosial ini dikatakan membawa kesan yang sangat negatif kepada pelayar internet kebanyakannya.

Namun sebenarnya, yang menjadikan laman-laman ini menjadi laman sosial yang negatif ialah manusia itu sendiri. Makanya untuk memastikan bahawa laman-laman ini membawa lebih kesan positif ialah dengan mendidik para penggunanya terlebih dahulu sebelum mereka menggunakan laman-laman sosial ini.

Tanpa disedari pihak-pihak berkepentingan dalam memperjuang dan memberi maklumat tentang Islam juga mendapat manfaat yang sangat besar. Tinggal lagi bagaimana kita menguruskan lambakan maklumat yang tidak terbatas itu.

Atas inisiatif inilah maka timbulnya laman-laman web yang bercirikan dakwah bertujuan berkongsi dan memberikan maklumat tentang agama Islam dengan mudah dan pantas.
Contohnya laman web iluvislam.com, halaqah.net, fiqrah.net dan banyak lagi laman web yang bersifat mesra pelayan dan berkonsepkan interaktif yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat. Antara faktornya adalah kerana mereka boleh bertanya dan mengemukakan soalan tanpa perlu menampilkan diri mereka yang sebenar, malah mereka boleh mengajukan soalan dengan selesa walau di mana sahaja mereka berada.

Uslub dakwah ini juga turut dimeriahkan dengan tulisan personaliti-personaliti agama tanah air yang menyumbangkan buah fikiran, tazkirah dan pengajian juga melalui jaringan maya ini.
Mereka ini walaupun tinggal berjauhan dari para pendahaga ilmu seluruh dunia, namun ianya terubat dan menjadi tidak mustahil dengan membaca laman web atau blog peribadi mereka yang sarat dengan maklumat dan aktiviti terkini.

Antara personaliti agama yang dikira paling aktif dan sangat diminati ramai ialah seperti penulis web http://http://www.saifulislam.com/ , Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, http://zaharuddin.net/ kendalian Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan http://drmaza.com/ milik Dr Asri Zainul Abidin selaku bekas mufti Perlis. Banyak lagi penulis-penulis hebat yang tidak mampu disenaraikan di sini.

Kami dari Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (P-PUM) juga tidak mahu ketinggalan dalam meneroboskan diri di dalam arena dakwah maya, dengan itu segala instrumental yang terkini harus diguna pakai dalam misionari dakwah itu sendiri.

Dengan itu kami dengan secara rasminya telah menubuhkan sebuah laman web Pemuda PUM dengan berkonsepkan pengisian-pengisian ilmiah dan interaktif matang yang melangkaui fikrah dan ideologi partisan untuk tujuan ini.

Selain itu juga, kami telah menubuhkan Kelab Rakan Pemuda PUM secara maya dengan menggunakan laman sosial facebook. Kedua-dua laman itu boleh dicapai di alamat http://islamon9.com/ dan pemuda_pum@yahoo.com untuk sebarang urusan, kami juga sudah melancar laman facebook Pemuda PUM untuk tujuan yang sama.

AHMAD ZAHIRUDDIN BIN MOHD ZABIDI
TIMBALAN KETUA PEMUDA PUM
PENASIHAT ILUVISLAM.COM

013-9698869

No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur.

http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: